Lawatan ke Tapak Pembakaran Jalan Pantai

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town Pada 27.1.2012

Saya merujuk kepada lawatan saya ke tapak pembakaran sepanjang Jalan Pantai, Butterworth bersebelahan dengan stesen bas sementara Penang Sentral, di mana 25 gerai dibakar semalam. Pagi ini semasa membuat lawatan saya telah menyatakan bahawa saya akan mempertimbangkan bantuan kewangan kepada mangsa peniaga dan meminta mereka bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan MPSP dengan memberikan maklumat.

Oleh kerana tapak yang dibakar adalah tapak perniagaan maka mangsa peniaga tidak layak menerima bantuan Tabung TYT Pulau Pinang, yang dikhususkan hanya untuk mangsa-mangsa yang kehilangan rumah kediaman. Apa-apa pemberian Tabung TYT untuk mangsa perniagaan yang kehilangan gerai sepertimana yang berlaku di Jalan Pantai adalah melanggari peraturan yang ditetapkan.

Untuk membantu mangsa-mangsa perniagaan ini,saya bersedia menggunakan peruntukan saya sendiri tetapi perlu mendapatkan maklumat demi memastikan mereka adalah rakyat Malaysia. Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mahu memberikan bantuan kepada yang tidak layak menerimanya, kerana difahami ada ramai peniaga di sana daripada negara asing. Saya kesal bahawa ada pihak tertentu yang cuba memutar-belitkan kenyataan saya tidak akan memberikan bantuan kewangan kepada orang asing sebagai enggan membantu mangsa peniaga tempatan tertentu.

LIM GUAN ENG

Leave a Comment