Rakyat Mesti Menolak Hasutan Ekstremis Dan Berbau Perkauman

Rakyat Mesti Menolak Hasutan Ekstremis Dan Berbau Perkauman Yang Melabelkan Orang Bukan Islam Sebagai Berdosa Dan Negara-negara Islam Adalah Mundur, Miskin, Korup Dan Tidak Demokratik.

Rakyat mesti menolak hasutan ekstremis dan berbau perkauman yang melabelkan orang bukan Islam sebagai berdosa, khususnya dalam media yang dikuasai BN, kerana menyebarkan maklumat palsu bahawa amalan tradisi Kristian dan Hari Kekasih Valentine Day adalah berdosa. Pada masa yang sama ada pemimpin BN yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik.

Jelas sekali permainan perkauman dan ekstremis ini bertujuan untuk pecah-belahkan rakyat dengan melaga-lagakan antara agama agar pemimpin BN boleh terus memerintah dan skandal rasuah yang kian berleluasa. Keengganan BN menjawab skandal tentang RM888 bilion wang yang dibawa curi-curi keluar secara haram dalam 9 tahun di antara 2000-2008, amat tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan jumlah wang besar. Betapa besarnya boleh dilihat sekiranya RM888 bilion diagihkan kepada 27 juta rakyat Malaysia, maka setiap orang akan menerima RM 33,000/-! Atau kini setiap orang dewasa, kanak-kanak dan bayi telah kehilangan RM33,000/-.

Hari Kekasih atau Valentine’s Day bukanlah sebahagian daripada fahaman, ajaran atau nilai Kristian. Tidak ada sebarang upacara sembahyang dijalankan dalam gereja untuk menandakan Hari Kekasih ini. Sebaliknya ia adalah hanya suatu amalan popular yang tidak menggalakkan amalan jahat berzina atau berdosa. Sekiranya ada pihak jahat yang cuba menyalahgunakan Valentine’s Day untuk kegiatan maksiat atau berzina, ia dikecam dan dilarang oleh semua pihak baik bukan Islam ataupun Islam.

Untuk melabelkan ajaran Kristian sebagai tradisi berdosa dalam TV adalah sungguh tidak bertanggungjawab dan biadab. Jelas sekali ada pihak tertentu yang cuba mencari populariti di kalangan umat Islam dengan menjalankan kempen anti-Hari Kekasih seakan-akan suatu kempen menyelamatkan Islam daripada dosa-dosa yang diamalkan di kalangan bukan Islam.

Sekiranya mereka ingin mempertahankan Islam, mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN yang menyerang calon wanita PAS sebagai ekstremis kerana calon wanita itu memilih untuk tidak salam dengan kaum lelaki? Mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN sama yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik?

Jelas sekali, ini adalah suatu permainan politik BN dengan taktik talam dua muka untuk menimbulkan kebencian di kalangan kaum dan agama masing-masing. Sandiwara talam dua muka BN ini berlainan dengan PR yang bertindak adil kepada semua kaum dan agama dengan mempromosikan kesederhanaan, kesefahaman, dan saling hormat-menghormati serta bantu-membantu di antara satu sama lain.

PR berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa kesederhanaan adalah keadilan.

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Dalam Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Tahun Arnab Anjuran Cabang Tanjung PKR Pada 13.2.2011

Leave a Comment