Menara Warisan Merdeka 100-tingkat Dijangka Melebihi RM 10 Bilion Berdasarkan Kenaikan Kos Perbelanjaan Istana Negara Baru Daripada RM400 Juta Ke RM935 Juta.

Menara Warisan Merdeka 100-tingkat dijangka melebihi RM 10 bilion dan bukannya RM5 bilion sepertimana yang diumumkan sebelum ini berdasarkan kenaikan kos perbelanjaan Istana Negara baru daripada RM400 juta kepada RM935 juta. Sebelum ini di bawah Menteri Kerja Raya yang lama, Datuk S. Samy Vellu, kos pembinaan Istana Negara baru adalah RM 400 juta. Baru-baru ini Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Shaziman Abu Mansor dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, kosnya telah naik lebih sekali ganda kepada RM935 juta.

Perancangan dan anggaran awal yang begitu tidak berprofesyenal ini bermakna kemungkinan besar Menara Warisan Merdeka 100-tingkat bukanlah sekadar RM 5 bilion sepertimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri tetapi adalah melebihi RM10 bilion. Ini menimbulkan keraguan samada kerajaan Persekutuan berkomited kepada rasional Belanjawan 2011 “Transformasi Ke arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”. Ataupun kembali ke fokus zaman silam menjalankan projek mega yang hanya menafaatkan kroni-kroni tertentu dan bukanlah rakyat jelata.

Kita harus belajar daripada pengalaman zaman silam zaman Firaun yang berjaya membina Piramid yang maha besar atas darah dan titik peluh rakyat yang diperas dengan begitu zalim sekali tetapi kini hanya tinggal Priamid sedangkan Firaun sudah lama berkubur.

Belanjawan 2011 berusaha memulihkan pelaburan swasta agar menjadi jentera pembangunan ekonomi. Kejatuhan pelaburan luar negeri sebanyak 81% pada 2009 berbanding 2008 kepada RM 1.4 bilion daripada RM 7.3 bilion menimbulkan tanda tanya macam mana kerajaan akan berjaya menarik RM2.2 trillion dalam masa 10 tahun di mana 92% akan datang daripada sektor swasta.

Kita perlu melabur lebih banyak dalam Research & Development(R&D) yang kini hanya pada tahap 0.7% GDP sedangkan yang disyorkan oleh Bangsa-bangsa Bersatu dan negara maju ia adalah pada tahap 2.5% GDP. Saya bukan minta kita ikuti contoh Korea Selatan yang membelanjakan 4% GDP pada R&D tetapi negara harus melipatgandakan perbelanjaan dalam R&D dan bukannya berbilion-bilion untuk membina bangunan 100-tingkat.

Akhirnya adalah penting kerajaan persekutuan berjaya dalam Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam seramai 1.3 jtua orang. Kita harus memastikan produktiviti dan efisiensi dapat dipertingkatkan. Dasar ekonomi perlu menggalakkan pengusaha(entrepreneurs) bukanlah kroni, memperbanyakkan “innovators” bukanlah Little Napoleons.

Akhir sekali, saya mencadangkan agar Belanjawan ini menarik balik pengenaan cukai perkhidmatan yang akan membebankan rakyat sebanyak RM759 juta. Macam mana Belanjawan 2011 berkepentingan rakyat sungguhpun telah memotong duti import. kerajaan masih mengutip lebihan cukai sebanyak RM97 juta kerana menaikkan cukai perkhidmatan kepada 6% ini?

0 Responses to “Menara Warisan Merdeka 100-tingkat Dijangka Melebihi RM 10 Bilion Berdasarkan Kenaikan Kos Perbelanjaan Istana Negara Baru Daripada RM400 Juta Ke RM935 Juta.”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.