Kenyatan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang:
Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menjemput semua rakyat tanpa mengira kaum untuk menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang pada 14 Februari 2010 (Ahad) jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang di Komtar Walk, Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Pulau Pinang.
Buat pertama kalinya, Ketua Menteri memilih Komtar Walk sebagai tempat penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baru Cina atas sebab KOMTAR merupakan Kompleks Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pada masa yang sama, supaya orang ramai dapat melihat dengan mata sendiri usaha-usaha yang telah dibawa oleh Kerajaan Negeri untuk memulihkan KOMTAR sebagai mercu tanda yang terpenting bagi Negeri Pulau Pinang.
Selain daripada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff dijemput hadir, semua Ahli Majlis Mesyuarat Eksekutif Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Majlis MPPP dan MPSP serta Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan akan turut bersama serta bermesra dengan rakyat jelata dalam acara yang amat bermakna ini.
Semua rakyat tanpa mengambil kira kaum, termasuk tokoh-tokoh pertubuhan-pertubuhan awam, tokoh-tokoh korporat, pemimpin-pemimpin agama, konsul-konsul jeneral yang berkhidmat di Pulau Pinang dan sebagainya adalah dijemput untuk hadir serta menikmati jamuan hidangan yang akan disediakan pada hari itu dan juga menyaksi pelbagai acara persembahan yang berunsur kebudayaan pelbagai kaum.
Ketua Menteri berharap persefahaman di antara Kerajaan Negeri dan rakyat jelata serta di kalangan rakyat berbilangan kaum dan agama dapatlah dipupuk dengan penganjuran serta penglibatan diri dalam acara Rumah Terbuka. Para hadirin diminta supaya meletakkan kenderaan masing-masing di tapak-tapak letak kereta yang telah disediakan dengan mengikut arahan daripada pihak polis, anggota-anggota Rela dan penguatkuasa-penguatkuasa MPPP.
Pada masa yang sama, rakyat jelata juga dijemput untuk menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 19 Februari 2010 (Jumaat) jam 6.30 petang hingga 11.00 malam di Pusat Perniagaan Maju Utama, Kampung Baru, Bukit Mertajam.