TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN JKKK SUNGAI JAWI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN JKKK SUNGAI JAWI, TAMAN JAWI JAYA, SUNGAI JAWI 06 / 08 / 2017 ( AHAD )

Terima kasih kerana menjemput saya datang ke sini. Tahun lepas saya ke sini juga pada bulan Jun 2016 tetapi di sebelah dewan ini iaitu Surau Taman Jawi Jaya semasa majlis berbuka puasa.

YB Soon Lip Chee telah memberitahu saya bahawa terdapat 11 JKKK di Kadun Jawi sahaja di mana semua JKKK ini mempunyai dewan di kawasan masing-masing untuk menjalankan aktiviti, dan juga bermesyuarat. Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang amat mengharapkan semua JKKK yang dilantik akan berperanan dengan lebih aktif membantu penduduk sebagai mata dan telinga bagi pihak Kerajaan Negeri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Semasa saya datang di dewan JKKK Jawi di Perkampungan Jawi pada Oktober tahun lepas, JKKK Jawi telah menjadikan sebahagian daripada dewan tersebut sebagai sudut bacaan dan pengasingan sisa pepejal di samping pejabat pengurusan serta tempat perjumpaan bersama komuniti kampung.

Pada pagi ini, saya diberitahu dewan ini telah mengadakan program motivasi untuk pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR 2017/2018 serta teknik menjawab soalan. Saya ucapkan terima kasih kepada YB Soon Lip Chee serta JKKK Sungai Jawi yang telah menganjurkan program seperti ini.

Saya diberitahu sebelum program diadakan di dewan ini, sudah tiga JKKK yang telah menganjurkan program motivasi ini seperti di Dewan JKKK Che Aminah, Dewan JKKK Changkat dan Dewan JKKK Jawi. Jika program seperti ini diadakan dan tidak dibiarkan kosong maka Kerajaan Negeri berasakan adalah tidak rugi mengeluarkan perbelanjaan untuk menaiktaraf dewan JKKK. Terima kasih kepada MPSP yang memperbaikinya. Saya juga telah meluluskan sebanyak RM25,000 bagi memasang penghawa dingin di dewan ini.

Untuk Dewan JKKK ini saya diberitahu juga akan disediakan sudut bacaan serta ruang untuk anak-anak taman ini menggunakan komputer dan disediakan juga kemudahan internet Wifi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, surau yang terletak di sebelah dewan ini juga saya luluskan sebanyak RM 52,300 untuk kerja-kerja tembok batu, tempat memasak serta bumbung (awning).

Di sini, saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang ini tanpa mengira kaum dan agama. Seperti mana yang semua sedia maklum, program kebajikan Kerajaan Negeri iaitu Program i-Sejahtera yang bermula sejak tahun 2008 telah memberi manfaat kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang melalui bantuan kewangan secara tunai berjumlah RM412.63 juta.

Program ’emas’ ini merangkumi segenap lapisan masyarakat di mana pada tahun 2016 sahaja, seramai 301,526 rakyat Pulau Pinang telah menerima wang secara langsung yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, OKU, pelajar emas, anak emas, ibu emas dan sumbangan khairat kematian. Ini tidak termasuk dengan bantuan pukat pantai kepada nelayan, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar dan penarik beca serta RM1,000 kepada mahasiswa dan mahasiswi tempatan yang mendapat tempat di universiti.

Sebagai tambahan, program Agenda Ekonomi Saksama (AES) telah berjaya membasmi miskin tegar di negeri ini dengan menjadikan pendapatan isi rumah di Pulau Pinang ditetapkan sekurang-kurangnya RM790 sebulan. Bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM790 sebulan, Kerajaan Negeri akan menambah bakinya sehingga cukup genap mencapai RM790 setiap bulan. Untuk tujuan itu, hampir RM25 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri menerusi program AES ini sejak dilaksanakan pada tahun 2014.

Pada hari ini juga kita akan menyerahkan kelulusan pendudukan sementara (LPS) kepada 4 orang penerima dan juga kepada 3 orang penerima peralatan ekonomi seperti yang kita lihat ini (mesin tebu dan stall burger). Kerajaan Negeri akan terus membantu kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga untuk kelangsungan hidup yang lebih baik.

Dengan jumlah rumah sebanyak 1000 buah rumah dalam taman ini dengan pelbagai kaum, saya berharap dan percaya keharmonian penduduk dalam taman ini akan terus dijaga. Di sini juga peranan JKKK amat penting berganding bahu mengekal menyatukan hubungan antara kaum khasnya dalam taman ini.

Dengan ini saya merasmikan dewan JKKK Sungai Jawi, Taman Jawi.

Sekian, terima kasih.