MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STPM TAHUN 2016 NEGERI PULAU PINANG

17 APRIL 2017 (ISNIN) KOMPLEKS MASYARAKAT PENYAYANG

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM Tahun 2016 pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB Timbalan Ketua Menteri (II), Profesor Dr. P. Ramasamy, YB Wong Hon Wai dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berjaya mengadakan majlis ini saban tahun demi memberi pengiktirafan kepada anak-anak negeri Pulau Pinang yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.

Sehubungan itu, setinggi-tinggi tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua ibu bapa, guru-guru serta barisan pentadbir yang telah sama-sama bertekad, berjuang dan berusaha untuk memastikan kejayaan para pelajar ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Pada tahun 2016, seramai 47 orang calon STPM telah mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi amat berbesar hati memberikan tambahan sebanyak RM200 insentif kewangan berbanding tahun lepas sebanyak RM800 yang menjadikan jumlah yang akan diterima oleh setiap pelajar cemerlang sebanyak RM1,000 seorang berserta sijil.

Pada majlis hari ini juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan turut menyampaikan anugerah kepada 5 orang pelajar terbaik daripada setiap kaum dan dua orang pelajar terbaik Kategori Pelajar Istimewa. Pelajar-pelajar ini juga akan turut menerima wang tunai sebanyak RM1000 seorang berserta sijil dan trofi. Selain itu, 3 buah sekolah yang memperolehi keputusan keseluruhan terbaik juga akan turut diberikan anugerah dalam bentuk sijil dan trofi. Sebagai makluman, kriteria pemilihan ini dibuat berdasarkan gred purata sekolah yang telah diperolehi daripada Majlis Peperiksaan Malaysia.

Hasrat Kerajaan Negeri untuk memacu pendidikan ke arah era digital yang berasaskan konsep STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) telah pun direalisasikan dengan mewujudkan Karpal Singh Learning Centre (KSLC) sebanyak RM6 juta dan Penang Digital Library (PDL) sebanyak RM3 juta iaitu perpustakaan digital pertama di Malaysia yang boleh digunakan oleh orang awam. Untuk makluman, PDL kini telah pun beroperasi di Bangunan Warisan Kerajaan Negeri di No. 135, Jalan Masjid Negeri, Penang Free School. Oleh kerana sambutan yang menggalakkan yang diterima oleh PDL, maka Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan PDL yang kini beroperasi di antara pukul 10 pagi hingga 10 malam, akan dibuka 24 jam mulai 1 Mei 2017.

Segala usaha untuk membangunkan pendidikan sains dan teknologi seperti pelaburan dalam Penang Science Cafe sebanyak RM20 juta, Penang Tech Dome sebanyak RM28 juta dan Pameran Sains Antarabangsa setiap tahun di SPICE bertujuan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

Bagi mengawal pengaliran keluar bakat-bakat anak Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah terlebih dahulu mewujudkan Penang Future Foundation (PFF) yang merupakan satu program biasiswa yang ditawarkan kepada pelajar-pelajar berkelayakan dan cemerlang dan menuntut di universiti tempatan. Keutamaan adalah diberikan kepada anak Negeri Pulau Pinang. Di bawah PFF, Pelajar Biasiswa Pulau Pinang boleh menerima biasiswa maksima sehingga RM100,000 manakala Pelajar Biasiswa Mutiara boleh menerima sehingga RM60,000. Syarat yang dikenakan kepada penerima biasiswa ini hanyalah mereka perlu berkerja di Pulau Pinang tidak kira dengan pihak Kerajaan mahupun swasta untuk tempoh 8 tahun selepas menerima ijazah.
Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi 4 petua kehidupan dengan para pelajar sekalian. Pertama, hidup dengan bersih dan berintegriti. Kedua, teruslah mengejar ilmu kerana sebaik anda berhenti menimba ilmu, itulah saat anda mati. Ketiga adalah jangan berputus asa dalam mengejar cita-cita yang dimimpikan. Dan yang terakhir, belajarlah untuk berkongsi baik kegagalan mahupun kejayaan dengan orang lain. Apabila kita berkongsi dengan apa yang kita perolehi, kita akan dapati pada penghujung hari, lebih banyak akan kembali kepada kita.

Dengan ini saya merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM Tahun 2016 Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.