UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS PASAR DAN MAKANAN PAGAR BULOH SUNGAI ARA, PULAU PINANG

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan rasa bersyukur dan terima kasih kerana kita dapat bersama-sama dalam Majlis Penyerahan OC Kompleks Pasar dan Makanan Pagar Buloh dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang kepada Ideal Properties pada pagi ini. Hari ini adalah merupakan hari yang amat bermakna bagi penduduk negeri Pulau Pinang kerana ia menjadi saksi kepada janji Kerajaan Negeri dalam membantu peniaga kecil yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Sejak Pakatan Harapan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, beberapa inisiatif dan program telah dilaksanakan bagi membantu golongan peniaga kecil dalam menjalankan aktiviti perniagaan dalam ruang niaga yang lebih moden dan komprehensif.

Ideal Properties adalah merupakan salah satu pemaju hartanah yang begitu prihatin dalam membantu memenuhi keperluan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Konsep pembangunan kompleks Pasar dan Makanan ini mencerminkan tujuan MBPP untuk meningkatkan integrasi antara komuniti yang mana kompleks ini mempunyai komponen pasar, kompleks makanan, dewan orang ramai serta taman permainan kanak-kanak. Dengan adanya komponen ini, komuniti dalam kejiranan ini akan dapat berinteraksi antara satu sama lain.

Tuan-tuan & Puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya difahamkan bahawa kos pembinaan kompleks ini adalah sebanyak RM27 juta yang mana kos ini meliputi kerja-kerja rekabentuk, harga tanah, binaan bangunan yang merangkumi 25 gerai makanan, 44 gerai bagi unit pasar dan 1 dewan serbaguna yang dapat memberi manfaat kepada penduduk di Golden Triangle bahagian Pulau ini.

Pembinaan kompleks ini yang mula dibina pada pertengahan tahun 2015 dan disiapkan pada Disember 2016 telah menjadikan kompleks ini sebagai salah satu bench marking dalam pengurusan penjaja di Pulau Pinang. Binaan kompleks ini adalah salah satu projek yang terbaik dibina oleh pihak swasta di Pulau Pinang dan diharapkan para penjaja dapat mengekalkan standard ini dengan memberikan perkhidmatan yang baik dan menjaga kebersihan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh MBPP.

Dengan kata-kata tersebut saya dengan ini merasmikan bangunan Kompleks Pasar dan Makanan Pagar Buloh dengan harapan agar kemudahan yang disediakan ini dapat memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada semua pihak.

Sekian, terima kasih.