YDP Mestilah Memastikan Semua Pemaju Pemaju Terlebih Dahulu Menyiapkan Sistem Perparitan Dan Longkang

Kenyataan Akhbar oleh YAB Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang di George Town pada 19.05.2010

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang Dan Majlis Perbandaran Seberang Perai Mestilah Memastikan Semua Pemaju Terlebih Dahulu Menyiapkan Sistem Perparitan Dan Longkang Bagi Mengelakkan Berlakunya Banjir Kilat Sebelum Dibenarkan Memulakan Pembinaan

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan arahan berhenti kerja ke atas pemaju PERDA yang telah menyebabkan banjir kilat di Balik Pulau semalam (18.05.2010). Kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang sedia ada untuk projek pembangunan perumahan di Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang telah ditukarkan saiznya kepada yang lebih kecil oleh pemaju yang bertanggungjawab iaitu Lembaga Wilayah Kemajuan Pulau Pinang (PERDA). Saiz perparitan yang lebih kecil itu tidak mampu untuk menampung aliran air semasa musim hujan atau sekiranya berlaku hujan lebat.

Oleh yang demikian, Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah diarahkan keluarkan arahan berhenti kerja kepada pihak PERDA dan arahan ini hanya akan dibatalkan setelah pihak PERDA memperbaiki sistem perparitan yang mampu untuk menampung aliran air tidak kira semasa musim hujan atau sekiranya berlaku hujan lebat.

Pembetulan yang diwajibkan ke atas pihak PERDA mesti menyelesaikan masalah banjir akan sekaligus menghilangkan kegusaran penduduk-penduduk di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri memandang serius sikap tidak bertanggungjawab PERDA dan berharap Pengerusi PERDA dan PERDA boleh bersikap professional dan bertimbang rasa kepada rakyat selaras dengan peranan statutorinya sebagai badan berkanun kerajaan.

Pada masa yang sama, saya telah mengeluarkan arahan kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai agar semua pemaju mestilah terlebih dahulu menyiapkan sistem perparitan dan longkang untuk mengelakkan berlakunya banjir kilat sebelum dibenarkan memulakan pembinaan. Sekiranya mereka engkar, maka perintah henti kerja akan dikeluarkan serta merta.

Leave a Reply