TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DAN PELANCARAN PENANG SUOQ RAMADAN 2017
Selamat petang dan salam sejahtera.
Saya berasa amat berbesar hati pada petang ini dapat bersama–sama berhimpun bagi menjayakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Penang Suoq Ramadan 2017.
Program Penang Suoq Ramadan ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sempena menyambut bulan Ramadan. Program ini buat pertama kalinya telah dilancarkan pada tahun 2011 dan diteruskan pada setiap tahun dengan mencatatkan jumlah peningkatan yang amat memberangsangkan.
Peningkatan jumlah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan semua bangsa dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang terdapat di Pulau Pinang. Dengan adanya penganjuran program seumpama ini, saya percaya ianya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan saling bekerjasama antara kaum dalam memajukan ekonomi di Pulau Pinang.
Hadirin yang saya hormati,
Kerajaan Negeri sememangnya ingin menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri keusahawanan. Atas sebab itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Peniaga-peniaga kecil akan terus dibantu melalui program-program kebajikan seperti Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM).
Malah Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan pembangunan mana-mana kaum. Kerajaan Negeri adalah adil untuk semua tidak kira bangsa dan agama. Sebagai contoh, peruntukan Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam telah meningkat sebanyak 84% sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini. Sejak tahun 2008-2016, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM457.05 juta berbanding RM249.09 juta pada tahun 1999-2007.
Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Dato’ Haji Abdul Malik Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta semua jawatankuasa yang terlibat dan bertungkus lumus menjayakan program Penang Suoq Ramadan 2017 sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.
DENGAN INI SAYA MERASMIKAN MAJLIS PERASMIAN DAN PELANCARAN PENANG SUOQ RAMADAN 2017.
Sekian, terima kasih.