TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PELEBARAN JALAN BUKIT TAMBUN

Saya gembira pada hari ini kerana dapat bersama-sama semua bagi Majlis Pelancaran Pelebaran Jalan Bukit Tambun, Batu Kawan dari Jambatan Batu Kawan sehingga ke lampu isyarat/trafik Bukit Tambun.

Projek pelebaran jalan ini telah ditawarkan kepada pihak Image Facade Construction Sdn Bhd melalui tender terbuka dengan jumlah kontrak sebanyak RM23,892,534.80 selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).

Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh PDC sebagai projek komuniti dan CSR untuk membangunkan Batu Kawan menjadi sebuah bandar moden yang canggih dan selesa, selaras dengan konsep Live, Work and Play. Kerja-kerja pelebaran ini bermula pada 26 Mei 2015 dan tarikh siap dijangka ialah 31 Disember 2017. Kerja-kerja yang sedang dijalankan kini adalah 69%.

Dengan projek pelebaran ini, jalan sedia ada yang berukuran 2.1km akan dilebarkan dari 2 lorong (11m) kepada 6 lorong (40m).

Projek ini adalah selaras dengan pelebaran jambatan Batu Kawan yang bernilai RM33.5 juta (RM33,497,238.93) yang dilancarkan baru-baru ini, yang juga merupakan satu projek Kerajaan Negeri dan PDC untuk tujuan meningkatkan aliran trafik di Batu Kawan dan ke Taman Sains Pulau Pinang.

Buat masa ini Taman Perindustrian Batu Kawan telah berkembang dengan pesatnya dengan adanya pelaburan terkini di mana Pulau Pinang menerima satu pelaburan besar sebanyak RM1 bilion daripada sebuah syarikat elektronik Taiwan iaitu Hotayi Sdn Bhd yang akan menjanakan 1,500 peluang pekerjaan baru.

Projek ini adalah tepat pada masanya kerana Bandar Cassia, Batu Kawan dengan konsep Eco City berkembang pesat dengan adanya Penang Design Village yang bernilai RM250 juta telah membawa pelbagai jenama terkemuka seperti Ralph Lauren, Adidas, Coach dan Clarks; KDU Penang University College telah melabur RM220 juta untuk membina sebuah kampus baru dengan keluasan 10 ekar dan IKEA Store bernilai RM600 juta merupakan satu lagi economic game changer akan dibuka dalam tahun 2019.

Saya yakin projek ini akan menjadi satu pemangkin kepada Bandar Cassia, Batu Kawan sebagai bandaraya ke-3 PDC untuk pertumbuhan masa depan dan pembangunan hotspot utama di Seberang Perai Selatan.

Saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pelebaran Jalan Bukit Tambun, Batu Kawan.

Sekian, terima kasih.