MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENYAMBUNGAN DAN MENAIKTARAF JALAN ZOO DARI SIMPANG JALAN AYER ITAM KE JALAN KAMPUNG PISANG

PADA 21 OGOS 2016 (AHAD) 9.00 PAGI

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat di dalam penganjuran Majlis Pelancaran Projek Penyambungan & Menaiktaraf Jalan Zoo Dari Simpang Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang pada pagi yang mulia ini.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Jalan Ayer Itam menjadi jalan hubungan dan perantaraan yang penting bukan hanya untuk penduduk kawasan Ayer Itam malah penduduk kawasan Paya Terubong, Relau, Balik Pulau dan kawasan selatan pulau yang menggunakan Jalan Ayer Itam ke kawasan George Town dan bahagian timur pulau dan sebaliknya.

Isipadu aliran lalulintas di Jalan Ayer Itam telah meningkat ke tahap di mana kesesakan lalulintas berlaku pada setiap hari terutama pada waktu-waktu puncak lalulintas. Tanpa pelebaran jalan dan persimpangan atau penyediaan laluan alternatif, masalah kesesakan bukan sahaja akan berterusan tetapi akan bertambah teruk.

Kerajaan Negeri prihatin mengenai masalah lalulintas yang dihadapi oleh penduduk Pulau Pinang termasuk penduduk di kawasan Ayer Itam, Paya Terubong, Bandar Baru Farlim dan secara amnya pengguna jalan raya yang berulang-alik melalui kawasan ini yang terpaksa menghadapi masalah kesesakan lalulintas yang serius pada setiap hari.

Oleh yang demikian, untuk kemudahan penduduk di kawasan Ayer Itam, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membina sebatang jambartan untuk menghubungkan Jalan Zoo yang pada ketika ini tidak bersambung di antara Jalan Ayer Itam dan Jalan Kampung Pisang.

Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah memanggil satu tender terbuka bagi menjalankan Projek Penyambungan dan Menaiktaraf Jalan Zoo dari Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang. Projek ini telah pun bermula pada 29 Disember 2015 dan dijangka siap pada 28 Jun 2017 dengan tempoh kontrak selama 18 bulan. Kos projek ini adalah sebanyak RM13.65 juta.

Jalan Zoo dari Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang akan dinaiktaraf sepanjang 769 meter dan sebuah jambatan sepanjang 29 meter akan dibina untuk menghubungkan jalan ini. Kemajuan projek setakat ini adalah sebanyak 51 peratus.

Bagi menjalankan projek penyambungan dan menaiktaraf Jalan Zoo ini, pengambilan tanah terpaksa dibuat. Pengambilan tanah ini melibatkan kawasan seluas 7,143.63 meter persegi (1.76 ekar) dan sebanyak sembilan buah premis telah terlibat. Pampasan telah diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada semua penduduk terlibat. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima-kasih kepada penduduk-penduduk ini yang telah memberi kerjasama penuh dan mengosongkan premis-premis mereka supaya projek ini tidak tergendala dan dijalankan dengan berjayanya.

Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan masalah lalulintas yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Ayer Itam, Bandar Baru Farlim dan pengguna jalan raya secara amnya. Bagi menyuraikan aliran lalulintas, Lebuhraya “Ayer Itam By-pass” yang menyambungkan Lebuhraya Thean Tek dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan “Penang Island Link” yang bersambung dari kawasan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah melalui Jalan Paya Terubong ke Jalan Tanjung Tokong telah dirancang. Kedua-dua lebuhraya ini akan bersambung dengan kawasan Ayer Itam dan Bandar Baru Farlim di Lebuhraya Thean Tek. Projek “Ayer Itam By-pass” dijangka bermula pada akhir tahun ini. Selain dari itu jalan berkembar Jalan Paya Terubong yang juga dikenali sebagai Jalan Bukit Kukus sedang dibina Majlis Bandaraya Pulau Pinang sebagai sebahagian dari perancangan Kerajaan Negeri untuk menyuraikan aliran lalulintas di kawasan Ayer Itam dan Paya Terubong.

Dengan penyambungan Jalan Zoo ini, pada masa hadapan penduduk-penduduk di kawasan Ayer Itam akan dapat menggunakan lebuhraya-lebuhraya yang disebutkan di atas untuk ke bahagian utara, timur dan selatan pulau tanpa perlu melalui jalan-jalan arterial tempatan lain. Ini akan mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar seperti Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland, Jalan Mount Erskine, Ayer Itam, Paya Terubong dan jalan-jalan utama yang lain. Pembinaan jalan ini juga akan membantu mengurangkan pencemaran udara yang dihadapi oleh penduduk serta mengurangkan stress dan belanja bahanapi (petrol) pemandu kenderaan. Setiap hari 20,000 pengguna jalan raya akan mendapat manafaat dengan penyambungan Jalan Zoo ini.

Ini menunjukkan keprihatinan, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menangani masalah lalulintas yang dihadapi oleh penduduk. Dengan ini, saya melancarkan Projek Penyambungan Dan Menaiktaraf Jalan Zoo Dari Simpang Jalan Ayer Itam Ke Jalan Kampung Pisang.

Sekian, terima kasih.