Gesaan Tambahan Peruntukan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Di Pulau Pinang

Gesaan Tambahan Peruntukan Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Di Pulau Pinang Khususnya Jalan Industri Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas.

Daripada jumlah keseluruhan 16,000 kilometer (km) jalan persekutuan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, negeri Pulau Pinang mencatatkan jumlah terendah dengan hanya 180.44km jalan yang diwartakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan diselenggara sepenuhnya oleh kementerian terbabit melalui konsep penswastaan.

Berbanding negeri-negeri yang mempunyai keluasan lebih kecil seperti Perlis dengan keluasan 795 kilometer persegi, jumlah jalan yang diwartakan adalah sepanjang 211.3km. Di Negeri Sembilan, jalan yang diwartakan adalah sepanjang 1,313.73km ; Melaka, 246.05km ; Selangor, 891.78km dan tertinggi adalah negeri Pahang, 3.606.27km.

Di Pulau Pinang, hanya 12 jalan diwartakan sebagai jalan persekutuan iaitu dari sempadan negeri Perak – sempadan negeri Kedah melalui Sungai Junjung, Sungai Perai dan Sungai Muda (61.960km) ; jalan mengelilingi Pulau Pinang (62.330km) ; Jalan Tun Dr. Awang (5.8km) ; Jalan Yahya Petra ke Stesen Bukit Bendera (3.2km) ; Jalan Bukit Tambun (2.7km) ; Jalan Pa Thau – Pa Boi (2.46km), Jalan Bayan Lepas – Air Itam (16.6km), Persimpangan Jalan Paya Terubong – Pekan Air Itam (3.3km) ; Jalan Telaga Air (0.8km) ; Jalan Permatang Pauh (9.6km) ; Jalan Perusahaan (3.2km) ; Jalan Persisir Pantai / Lebuhraya Bayan Lepas (4.7km) ; Lebuhraya Kampung Jawa (1.58km) dan Jalan Mayang Pasir (2.21km).

Selebihnya, iaitu jalan negeri termasuk jalan bandaran, jalan taman dan jalan negeri utama yang keseluruhannya sepanjang 2,153.56km adalah berada di bawah penyelenggaraan Kerajaan Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dengan peruntukan terhad. Jumlah tersebut tidak termasuk jalan kampung yang berada di bawah penyelenggaraan pejabat daerah yang turut memerlukan suntikan peruntukan khas daripada pihak Kerajaan Negeri.

Ketika menjawab pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat pada 6 April 2010, KKR menyatakan bahawa pihaknya melalui JKR menyelenggara jalan – jalan persekutuan di Pulau Pinang yang panjangnya 184km.

Pihak kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM17.927 juta dari tahun 2007 sehingga 2010 bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di Pulau Pinang dengan dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan Zon Utara iaitu Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd. yang dilantik oleh pihak kerajaan pada tahun 2001 secara kontrak untuk tempoh selama 15 tahun sehingga pada awal 2016. Pecahan bagi kos tersebut adalah seperti berikut :

1. Pada tahun 2007 berjumlah RM4.377 juta
2. Pada tahun 2008 berjumlah RM5.043 juta
3. Pada tahun 2009 berjumlah RM5.047 juta; dan
4. Pada tahun 2010 berjumlah RM3.46 juta

Sebagai tambahan, maklumat km panjang jalan persekutuan juga adalah tidak tepat – sepatutnya 180.44km dan bukannya 184km seperti dinyatakan di dalam jawapan bertulisnya. Nampaknya KKR bersikap tidak adil!

Sebagai negeri penting yang menyumbang hampir 25 peratus pada aspek nilai dan jumlah eksport serta import, Kerajaan Pusat haruslah menambah peruntukan khususnya dalam membantu menaiktaraf jalan industri terutamanya jalan utama ke Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas yang kini kurang memuaskan dan bukanlah bertaraf antarabangsa. Macam mana Kerajaan Pusat ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dengan keadaan ekonomi kukuh, berpengetahuan dan bermaklumat sekiranya jalan pun tidak dapat dijaga dengan sempurna!

Leave a Reply