Marilah menjadikan Pulau Pinang sebagai sinar harapan untuk merdeka, demokrasi, integriti, moraliti awam dan kerajaan rakyat selain juga sebagai simbol perpaduan kebangsaan yang tinggal bersama dalan suasana penuh harmoni dan saling hormat-menghormati.
Ketika kita menyambut kemerdekaan ke-53, negara nampaknya semakin berpecah berbanding sebelum ini oleh elemen perkauman, keagamaan dan kebencian peribadi. Membangkitkan kebencian dan sikap tidak bertolak-ansur perkauman dan keagamaan menjadi suatu kelaziman daripada sesuatu yang patut dielakkan.
Cabaran terbesar ialah sama ada rakyat Malaysia boleh bangkit melangkaui bahasa keganasan yang digunakan oleh pelampau dan memenuhi takdir kemerdekaan 53 tahun lalu yang dikongsi oleh semua masyarakat dan menjanjikan kemakmuran kepada setiap penduduk. Pulau Pinang terus menjadi mangsa serangan oleh pelampau dan seteru politik UMNO yang menggunakan segala tipu helah untuk membangkitkan ketegangan dan perpecahan.
Antara tipu-helah yang masih digunakan ialah kerajaan negeri Pulau Pinang mengharamkan perarakan Maulidur Rasul, mengharamkan Bazaar Ramadhan, menggantikan nama YDP Agong dalam khutbah Jumaat dengan nama Ketua Menteri dan hanya mengusir penduduk kampung dan peniaga berbangsa Melayu. Sehingga hari ini, kerajaan negeri tidak pernah mengusir seorang pun orang Melayu atau isirumah bukan Melayu dan semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan ke atas peniaga, hanya 30% adalah Melayu. Dalam pada itu, apabila pengusiran dilakukan oleh pemilik tanah peribadi, kerajaan negeri campur tangan untuk merundingkan penyelesaian.
Ini berlaku kerana pihak lawan telah muflis idea sehingga menjurus kepada perkauman dan keagamaan. Kebencian perkauman dan keagamaan menjadi senjata akhir oleh pelampau yang tidak mampu menang dalam mana-mana debat berdasarkan fakta dan logik atau mencari kelemahan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).
Keterdesakan mereka ditunjukkan apabila kerajaan PR Pulau Pinang terbukti tidak mengamalkan rasuah, salah guna kuasa atau membazirkan wang rakyat. Tiada seorangpun pemimpin PR telah menjadi kaya-raya atau memiliki kediaman mewah. Kami hidup dalam kesederhanaan dan menggunakan penerbangan tambang murah bila-bila perlu.
PR telah mengurangkan rasuah dengan pentadbiran CAT (Kecekapan, Kebertanggung jawaban & Ketelusan) dengan memulihkan jangkaan defisit RM35 juta pada tahun 2008 kepada catatan lebihan sebanyak RM88 juta. Ini diulangi sekali lagi pada tahun 2009 dengan memulihkan jangkaan defisit RM40 juta kepada lebihan RM77 juta. Buat pertama kalinya dalam sejarah, Transparency International memuji pentadbiran CAT Pulau Pinang dalam membanteras rasuah.
Kejayaan membanteras rasuah inilah membolehkan kerajaan negeri mampu untuk menjalankan program penghargaan warga emas yang membuat bayaran tahunan RM100 kepada semua penduduk berusia 60 tahun ke atas dan dan bayaran sekaligus RM1,000 kepada keluarga yang kehilangan warga emas yang menelan kos sebanyak RM20 juta. Ini jugalah penyebab kerajaan negeri dapat memberi rebat air RM100 pada 2008 kepada semua isi rumah miskin dan sederhana dengan kos keseluruhan RM20 juta. Begitu juga dengan kemampuan kerajaan negeri untuk menyampaikan dana sebanyak RM11.3 juta kepada sekolah-sekolah bantuan separuh dan mampu menggandakan peruntukan untuk hal-ehwal Islam kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding RM13.5 juta di bawah BN pada 2008.
Semua kejayaan ini dalam melaksanakan kerajaan berpusatkan rakyat telah menjadikan pihak lawan semakin terdesak. Mereka menjadi lebih terdesak apabila Pulau Pinang menjadi yang pertama mengharamkan judi bolak sepak selepas kerajaan Persekutuan mengeluarkan lesen tersebut. Ekoran tindakan Pulau Pinang itu, kerajaan Persekutuan tiada pilihan lain selain terpaksa membatalkan lesen judi itu. Pastinya ramai pemimpin BN dan UMNO marah atas pembatalan lesen judi bola itu kerana terlepas pendapatan ratusan juta ringgit.
Penang akan memacu kehadapan dalam menubuhkan kerajaan yang mengutamakan rakyat dengan mendengar rintihan rakyat, melakukan pekerjaan untuk rakyat dan memberi harapan kepada rakyat. Kami akan berpegang teguh kepada pengharaman judi bola di negeri ini yang menjadi aspirasi bersama 1.5 juta penduduk Pulau Pinang tanpa mengira kaum.
Marilah menjadikan Pulau Pinang sebagai sinar harapan untuk merdeka, demokrasi, integriti, moraliti awam dan kerajaan rakyat selain juga sebagai simbol perpaduan kebangsaan yang tinggal bersama dalan suasana penuh harmoni dan saling hormat-menghormati.