Laksanakan skim bantuan pemberhentian kerja segera (Labour Day Message)

Dalam suasana ekonomi negara yang masih gawat, saya dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di Malaysia. Saya sedar tahun ini bukan tahun untuk kaum pekerja bergembira ria kerana tekanan ekonomi telah banyak menjejaskan kehidupan keluarga kita semua.

Sehingga kini petanda haluan ekonomi global dan tempatan belum kelihatan pulih dan ekonomi negara telah pun dijangka mengalami kegawatan teruk pada separuh pertama tahun ini. Menurut pakar-pakar ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menjunam hingga -2.6 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Saya bagi pihak DAP yakin bahawa kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan hak pekerja sentiasa menjadi keutamaan. Dengan ini saya meminta Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan skim bantuan pemberhentian pekerja (unemployment benefit) dengan memberikan bantuan RM800 sebulan kepada setiap pekerja diberhentikan.

Bagi tahun ini, dianggarkan kira-kira 40,000 hingga 58,000 pekerja dijangka diberhentikan manakalah bagi tahun 2010, seramai 70,000 hingga 90,000 pekerja dijangka akan diberhentikan kerja.

Jika Kerajaan Pusat mampu menggunakan wang rakyat sebanyak RM 5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelamatkan satu atau dua syarikat dalam pasaran saham, sudah tentu tidak sukar bagi Kerajaan Pusat untuk memberi bantuan pemberhentian kerja RM 556.8 juta untuk 58,000 pekerja pada tahun ini dan RM1.42 bilion kepada 148,000 pada tahun 2010.

Jika slogan kerajaan “1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.” mahu dilaksanakan, maka langkah tekad dan berani perlu dilaksanakan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja. Berusaha menjaga kebajikan pekerja adalah selaras dengan pendirian Utamakan Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

Sebagai Setiausaha Agung DAP, saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa negara sememang terhutang budi kepada kaum pekerja dan mereka harus diberi keutamaan jika kita mahu terus berjaya mengharungi kegawatan ekonomi dan seterusnya memulihkan kembali usaha memajukan negara dan masyarakat.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya bersama rakan-rakan seperjuangan dari pelbagai latar belakang kaum, agama dan pegangan politik, telah pun menzahirkan janji-janji kami untuk memberi keutamaan kepada pekerja dan rakyat Malaysia.

Sebagaimana yang diketahui umum, kami di Pulau Pinang telah melaksanakan urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus) yang bertungkus-lumus memerangi rasuah dan membuktikan kepada semua bahawa kita rakyat Malaysia mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih tanpa perlu bergantung kepada rasuah dan penyelewengan.

Untuk memastikan nasib dan masa depan pekerja terjamin, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah membawa masuk pelaburan RM10.2 bilion pada tahun lalu berbanding dengan RM4.7 bilion pada tahun 2007.

Kerajaan negeri juga telah membekukan pengambilan pekerja asing di sektor pembuatan, terutama di sektor elektrik dan elektronik, tekstil dan pakaian serta sektor perkhidmatan. Bagi keperluan pekerja Malaysia, sebuah Pusat Bantuan dan Latihan Kerjaya (CAT Centre) telah dibina untuk membantu golongan yang hilang kerja.

Malah, bagi pekerja berpendapatan rendah, kerajaan negeri telah mengurangkan beban kewangan keluarga dengan memberi wang ehsan RM100 setiap keluarga kepada lebih 170,000 buah keluarga miskin. Kini Pulau Pinang telah berjaya membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM500.00 sebulan dengan bantuan kewangan di bawah Rakan Anti-Kemiskinan (RAK).

Saya berharap warga pekerja di Malaysia akan terus bersama dengan DAP dan Pakatan Rakyat ke arah memperjuangkan dan melahirkan satu masyarakat yang adil dan makmur yang bebas dari gejala rasuah dan penyelewengan.

Leave a Reply