MAJLIS PERASMIAN PESTA PULAU PINANG 2016

Selamat Malam dan Salam Sejahtera.

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khasnya kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abas dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajjah Majimor Binti Sharif kerana sudi hadir ke Majlis ini dan seterusnya merasmikan Pesta Pulau Pinang Tahun 2016 yang mana merupakan sambutan julung kalinya ke-50 tahun penganjuran.

Hadirin yang dihormati sekalian,

2. Pesta Pulau Pinang sememangnya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh warga Pulau Pinang tetapi juga mereka yang berada di sekitar wilayah Utara Semenanjung, serta pelawat dan pengunjung yang bercuti di Pulau Pinang. Pesta Pulau Pinang 2016 dijadual berlangsung selama 36 hari, mulai 26 November sehingga 31 Disember 2016.

3. Seiring dengan tagline Jom Pi Pesta, Pesta Pulau Pinang ini secara tidak langsungnya bersesuaian dengan tema Pesta Pulau Pinang 2016 iaitu perdagangan, pelancongan, kebudayaan dan fiesta. Sebagai Kerajaan berjiwa rakyat yang peka kepada rintihan rakyat yang dibebani dengan GST, maka harga tiket masuk ke Pesta Pulau Pinang masih lagi dikekalkan seperti tahun-tahun lalu iaitu RM3.00 untuk dewasa dan bayaran masuk kanak-kanak pada kadar RM1.00.

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Saya difahamkan sebanyak 161 gerai jualan dan pameran merangkumi sektor elektrik dan elektronik, produk kesihatan, pelancongan, hiasan dalaman, produk berasaskan kayu, bazaar tekstil, pokok hiasan, pakaian, produk kraftangan dan lain-lain menanti kehadiran pengunjung di Tapak Pesta. Seiring dengan prinsip CAT Kerajaan Negeri yiaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus, maka kemudahan perniagaan di Pesta Pulau Pinang ini telah ditawarkan melalui kaedah cabutan undi dan sebut harga terbuka yang mana tahun ketiga kaedah ini digunapakai ianya nyata telah dapat mengurangkan masalah penggerai yang terpedaya oleh pihak-pihak yang hanya mahu mendapat keuntungan pintas dan singkat sahaja.

5. Seperti yang sedia maklum, pelaksanaan aktiviti dan program di Pesta adalah menyeluruh, mengambil kira program bercorak kekeluargaan, kesukanan dan riadah iaitu sebanyak 80 program telah diaturkan sepanjang Pesta Pulau Pinang 2016 berlangsung. Pengunjung akan disajikan dengan pertunjukan hiburan pentas, program bercorak kesukanan seperti Pertandingan Silat Antarabangsa, Pesta Tinju Antarabangsa dan Pesta Muay Thai Challenger 2016.

6. Dalam pertandingan berkonsepkan hiburan pula, Pesta Pulau Pinang akan menganjurkan beberapa pertandingan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru seperti Chinese Youth Karaoke Singing Competition, Bintang Pesta serta pertandingan Battle Of The Bands, yang telah berperanan sebagai platform dalam melahirkan bintang-bintang baru dalam persada seni negara. Selain itu juga program tambahan yang diperkenalkan adalah Malam Kebudayaan Negeri yang melibatkan persembahan tarian dan nyanyian serta boria di bawah naungan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

7. Pesta Pulau Pinang 2016 ini juga mengambil kira minat dan kecenderungan umum dalam budaya selfie/wefie dengan menyediakan beberapa ruang istimewa. JKR Cawangan (Elektrik) juga telah mewujudkan satu sudut berkonsepkan Taman Elektra, yang menempatkan lampu-lampu dan pelbagai acra menarik dengan pelbagai warna dihadapan Arena 1, laluan terowong cahaya berhadapan Arena 2 selain menaiktaraf pencahayaan dengan pelbagai warna lampu di Taman Mini ala ICT.

8. Seperti pada tahun-tahun lepas, masih terdapat penyertaan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mengadakan pameran berkaitan aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam Pesta ini.

9. Seiring dengan majlis perasmian Pesta Pulau Pinang 2016 ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kewangan Negeri dan urusetianya yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi penganjur Pesta Pulau Pinang 2016, kali ke – 50.

10. Pada kesempatan ini juga, sukalah saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Kerjaya Raya, Majlis Perbandaran Seberang Perai, pihak media khasnya FM Mutiara, media cetak dan kesemua mereka yang telah menyumbangkan idea bagi menjayakan Pesta Pulau Pinang pada tahun ini.

11. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua pengunjung – selamat beriadah bersama keluarga di Pesta Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.