Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 adalah Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam melaksanakan tata kelola yang baik dan bersih. Ianya terbukti dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Transparency International kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di samping pujian setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara.
Urus tadbir Kerajaan Negeri yang bersih membolehkan lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM503 juta dalam tempoh 7 tahun pemerintahan (2008-2014) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu. Jelas sekali, sepanjang 7 tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang, jauh lebih berkesan daripada 50 tahun sebelum ini.
Hasil lebihan belanjawan setiap tahun membolehkan Kerajaan Negeri memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) atau bonus tanpa mengambil kira kadar bonus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang lazimnya kurang daripada kadar pemberian Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri berharap pemberian bonus ini dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan anggota Perkhidmatan Awam Negeri yang bertambah akibat pelaksanaan cukai GST dan juga sebagai satu penghargaan ke atas kegigihan dan kesungguhan menjalankan amanah yang diberikan. Tanpa melaksanakan GST Kerajaan Negeri mampu memberikan bonus dan tidak jadi bankrap.
Tidak terkecuali juga, pemberian bonus ini turut dipanjangkan kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300 seorang, manakala RM200 seorang kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang. Ataupun keseluruhan RM600 atau RM400 bonus masing-masing.
Sejak 2008 hingga 2014, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pemberian bonus sebulan gaji dengan minimum RM1,300 (biasanya dibayar 2 kali iaitu pada pertengahan dan akhir tahun semasa) yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM47.42 juta.
Tahun ini pun sama. Bagi tahun 2015, bayaran bonus pertengahan tahun sudahpun dibuat pada Jun 2015 di mana melibatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri sebanyak RM5.22 juta. Dalam Pembentangan Bajet Negeri pada 6 November 2015 baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan pemberian bonus setengah bulan gaji lagi dengan minimum RM700 dan ianya akan dibayar pada 18 Disember 2015.
Pemberian bonus akhir tahun berkenaan dijangka menelan belanja sebanyak RM5.22 juta. Secara keseluruhannya, bagi pemberian bonus 2015, Kerajaan Negeri membelanjakan RM10.44 juta.
Marilah kita menggembleng tenaga untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri antarabangsa dan pintar. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!