Memohon Pemansuhan Permohonan Visa Perjalanan di Antara Taiwan dan Malaysia

3 Disember 2010

YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Blok D1, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Tel : 03-88863000
Fax : 03-88891613

Yang Berhormat Dato’ Seri,

MEMOHON PEMANSUHAN PERMOHONAN VISA PERJALANAN DI ANTARA TAIWAN DAN MALAYSIA BAGI MEMPROMOSIKAN PERDAGANGAN DAN PELABURAN

Saya mendoakan semoga Yang Berhormat sekeluarga sihat sejahtera hendaknya.

2. Merujuk perkara di atas, izinkan saya mengutarakan beberapa faktor yang memberi impak negatif kepada industri pelancongan, pembuatan dan perdagangan khususnya kepada kehadiran pelabur-pelabur Taiwan ke Malaysia khasnya Pulau Pinang.

3. Adalah dimaklumkan bahawa, pertemuan dengan TIAM (Taipei Investors’ Association in Malaysia) baru-baru ini, telah dibangkitkan isu mengenai kerisauan mereka tentang permohonan visa untuk memasuki Malaysia kerana pihak berkuasa Taiwan juga berhasrat untuk mengenakan tindakan yang sama ke atas pengunjung Malaysia ke sana.

4. Untuk makluman Yang Berhormat, Malaysia tersenarai di antara empat (4) buah negara yang dikecualikan visa oleh pihak berkuasa Taiwan (termasuk Jepun, Singapura dan Korea Selatan). Manakala Taiwan pula tersenarai di antara 29 buah negara yang dikehendaki untuk memohon visa perjalanan untuk memasuki Malaysia. Perkara ini menjadi lebih serius apabila kita melaksanakan skim pembatalan visa semasa ketibaan yang dilancarkan pada bulan Ogos tahun ini.

5. Sejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia dan Taiwan telah menjalinkan satu hubungan perindustrian yang amat baik. Jumlah keseluruhan pelaburan syarikat Taiwan di Malaysia melebihi US$10 bilion di mana angka ini telah menjadikan Taiwan berada di kedudukan ke lima (5) teratas Pelaburan Langsung Asing (FDI) termasuk United States, Jepun, Hong Kong dan Singapura. Rekod pelaburan asing MIDA menunjukkan bahawa untuk projek-projek yang telah diluluskan di Pulau Pinang, Taiwan menduduki tangga teratas bagi tahun 2009 yang bernilai lebih daripada RM600 juta. Setakat ini, syarikat Taiwan merangkumi 25% daripada jumlah keseluruhan Syarikat Multinasional (MNC) di Pulau Pinang.

6. Di ASEAN, Malaysia merupakan negara kedua terbesar selepas Singapura di dalam sektor perdagangan Taiwan. Untuk 10 bulan pertama tahun 2010, nilai export Malaysia ke Taiwan telah mencecah kepada US$6.4 bilion manakala nilai export Taiwan ke Malaysia berjumlah US$4.9 bilion.

7. Menurut TIAM, keperluan visa untuk memasuki Malaysia telah menyebabkan kos operasi/pengurusan bagi ahli-ahli perniagaan Taiwan ke Malaysia meningkat disebabkan perlunya bantuan teknikal daripada pusat terutamanya juruteknik dan jurutera yang kerap melawat Malaysia. Masa dan kos yang terlibat semasa permohonan visa juga telah membantutkan kecekapan sesuatu perniagaan. Ada juga di kalangan ahli perniagaan dan pelabur Taiwan yang gagal menghadiri atau menyertai pameran perdagangan atau mesyuarat di Malaysia disebabkan kegagalan mendapatkan visa pada masa yang tepat.

8. Bagi mempromosikan perdagangan global, pelancongan dan pelaburan, kebanyakan negara telah mengamalkan kemudahan “visa-free” kepada para pengunjung. Malaysia, sebagai sebuah negara yang kompetitif di dalam kedudukan global dalam aspek perniagaan dengan pelabur asing, boleh mempertimbangkan pengecualian visa bagi penambahbaikkan kepada kedudukan yang sedia ada dan lebih menarik.

9. Kami berharap agar Yang Berhormat Dato’ Seri dapat mempertimbangkan perkara-perkara berikut :

a) membalas baik dasar pengecualian visa oleh Taiwan kepada pengunjung Malaysia ke Taiwan dengan menyokong permohonan pengecualian visa kepada pengunjung dari Taiwan dengan membenarkan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat Taiwan;

b) Bantuan daripada Kerajaan Malaysia dengan mempercepatkan proses kelulusan permohonan visa.

10. Sekiranya Malaysia tidak membalas baik pengecualian visa oleh Taiwan, kami khuatir jumlah pengunjung dan pelabur Taiwan ke Malaysia akan berkurangan yang sedikit sebanyak akan memberi impak dan menjejaskan ekonomi Pulau Pinang. Kami amat mengharapkan pertimbangan dan jawapan yang positif daripada pihak Yang Berhormat Dato’ Seri.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang

Leave a Comment