Sekiranya RM 628 Juta Untuk Sebuah Pusat Pameran Dibolehkan Mengapa Kerajaan Pusat Tidak Memperuntukkan Sekurang-kurangnya RM 10 Bilion Untuk Mengatasi Masalah Banjir.
Dengan penuh rasa rendah diri, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Ad’ha serta selamat menyempurnakan ibadah haji kepada semua umat Islam di Malaysia.
Saya berasa amat sedih kerana ada antara kita yang terpaksa menyambut hari yang mulia ini dengan keadaan serba kekurangan dan daif berikutan banjir besar di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Saya berharap ribuan rakyat Malaysia yang terpaksa dipindahkan kerana banjir supaya bersabar dan cekal menghadapi bencana alam ini.
Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, kami sudah bersiap sedia untuk menghadapi masalah banjir termasuk menyediakan bantuan-bantuan yang perlu jika berlaku bencana itu di negeri ini.
Bagi pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP), saya berharap semua ahli parti dapat mencari jalan dan berusaha sebaik mungkin untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang telah dilanda bencana itu, sama ada dengan memberi sumbangan kewangan, makanan atau pun tenaga kerja.
Adalah perlu bahawa Kerajaan pusat memperuntukkan sekurang-kurangnya RM 10 bilion setiap tahun kepada seluruh Malaysia untuk mengatasi masalah banjir ini. Alangkah perbelanjaan ini lebih baik daripada membazirkan dan mensia-siakannya untuk membina satu pusat pameran MATRADE berharga RM 628 juta tanpa tender terbuka yang tidak diperlukan dengan adanya Putra World Trade Center yang sendiri mengalami kerugian.
Mengapa perlunya membelanjakan RM 628 untuk satu pameran antarabangsa MATRADE baru seluas 90,000 meter persegi bila pusat pameran MATRADE yang sedia ada seluas 13,000 meter persegi, Kuala Lumpur Convention Centre seluas 9,710 meter persegi dan Putra World Trade Centre seluas 23,504 meter persegi tidak digunakan sepenuhnya dan semua mengalami kerugian?
Adalah perlu bahawa wang kerajaan digunakan secara langsung untuk membantu rakyat dengan berkesan dan bermakna. Dalam soal kemanusiaan dan demi kepentingan rakyat, kita tidak boleh memilih bulu atau berpihak kerana setiap nyawa tidak ternilai harganya.
Inilah pengorbanan yang sebenar yang sepatutnya datang dari hati semua pihak yang inginkan rakyat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam satu negara yang berkongsi impian yang sama.
Dengan ini saya iringkan doa buat mereka yang sedang berhadapan dengan masalah, semoga sentiasa bersabar menghadapi ujian duniawi.