Kekalkan Kerajaan Berjiwa Rakyat Yang Martabatkan Rakyat.

Utusan Hari Raya Aidilfitri 1432 Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 29.8.2011

Dengan penuh ikhlas dan rasa rendah diri, saya mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua umat Islam di Malaysia. Semoga 1 Syawal 1432 Hijrah demgan harapan baru untuk menjalankan tugas kerja masing-masing dengan penuh bertanggungjawab dan melawan sebarang kemungkaran.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berusaha menunaikan kewajipan kami kepada rakyat dengan urustadbir CAT – Cekap, Akauntabel dan Telus yang berlandaskan “amar maaruf nahi mungkar”. Urustadbir baik dan cekap ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan negara seperti oleh Lapuran Ketua Audit Negara dan perunding dana kewangan Tan Siok Choo. Malah Pulau Pinang baru ini dipuji oleh majalah ekonomi antarabangsa “The Economist” dan Transparency International atas usaha melawan rasuah dan mengamalkan sistem tender terbuka.

Pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba mainkan sentimen perkauman dengan momokan bahawa kontraktor Melayu akan rugi kerana tidak dapat berdaya saing dalam sistem tender terbuka. Hakikatnya ialah 100% daripada kontrak Jabatan Perairan & Saliranbernilai RM 35.6 juta dan 99.5% daripada kontrak JKR bernilai RM 124.2 juta diberikan kepada kontraktor Melayu. Nyata sekali bukan kontraktor Melayu yang tidak dapat berdaya saing tetapi kontraktor bersifat kroni yang tak berguna. Inilah matlamat kerajaan Pakatan Rakyat berjiwa rakyat dengan martabatkan rakyat tanpa kira kaum, agama dan fahaman politik.

Walau pun ada segelintir orang mahu menyempitkan ajaran Islam dengan memburukkan orang lain serta menimbulkan fitnah dan memainkan sentimen perkauman, kerajaan negeri yakin bahawa Islam yang sebenar menggalakkan kita semua untuk bersahabat dengan penuh kasih sayang tanpa rasa curiga antara satu sama lain. Itulah sebebnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengulangi jaminan bahawa ia bukan anti-cina, anti-Melayu atau anti-India tetapi hanya anti-rasuah sahaja.

Hanya dengan menghayati dan mengamalkan ajaran agama yang mengajak kepada kasih sayang, perpaduan dan saling faham-memahami antara satu sama lain dapat meruntuhkan tembok yang selama ini memisahkan kita semata-mata kerana perbezaan kaum, agama dan cara hidup.

Harapan saya ialah untuk melihat ibu-ibu tidak lagi menangis kerana melihat anak-anak kelaparan, bapa-bapa tidak lagi mengeluh kerana tidak mampu menyediakan keperluan keluarga, anak-anak tidak lagi kecewa kerana tidak mempunyai buku, pakaian dan barang permainan, dan warga emas, ibu tunggal serta orang kurang upaya tidak lagi meratap kerana dipinggirkan oleh orang-orang yang menjadi tempat mereka menaruh harapan.

Ini boleh dilihat dalam program sosial negeri seperti penghapusan miskin tegar, penghargaan warga emas, sumbangan pelajar IPTA dan anak emas, bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat dan para huffaz serta program kebajikan yang makan perbelanjaan lebih RM40 juta setahun. Inilah erti Syawal yang saya harap dapat mengukuhkan semangat kita semua untuk tidak melupakan mereka yang amat memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang kita.

Dengan sedikit tenaga dan keupayaan kurniaan Tuhan, kami telah dan akan terus berusaha untuk melaksanakan yang terbaik untuk semua, terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan. Marilah kita terus kekalkan kerajaan berjiwa rakyat yang martabatkan rakyat.

Semoga 1 Syawal ini membawa berkat dan rahmat buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

LIM GUAN ENG

Leave a Comment