MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) BAGI KEMASUKAN SESI AKADEMIK 1(bm)

Dividen Anti-Rasuah Sebanyak RM413 Juta Yang Diberikan Secara Wang Tunai Kepada 1.6 Juta Rakyat Pulau Pinang Sejak Tahun 2008

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada warga Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD) dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) kerana berjaya menganjurkan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Bagi Kemasukan Sesi Akademik 1 Tahun 2016/2017 (Ijazah Sarjana Muda 2016).

Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada 280 orang pelajar daripada Daerah Barat Daya (DBD) dan 608 orang pelajar daripada Daerah Timur Laut (DTL) dan ibu bapa serta waris yang diraikan pada hari ini kerana telah terpilih untuk menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000.00, sebagai bantuan pendaftaran kemasukan ke IPT bagi kemasukan sesi akademik 1 tahun 2016/2017 (Ijazah Sarjana Muda 2016).

Pemberian sumbangan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri ke atas pembangunan modal insan di negeri ini dan keprihatinan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga pelajar, terutamanya ibu bapa serta waris.

Hanya Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang memberikan sumbangan RM1,000 dan ini semua merupakan hasil daripada kepimpinan yang bersih dan tata kelola Kerajaan Negeri yang baik. Dengan kata lain, rakyat Pulau Pinang menikmati keuntungan kerana memilih Kerajaan Negeri yang bersih.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan bangga untuk menyatakan sehingga kini, 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui ‘dividen anti-rasuah’ atau bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan sejak tahun 2008, seperti bayaran RM100 kepada warga emas, ibu tunggal, suri rumah, OKU dan murid sekolah serta bayaran one-off RM1000 sebagai khairat kematian, RM200 untuk bayi yang baru dilahirkan, bantuan pukat percuma sebanyak 2 kali setahun kepada nelayan, RM1,000 kepada pelajar IPT tahun pertama, tambahan RM200 untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan di Sabah dan Sarawak, bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi dan pemandu bas sekolah dan RM1,200 setahun kepada penarik beca.

Pada tahun 2016 bagi Daerah Barat Daya (DBD), Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM346,000.00 (280 orang penerima Ijazah dan 66 orang penerima Diploma) manakala sebanyak RM706,000.00 bagi Daerah Timur Laut (608 orang penerima Ijazah & 98 orang penerima diploma).

Kerajaan Negeri, secara keseluruhannya telah menyumbangkan sejumlah RM2.05 juta bagi tempoh 5 tahun kebelakangan ini, bagi para pelajar IPT di Daerah Barat Daya sahaja manakala sejumlah RM3.2 juta di Daerah Timur Laut bagi tempoh yang sama.

Akhir kata, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa, waris dan kesemua mahasiswa serta mahasiswi yang amat bertuah kerana terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, dan sekali lagi bertuah kerana turut menerima bantuan kewangan ini, bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa serta waris para pelajar yang terlibat.

Sekian, terima kasih.