Saya berharap Datuk Seri Ong Tee Keat akan menunaikan janjinya bahawa Jeti Swettenham akan siap dibina dan beroperasi pada bulan Januari 2010, janganlah berputar belit seperti Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Tan Cheng Liang.
Saya telah minta Menteri Pengangkutan menyatakan bila Jeti Swettenham akan siap dibina and beroperasi, dan perbadanan manakah yang akan menguruskan jeti kelak serta hasil kajian kemerosotan pelabuhan dan feri Pulau Pinang. Berapakah kerugian feri dan mengapakah bilangan feri dikurangkan.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 2hb Nov 2009 oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat seperti berikut:
”Tarikh siap praktikal bagi projek pembinaan semula Jeti Swettenhan adalah pada 15 Oktober 2009 dan Jeti Swettenham ini dijangka akan mula beroperasi pada bulan Januari 2010. Walaubagaimanapun ini adalah tertakluk kepada pengeluaran Sijil Layak Menduduki dari Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang. Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang akan menguruskan Jeti Swettenham.
Jumlah pengendalian kargo di Pelabuhan Pulau Pinang sejak 5 tahun kebelakangan secara amnya adalah dalam trend meningkat. Namun begitu pada tahun 2008, jumlah kendalian kargo di Pelabuhan Pulau Pinang telah menurun sebanyak 4.5% iaitu dari 27 juta tan pada tahun 2007 kepada 26 juta tan disebabkan oleh kesan kemelesetan ekonomi global.
Bagi tahun 2008, operasi feri Pulau Pinang telah mengalami kerugian sebanyak RM24.4 juta. Adalah tidak benar bahawa bilangan feri yang beroperasi telah dikurangkan sebab kesemua 8 buah feri masih dalam perkhidmatan. Walaubagaimanapun, bagi sesuatu masa, hanya 6 buah feri akan beroperasi manakala sebuah feri akan dihantar ke limbungan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan sebuah lagi diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ini merupakan amalan semasa pengendalian operasi feri Pulau Pinang.”
Lim Guan Eng