TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

Selamat pagi dan salam sejahtera.

1. Tahniah kepada Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang atas pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang ke-3 menggantikan Yang Berbahagia Dato’ Maimunah Mohd Sharif yang telahpun dilantik memegang jawatan sebagai Executive Director of United Nation – Habitat di Nairobi, Kenya. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Maimunah Mohd Sharif atas perkhidmatan cemerlang beliau sepanjang perkhidmatan bersama MBPP.

2. Saya yakin dengan pengalaman yang luas serta pencapaian dan pengiktirafan yang telah dimenangi oleh MBPP, Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang mampu menerajui MBPP untuk terus mencapai kecemerlangan di masa akan datang. Saya juga yakin beliau akan terus memastikan MBPP memberi perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai melalui pelaksanaan program dan projek pembangunan terutamanya dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur, menyelaras pembangunan yang mampan, membangunkan imej persekitaran beridentiti, berkualiti serta meningkatkan ekonomi yang dinamik dan berdaya saing sejajar dengan status Bandaraya.

3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ir. Addnan bin Mohd Razali yang dilantik sebagai Setiausaha Bandaraya, MBPP. Pengalaman luas dan kepakaran beliau akan dapat membolehkan beliau menyokong Datuk Bandar menjayakan visi dan misi MBPP kepada rakyat agar MBPP boleh menjadi kerajaan tempatan terbaik mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah bandaraya mampan dan berdaya huni. Kedua-dua mereka akan mengekalkan gandingan berpasukan di bawah Dato Maimunah bt Mohd Sharif untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar. Lantikan mereka meneruskan kesinambungan Kerajaan Negeri melantik pegawai daripada latar belakang sains dan teknologi kepada kedua-dua jawatan Datuk Bandar dan Setiausaha Bandaraya selaras dengan usaha menjadikan Pulau Pinang menggunakan teknologi canggih untuk lebih cepat menjadi negeri yang bersih, hijau sihat dan selamat.

4. MBPP mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). Ini bermakna segala hasil yang dikutip daripada rakyat akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai. MBPP telah mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan sebanyak RM177.95 juta untuk 2014, RM146.04 juta untuk 2015 tetapi telah mencatatkan ‘defisit’ sebanyak RM1.41 juta untuk tahun 2016. Defisit ini disebabkan oleh pengecualian pembayaran cukai pintu untuk semua pemilik rumah kos rendah, kos sederhana rendah serta potongan diskaun sebanyak 6% yang telah diberikan kepada semua pemilik hartanah untuk meringankan beban cukai GST yang menyebabkan MBPP kekurangan pendapatan sebanyak RM6.29 juta. Tanpa pengecualian ini, maka MBPP sudah pasti akan mencapai lebihan Belanjawan.

5. Dalam usaha untuk menggalakan amalan hidup yang sihat, MBPP telah menyokong visi Kerajaan Negeri untuk melengkapkan laluan basikal sepanjang 350km (bahagian Pulau – 179km, bahagian Seberang Perai – 171km). Di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang yang berkos kira-kira RM27.27 juta, sebahagiannya akan dibiayai oleh sektor swasta. Projek membina dan menaiktaraf laluan basikal dari Tanjung Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas termasuk pembinaan “spiral bicycle and pedestrian bridge” dan “bicycle and pedestrian bridge” yang pertama di Malaysia.

6. Dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan dan perniagaan, MBPP telah memasang 550 buah Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di mana 518 buah CCTV dengan kos sebanyak RM36 juta dibiayai oleh MBPP dan baki 32 buah lagi dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). MBPP kini dalam proses penambahan 200 buah CCTV dengan kos sebanyak RM11 juta dan kerja-kerja pemasangan akan siap pada bulan Mac 2018. Seterusnya sebanyak 150 buah CCTV dengan anggaran kos RM8.2 juta akan dipasang menjelang akhir tahun 2018. Ini menjadikan jumlah keseluruhan CCTV sedia ada, sedang dan akan dipasang adalah sebanyak 900 buah (868 buah oleh MBPP, 32 oleh KPKT) dengan kos sebanyak RM60.9 juta termasuk 5 tahun penyelenggaraan. Dengan operasi aktif daripada PDRM, Pulau Pinang akan menjadi negeri yang terselamat di Malaysia.

7. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, baru-baru ini Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mengumumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah berjaya mematuhi kriteria-kriteria asas seperti yang ditetapkan oleh ASEAN Clean Tourist Standard 2017 (ACTC). Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang yang dahulunya dianggap sebagai (negeri) paling kotor di Malaysia sehingga digelar “Pulau Pinang Darul Sampah” kini telah berubah menjadi di antara negeri terbersih di Malaysia. Kejayaan ini dicapai sungguhpun kita gunakan pekerja yang sama semasa Pulau Pinang digelar Pulau Pinang Darul Sampah dahulu dan Pulau Pinang Darul Bersih sekarang. Jelas sekali urustadbir CAT adalah perbezaan ketara di mana dulu Pulau Pinang kotor kerana sistem pentadbiran dulu kotor tetapi sekarang Pulau Pinang bersih kerana sistem pentadbirannya bersih.

8. Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama, Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi mengurangkan sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Saya dengan bangganya ingin memaklumkan bahawa negeri Pulau Pinang telah mencatatkan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia, purata sebanyak 38% berbanding kadar kitar semula peringkat kebangsaan, iaitu hanya 22%. Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.2 kg sampah dan oleh itu sejumlah 1,800 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di tapak Pelupusan Pulau Burung. Pihak Berkuasa Tempatan kita iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukan RM103.5 juta dan RM102.17 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam. Dengan tambahan penduduk, kos pelupusan pasti meningkat. Kejayaan program ini bukan sahaja akan menahan kenaikan kos tetapi dapat mengurangkannya.

9. Demi memelihara melindungi dan mempromosikan warisan dalam Tapak Warisan Sedunia UNESCO George Town, MBPP sedang membaikpulih sebanyak 6 unit bangunan warisan di Lebuh Kimberley, Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM3.2 juta dan dijangka siap pada tahun ini untuk penduduk asal yang mengamalkan cara kehidupan atau seni kerja tradisi boleh duduk dengan sewa yang berpatutan. Kerajaan Negeri telah pun memperuntukkan RM3 juta untuk menubuhkan Dana Tabung Habitat Warisan (Heritage Habitat Seed Fund) mengatasi “gentrification” untuk memberikan insentif kepada pemilik rumah membenarkan penyewa lama terus tinggal di George Town dengan sewa yang berpatutan.

10. Kerajaan Negeri menggalakan MBPP mendirikan Business Improvement District (BIDS) untuk memperbaharui atau menaiktaraf kawasan-kawasan perniagaan yang lama. Satu inisiatif perintis (pilot project) yang dikenali sebagai ‘Baby’ BIDS, telah dilancarkan dengan merancang kerja-kerja menaiktaraf kemudahan awam di sebahagian Jalan Gurdwara, dari bangunan GAMA sehingga ke bangunan Hin Bus Depot, meliputi jarak jalan sepanjang 850 meter. Satu acara permulaan awal ala weekend market dengan gelaran ‘Starry Night@Magazine Circus’ telah dilancarkan pada 13 Januari 2018.

11. Perbelanjaan infrastruktur sebanyak RM500 juta sejak 2008 akan diteruskan untuk menaik taraf jalan, longkang, pasar, pusat penjaja dan tandas. Akan tetapi kesemua ini adalah penyelesaian jangka masa pendek. Penyelesaian mutakhir ialah membina LRT dan Kerajaan Negeri masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

12. Pulau Pinang adalah bandaraya kosmopolitan yang mendokong nilai-nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan masyarakat atau ekonomi terbuka agar kebebasan yang wujud dapat menggalakan kreativiti, innovasi dan produktiviti. Barulah Pulau Pinang dapat berjaya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serasi dengan Industri 4.0. Penguasaan teknologi baru dalam sistem pentadbiran adalah penting untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

13. Segala agenda ini akan hanya dapat dilaksanakan dengan jayanya jika Ahli majlis, Ketua Jabatan, Pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari semua peringkat dapat memberikan kerjasama sebagai satu pasukan. Marilah kita pastikan setiap anggota MBPP “not part of the problem, but be part of the solution”.

Sekian, terima kasih.