Pulau Pinang Sebagai Oasis Demokrasi, Jalur Lebar, Negeri HIjau, Berintegriti dan Pendidikan Cemerlang

UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG Y.A.B LIM GUAN ENG SEMPENA MESYUARAT YANG PERTAMA PENGGAL YANG KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG KEDUA BELAS PADA 6 MEI 2010.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Ahli-ahli Yang Berhormat,

1. Terlebih dahulu saya ingin bersyukur dan ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kehadirian TYT YDP Pulau Pinang sungguhpun baru sembuh dan keluar daripada wad Hospital. Jelas sikap kebertanggungjawaban Tun akan memberikan galakan kepada seluruh pentadbiran negeri untuk lebih gigih berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang bersatu padu, adil dan saksama serta makmur dan maju.

2. Sebagai mukadimah, TYT Tun telah memberikan ingatan bahawa sebuah kerajaan yang baik mestilah buat tiga perkara, iaitu dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat.

3. Demi memenuhi peringatan TYT Tun, kerajaan negeri telahpun dengar suara rakyat dengan menjadi negeri pertama mendirikan Dataran Pidato demi kebebasan bersuara dan memberikan Wifi percuma ke seluruh negeri serta tegas anti-rasuah; buat kerja rakyat dengan menjadi negeri pertama dalam sejarah Malaysia menghapuskan miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memperolehi RM 500 sebulan serta memberikan wang penghargaan RM 100 kepada semua warga emas melebihi 60 tahun di Pulau Pinang setiap tahun; dan memberikan harapan kepada rakyat dengan menuju ke arah negeri hijau dan ekonomi berpengetahuan dengan penubuhan Majlis Sains Pulau Pinang yang digerakkan oleh industri.

4. Sungguhpun menghadapi banyak cabaran daripada golongan ekstremis, beban tekanan daripada harapan orang ramai dan “perhatian tajam” daripada Kerajaan Persekutuan, kita berhasratkan Pulau Pinang menjadi suatu oasis demokrasi, jalur lebar, integriti, negeri hijau dan pendidikan cemerlang.

5. Adalah tidak benar sama sekali tuduhan melulu, liar dan tidak bertanggungjawab YB Ketua Pembangkang yang mendakwa Pulau Pinang adalah pusat maksiat negara. Pada hari ini ia dinafikan sendiri oleh Ketua Polis Negeri pada hari ini.

6. Tuduhan lain mengenai kemampuan kerajaan negeri menarik pelaburan menolak hakikat bahawa jumlah pelaburan yang masuk ke negeri Pulau Pinang sejak Mac 2008 hingga Februari 2010 adalah hampir RM 9 bilion. Sungguhpun pelaburan tahun lepas turun kepada RM 2.1 bilion kerana krisis ekonomi global, negeri Pulau Pinang adalah dalam tingkat ke-5. Saya yakin kerajaan negeri dapat sekaligandakan jumlah pelaburan ini kepada sekurang-kurangnya RM 4.2 bilion tahun ini. Perlu diingat bahawa keadaan ekonomi telah pulih sehingga kita menghadapi kekurangan pekerja. Maka hari ini tidak ada masalah untuk mengisi tempat kerja bagi 20,000 orang dengan serta-merta dan – keadaan yang tidak pernah berlaku zaman BN.

7. Lagi tuduhan liar oleh YB Ketua Pembangkang ialah mengenai kedudukan kewangan syarikat Taiyo(KL) Resorts Sdn Bhd, syarikat yang berjaya dalam tender menguruskan operasi Kelab Golf Bukit Jambul. Tuduhan liar ialah bahawa syarikat induknya yang memilikinya mempunyai tanggungan melebihi RM 114 juta dan menghadapi kesulitan kewangan. Sebenarnya ini disebabkan oleh pinjaman yang diberikan bukan oleh bank atau syarikat kewangan tetapi oleh pemiliknya. Pemilik utamanya yang meminjamkan lebih RM 100 juta ringgit dan adakah salah untuk seorang jutawan Jepun meminjam wang beratus juta kepada syarikat milikannya? Itulah sebab syarikat Jepun ini menimbang untuk mengambil tindakan guaman terhadap kaki bohong dalam BN.

8. Saya pohon untuk membahaskan ucapan penggulungan selaku Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Pembangunan Keusahawanan, Penerangan dan Warisan. Saya juga akan membuat penggulungan bagi pihak Yang Berhormat Tuan Phee Boon Poh, Ahli Sungai Puyu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar yang telah mengambil cuti. Jutaan terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas usul terima kasih ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Pulau Pinang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

9. Ramai ADUN telah menyentuh mengenai isu sumbangan RM100.00 kepada warga emas.

10. Sebagai sebuah Kerajaan yang berjiwa rakyat, sumbangan ini adalah bertujuan untuk menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri ke atas jasa dan pengorbanan warga emas di Pulau Pinang yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang. Penghargaan ini diberikan kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar. Penghargaan yang diberikan ini tiada diskriminasi ke atas latar belakang agama, bangsa mahupun fahaman politik. Oleh itu kenyataan dan tuduhan yang kononnya pemberian RM100.00 ini sebagai rasuah adalah tidak berasas sama sekali. Lagipun ia bukanlah rasuah sepertimana yang dituduh pembangkang kerana ia diberikan setiap tahun sungguhpun tidak ada pilihanraya bukan seperti BN yang hanya bagi wang semasa pilihanraya. Namun, untuk melayakkan warga emas mendapat sumbangan tersebut, warga emas perlu didaftarkan di dalam sistem i-sejahtera dan disahkan melalui data Suruhanjaya Pilihanraya untuk memastikan warga emas itu benar-benar bermastautin di Pulau Pinang mengerusi pengesahan beliau adalah seorang pengundi di Pulau Pinang.

11. Pembayaran wang penghargaan kepada warga emas ini telah bermula pada 3 & 4 April 2010 (Sabtu & Ahad) dan dilanjutkan sehingga 30 April 2010 melibatkan 27 buah cawangan Maybank di seluruh Negeri Pulau Pinang. Dalam melaksanakan pemberian sumbangan ini, Kerajaan Negeri sememangnya mengambil kira kepentingan dan keselesaan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan ATM di Maybank termasuklah meminta bantuan pihak Polis pada 3 & 4 April 2010 bagi menjaga keselamatan orang awam dan lalulintas. Manakala proses pembayaran hanya mengambil masa yang amat singkat.

12. Yang Berhormat ADUN Tanjong Bunga, telah mencadangkan bahawa warga emas di beri skim perlindungan Insuran . Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan tersebut dan akan memperhalusinya dari aspek implikasi kewangan.

13. Yang Berhormat Permatang Pasir telah membangkitkan supaya Kerajaan Negeri meningkatkan kualiti alam sekitar untuk mendapatkan imej baik dari pelancong.

14. Kerajaan Negeri sangat prihatin dan memberikan tumpuan utama untuk memastikan kualiti alam sekitar berada ditahap standard yang ditetapkan. Di antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, pembersihan sungai menggunakan EM-Mudball, pembersihan pantai dan laut, Kempen Go Green, Kempen 3R – (Reduce, Recycle, Reuse), Kempen Smoke Free dan Hari Tanpa Beg Plastik.

15. Y.B. ADUN Penaga, menyentuh tentang terdapat bukit-bukit di Pulau Pinang yang telah digondolkan.

16. Untuk makluman Yang Berhormat, pembangunan di kawasan bukit dilaksanakan mengikut garis panduan tanah tinggi dan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP). Kerajaan Negeri sangat mengambil berat terhadap pembangunan yang sedemikian. Justeru itu, pemaju telah dikenakan syarat – syarat yang ketat dari segi kerja-kerja tanah dan juga kawalan banjir. Sebarang pemajuan terlebih dahulu hendaklah mendapat kelulusan EIA dari Jabatan Alam Sekitar dan laporan Geotechnical. Kerajaan Negeri telahpun mengeluarkan arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk memantau secara rapi terhadap pemajuan yang melibatkan kawasan bukit dan tanah tinggi bagi memastikan ianya mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Jika sekiranya, didapati pemaju tidak mematuhi garis panduan dan syarat-syarat yang dikenakan, Pihak Berkuasa Tempatan akan mengeluarkan Notis Pemberhentian Kerja kepada pemaju yang terlibat. Sebarang isu yang berbangkit mengenai pemajuan di kawasan bukit dan tanah tinggi yang melibatkan kawasan melebihi ketinggian 250 kaki (76m) akan dibincangkan di Jawatankuasa Perancang Negeri bagi memutuskan samada dibolehkan atau tidak.

17. Yang Berhormat ADUN Pangkalan Kota dan ADUN Paya Terubong menyarankan penggunaan alternatif untuk bekas makanan polisterin diperkenalkan kepada penjaja-penjaja.

18. Untuk makluman Yang Berhormat, sebagai langkah pertama, Kerajaan Negeri telahpun mengeluarkan arahan untuk tidak menggunakan bekas makanan plastik dan polisterin bagi Majlis-majlis rasmi Kerajaan Negeri. Pelaksanaan larangan penggunaan polisterin oleh penjaja-penjaja adalah merupakan satu cadangan yang baik. Namun begitu, ianya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri telahpun menggalakkan penjaja-penjaja menggunakan bekas plastik yang biodegradable . Cadangan Yang Berhormat untuk memberikan insentif kepada penjaja-penjaja yang tidak menggunakan polisterin akan diperhalusi sebelum ianya dapat dilaksanakan. Begitu juga cadangan untuk mengadakan dana khas kepada NGO bagi tujuan kempen kesedaran kepada orang awam akan diteliti oleh Kerajaan Negeri.

19. Yang Berhormat ADUN Pulau Tikus telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya untuk meluaskan penggunaan e-mel dan melaksanakan program paperless.

20. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah pun menggunapakai electronic mail (e-mel) untuk meminimakan penggunaan kertas. Selain itu, Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan beberapa aplikasi e-kerajaan seperti HRMIS, e-perolehan, idof (pengurusan fail elektronik), e-rumah, e-tanah, dan sebagainya. Kerajaan Negeri telahpun melaksanakan usaha-usaha penjimatan kertas dengan menggalakkan menggunapakai kedua-dua belah kertas dan menggunakan semula kertas terpakai.

21. Yang Berhormat ADUN Seberang Jaya, menyentuh mengenai peningkatan penyakit diabetes, demam denggi, tibi dan peningkatan mutu perkhidmatan di Hospital Seberang Jaya.

22. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, faktor utama peningkatan penyakit diabetis di kalangan komuniti adalah berpunca dari amalan cara hidup yang tidak sihat. Justeru itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan turut menjalankan program dan Kempen Cara Hidup Sihat.

23. Mengenai wabak denggi, saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat bahawa ianya adalah terkawal. Pada minggu epid 17 (1 Mei 2010), sebanyak 17 kes demam denggi telah dilaporkan dan 4 kes telah disahkan positif. Jumlah kumulutif kes denggi sehingga minggu ke 17 adalah 382 dengan 195 kes adalah disahkan positif berbanding tempoh yang sama pada tahun 2009 iaitu 1,048 kes dilaporkan dan 325 kes disahkan. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 63.5% bagi kes demam denggi yang dilaporkan pada tahun tahun 2010.

24. Aktiviti-aktiviti kawalan denggi telah dilaksanakan dengan baik pada tahun ini. Sehingga minggu epid 17 (1 Mei 2010), sebanyak 124,517 buah premis telah diperiksa berbanding 165,151 buah premis bagi tempoh yang sama tahun 2009. Sebanyak 2,241 premis didapati positif pembiakan tahun ini berbanding 1,720 bagi tempoh yang sama pada tahun 2009. Sebanyak 447 kompaun telah dikeluarkan berbanding 408 bagi tempoh yang sama tahun 2009. Sebanyak 258 notis telah dikeluarkan bagi premis berpotensi positif berbanding hanya 73 notis bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

25. Sebanyak 28,565 premis telah dibubuh abate berbanding 30,771 bagi tempoh yang sama pada tahun 2009. Pihak kementerian juga telah melaksanakan promosi serta pendekatan pemusnahan pembiakan dengan edaran ubat pembunuh jentik-jentik di semua klinik kesihatan. Semburan kabus telah dijalankan di sebanyak 313,735 premis berbanding 384,627 premis bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

26. Dalam meningkatkan aktiviti pencegahan demam denggi, langkah aktif penglibatan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan jangkitan penyakit ini dapat dibendung. Kerjasama dan tindakan anggota masyarakat dalam melaksanakan Program COMBI dalam komuniti serta penglibatan dan anjuran aktiviti gotong –royong oleh anggota masyarakat amat diperlukan.

27. Selain itu, Jabatan Kesihatan turut melaksanakan program kawalan penyakit Tibi. Promosi kesihatan berterusan dijalankan melalui kempen-kempen kesihatan serta sesi ceramah di klinik-klinik kesihatan dan hospital-hospital kerajaan dan juga swasta.

28. Untuk makluman Yang Berhormat, Hospital Seberang Jaya adalah salah sebuah diantara 6 buah hospital kerajaan di Negeri Pulau Pinang. Ia merupakan hospital yang mempunyai pakar rujuk (specialist) mempunyai 314 katil. Hospital ini berfungsi sebagai hospital rujukan kepada hospital-hospital daerah (Hospital Bukit Mertajam, Hospital Kepala Batas dan Hospital Sungai Bakap) dan kilinik-klinik kesihatan yang lain di kawasan Seberang Perai.

29. Pihak Kementerian Kesihatan telah maklum mengenai situasi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan beberapa tindakan, strategi dan projek-projek baru telah dan sedang dilaksanakan untuk menangani peningkatan bilangan pesakit di Hospital berkenaan. Usaha-usaha juga sedang dibuat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

30. Untuk makluman tambahan, Jabatan Kesihatan Negeri telah memohon cadangan pembinaan blok bertingkat yang akan meningkatkan kapasiti hospital dari 314 katil kepada 618 katil. Cadangan juga telah dikemukakan bagi menambah ruang fasiliti untuk lain-lain perkhidmatan klinikal dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10).

31. Beberapa ADUN pembangkang telah mengungkit sentimen perkauman dengan menyentuh mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan kaum Bumiputera di Negeri Pulau Pinang. Sebagai sebuah Kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai pendekatan bagi memaju dan menaikkan taraf kehidupan rakyatnya tanpa mengira kaum, agama dan kefahaman politik. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memartabatkan kaum Melayu di Pulau Pinang termasuklah menyalurkan Peruntukan Hal Ehwal Agama dengan kenaikan sekali ganda daripada RM12.5 juta pada tahun 2008 kepada RM24.3 juta pada tahun 2010. Kerajaan Negeri juga mengamalkan dasar tender terbuka yang berlandaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntibiliti, Telus) untuk membuktikan bahawa kontraktor Melayu juga mampu bersaing dalam bidang perniagaan. Perkara ini ditunjukkan melalui bukti kukuh di mana kontraktor Melayu telah berjaya memperolehi 67 peratus daripada kontrak yang ditender oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBA) dan 70 peratus kontraktor Melayu telah berjaya memperolehi kontrak yang ditender oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Ini membuktikan bahawa kontraktor Melayu mampu bersaing dengan sendirinya tanpa bergantung kepada sesiapa. Hanya kontraktor UMNO dan BN yang perlukan projek kroni untuk hidup.

32. Di samping itu, suatu Majlis Perundingan Kontraktor Kelas F dan Majlis Syura telahpun ditubuhkan buat pertama kalinya di Pulau Pinang. Malah Tuan Haji Tahir Pengerusi Persatuan Kontraktor Kelas F memuji sistem tender terbuka yang memberikan peluang kepada semua tanpa kabel politik dan juga keberkesanan kerajaan negeri membenarkan tender projek dikeluarkan pada bulan Januari bukan sebelum ini terpaksa berehat selama “tiga bulan” pertama setiap tahun. Inilah perubahan yang dibawa oleh kerajaan PR yang tidak dinampak oleh mata yang dan tidak didengar oleh telinga yang hanya kenal kemungkaran. Tahniah dan syabas juga kepada YB Dato SUK dan YB Dato PKN.

33. Saya juga ingin menjawab tuduhan UMNO bahawa saya ingin disamakan dengan pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kerana ia adalah satu fitnah dan tohmahan sama sekali. Khalifah Umar Abdul Aziz serupa malaikat manakala saya hanya seorang insan yang takut kepada Tuhan. Saya hanya nak belajar daripada pemerintah tersohor kerana akidah, ibadah dan keperibadiannya. Takkan nak saya belajar daripada pemimpin UMNO yang memiliki mahligai besar atau merugikan wang rakyat. Macam mana nak belajar dari Umar Abdul Aziz boleh menyentuh senstiviti umat Islam bila ia sebenarnya adalah suatu penghormatan. Tak apalah kalau saya dicemuh oleh parti lawan sampai UMNO panggil saya kurang ajar di Parlimen kerana nak belajar daripada Umar Abdul Aziz.

34. Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengutamakan sistem perjawatan yang adil, dan mengutamakan kredibiliti serta kewibawaan di mana Kerajaan Negeri telah meletakkan beberapa pegawai Melayu yang berwibawa memegang jawatan yang penting di dalam struktur organisasi Kerajaan Negeri contohnya, Arkitek Patahiyah sebagai Yang Di-pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Puan Hajah Rohani sebagai Pegawai Daerah, Daerah Seberang Perai Selatan dan Puan Maimunah sebagai Pengurus Besar Pejabat Warisan Dunia George Town. Tindakan penguatkuasaan perobohan gerai-gerai haram juga telah membuktikan bahawa tindakan dilaksanakan atas pertimbangan kerana gerai-gerai tersebut tidak mematuhi undang-undang dan bukannya di atas sikap perkauman di mana pada tahun 2009, sebanyak 4 gerai Melayu telah dirobohkan berbanding 16 gerai adalah milik bukan Melayu. Projek Titian Saksama Rakyat yang menyediakan pinjaman tanpa faedah sehingga maksima RM5,000.00 kepada usahawan kecil telah memberi manfaat kepada 80.3 peratus usahawan Melayu. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta pada tahun 2009 bagi program ini. Dari jumlah tersebut sebanyak RM1.17 juta telah diagihkan kepada 293 orang Melayu, RM 87,032 kepada 23 orang Cina dan RM 163,159 kepada 46 orang India. Jelaslah di sini bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa golongan Melayu dipinggirkan di Pulau Pinang adalah tidak benar sama sekali. Bagi mencapai wawasan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa, taraf hidup semua golongan harus dititiberatkan.

35. Bagi persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat ADUN Sungai Dua, mengenai pengambilan balik tanah bagi tapak perkuburan Islam di Jelutong, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin memaklumkan terdapat sedikit kesilapan teknikal pelaporan yang disampaikan kepada Yang Berhormat mengenai lot-lot yang terlibat. Lot-lot yang dinyatakan kepada Yang Berhormat iaitu lot 13, 14, 15, 16, 21 dan 22 adalah merupakan cadangan asal yang dikemukakan oleh jawatankuasa kariah Masjid Jamek Jelutong bagi tujuan tapak perkuburan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960. Namun begitu, dalam usaha untuk merealisasikan pengambilan balik tanah ini, perkara mengenai peruntukan tidak dapat diputuskan secara rasmi. Adalah difahamkan, pembiayaan bagi tujuan pengambilan tersebut akan diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan. Malangnya janji seribu janji tetap jadi janji kosong BN dulu kini dan selama-lamanya. Inilah yang menyebabkan kelewatan.

36. Isu ini telah diteliti oleh Kerajaan Negeri dan perundingan telahpun dibuat dengan jawatankuasa kariah bagi mengenalpasti lot-lot yang sesuai untuk diambil balik yang dihadiri oleh saya sendiri. Sebelum ini mana ada Ketua Menteri yang ambil berat tentang perkara ini. Hasilnya, Kerajaan Negeri telah menimbang dan mencadangkan meluluskan lot-lot tertentu dan kini menunggu maklum balas daripada pihak qariah masjid supaya tindakan lanjut boleh diambil di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dan perlu menimbangkan macam mana mencari peruntukan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM 20 juta bagi tujuan pengambilan balik tanah tersebut dan penempatan semula.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

37. Berkaitan dengan penganjuran program-program pelancongan di Tapak Warisan Dunia George Town berbanding dengan Melaka? Yang Berhormat ADUN Teluk Bahang juga telah mencadangkan agar bangunan-bangunan lama di sekitar Bandar George Town di cat semula, memasang lampu hiasan di jalan raya di sekitar bandar dan mengadakan street shopping.

38. Sebenarnya, Kerajaan Negeri tidak pernah ketinggalan di dalam usaha untuk mempromosikan Negeri Pulau Pinang amnya dan Tapak Warisan Dunia George Town khususnya. Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk melipat-gandakan program-program yang mampu menarik pelancong ke Tapak Warisan Dunia George Town walaupun Kerajaan Negeri masih tidak mendapat peruntukan kewangan RM25 juta seperti yang dijanjikan oleh mantan Perdana Menteri. Pulau Pinang memang telah mendahului dengan menubuhkan bukan sahaja George Town World Heritage Office tetapi juga George Town World Heritage Incorporated(GTWI) dengan cepat. Antara tindakan-tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri melalui GTWI(syarikat yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri) adalah mengadakan Pertandingan Marking George Town di peringkat antarabangsa. Sebanyak 138 penyertaan telah diterima yang mana 64 penyertaan dari luar negara dan 74 penyertaan dari dalam negara. Pertandingan ini telah menarik minat banyak peserta dari luar negara dan secara tidak langsung ini bermakna mereka sedar mengenai kewujudan Tapak Warisan Dunia George Town. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil bahagian dalam Expo Pelancongan dan Perniagaan di Medan, Indonesia untuk mempromosi Tapak Warisan Dunia George Town. Kerajaan Negeri juga telah membentangkan kertas kerja untuk memperkenalkan Tapak Warisan Dunia George Town di dalam International Conference of Asian World Heritage City, Ahmedabad, India pada 18 April 2010 yang turut dihadiri oleh pelbagai negara selain dari India, Laos, Vietnam, Indonesia dan Thailand. Perbelanjaan di tanggung oleh pihak Negara India dan di Rome pada 26 April 2010 yang turut di hadiri oleh 28 buah Negara yang lain. Perbelanjaan di tanggung oleh pihak UNESCO.

39. Kerajaan Negeri juga sentiasa menggalakkan penyertaan rakyat di dalam program-program warisan. Antara program–program warisan yang telah dirancang untuk penglibatan rakyat dan stakeholder ialah program penanaman pokok, program kesedaran dan pendidikan seperti klinik warisan, taklimat serta program heritage trail dan street by street programme untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada penduduk setempat mengenai kepentingan menjaga nilai-nilai sejagat (outstanding universal values) di Tapak Warisan Dunia George Town. Kerajaan Negeri juga telah mengadakan 5 perbincangan meja bulat bersama stakeholder dan ahli profesional untuk mengenalpasti cabaran, isu, cadangan dan tindakan diperlukan untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan, memelihara dan memulihara Tapak Warisan Dunia George Town.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

40. Yang Berhormat ADUN Penaga telah mendakwa terdapat pemberian tender secara rundingan oleh PDC bagi pembangunan 195 unit rumah kos sederhana rendah di atas Lot 282, Bandar Cassia, Seberang Perai Selatan yang diberikan kepada Ambang Negara Sdn. Bhd. dan juga projek PBA di Sungai Prai kepada Impian Mawar Sdn. Bhd.

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan prinsip CAT di dalam pemberian tender oleh semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Bagi projek di Sungai Prai, PBA telah mengeluarkan tender terbuka untuk Projek Pakej 10 iaitu Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Dua, Seberang Perai Utara. Projek ini akan meningkatkan kapasiti air bersih yang dirawat di loji daripada 886 juta liter sehari kepada 1000 juta liter sehari. Tender ini telah ditawarkan kepada Impian Mawar Sdn. Bhd. iaitu penender kedua terendah atas sebab-sebab seperti penender terendah mempunyai ekuiti asing dan hanya layak dipertimbangkan untuk projek bernilai RM30 juta hingga RM50 juta sahaja seperti yang diperuntukkan di dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5/2007. Penender kedua terendah iaitu Impian Mawar Sdn. Bhd. adalah merupakan kontraktor tempatan dan telah lulus Penilaian Keupayaan Kedua dan mempunyai keupayaan kewangan. Harga tender (semakan) yang ditawarkan kepada Impian Mawar Sdn. Bhd adalah sebanyak RM27,000,000.00. Harga ini adalah merupakan harga yang telah dirundingkan dengan syarikat berkenaan dimana ianya lebih rendah sebanyak RM336,000.00 daripada harga yang ditawarkan oleh penender terendah. Impian Mawar Sdn. Bhd telah bersetuju menerima harga yang ditawarkan tersebut.

41. Bagi Tender 195 Unit Rumah Teres 2 Tingkat Kos Sederhana Rendah Di Atas Lot 282, Bandar Cassia, Seberang Perai Selatan di bawah PDC Properties Sdn Bhd pula, ianya telah dipelawa melalui tender terbuka sepertimana yang telah diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Tender projek ini telah dibuka dari 3 September 2009 dan ditutup pada 30 September 2009 iaitu selama 4 minggu. Setelah tender ditutup, sebanyak 18 syarikat telah mengemukakan tawaran. 7 syarikat yang mengemukakan harga kontrak yang terendah dari anggaran perunding telah dijemput untuk melalui proses ‘value engineering’ memandangkan ini adalah projek perumahan kos sederhana rendah dan tidak menyumbangkan sebarang keuntungan. Dalam proses ini, syarikat-syarikat tersebut telah diberi peluang untuk menawarkan pilihan untuk membina rumah-rumah tersebut (struktur) berdasarkan kepakaran masing-masing tanpa mengubah rekabentuk dan pelan asal bangunan tetapi dengan harga yang lebih kompetetif. Hanya 6 syarikat sahaja memberikan maklumbalas dan telah dipanggil untuk memberikan penerangan mengenai cadangan projek . Pada masa yang sama, syarikat-syarikat berkenaan telah ditemuduga untuk mengetahui latarbelakang syarikat, pengalaman serta kebolehan mereka untuk melaksanakan projek ini.

42. Setelah proses ini dilaksanakan, harga terendah yang ditawarkan oleh Syarikat Ambang Tenggara Sdn Bhd ialah sebanyak RM 14,370,000.00 berbanding dahulunya RM 15,171,912.00 iaitu pengurangan sebanyak RM 801,912.00 (5.3 %). Ahli-ahli Lembaga Tawaran PDC Premier Sdn Bhd juga telah bersetuju untuk melantik Syarikat Ambang Tenggara Sdn Bhd berdasarkan tawaran harga yang terendah dengan cadangan ‘value engineering’ yang praktikal; mempunyai pengalaman yang luas dalam projek perumahan; mempunyai pengalaman melaksanakan projek PDC Properties Sdn Bhd dan prestasinya adalah memuaskan; dan memiliki modal yang mencukupi dan kakitangan teknikal yang mencukupi dan berpengalaman. Semua keputusan tender telah dipamerkan di papan kenyataan dan laman web PDC Properties Sdn Bhd untuk makluman dan bantahan. Tiada bantahan diterima selepas jangka masa yang berikan tamat (14 hari selepas keputusan tawaran dipamerkan).

Sememangnya sistem tender terbuka mengamali sisterm CAT sehingga dipuji oleh Transparency International. Mungkin itulah sebabnya pihak pembangkang menentang sistem tender terbuka sehingga mengadakan demonstrasi sebaik saya dilantik sebagai Ketua Menteri pada bulan Mac 2008.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

43. Tuduhan liar Yang Berhormat ADUN Penaga berterusan mengenai status penstrukturan semula PDC dan adakah peletakan jawatan Encik Julian Candiah, Timbalan Pengurus Besar 1 disebabkan oleh kebanyakan keputusan yang dibuat di dalam PDC adalah berlandaskan kepentingan politik dan bukan ekonomi.

44. Sebagai makluman Yang Berhormat, proses penstrukturan semula PDC telah dimulakan pada tahun 2003 dilulus dan dilaksanakan mulai hujung tahun 2005. Mengenai isu perletakan jawatan Encik Julian Candiah pula, beliau telah dilantik ke jawatan Timbalan Pengurus Besar 1, PDC pada 1 April 2009 secara kontrak selama 1 tahun. Walau bagaimanapun, Encik Julian Candiah telah mengemukakan notis sebulan untuk menamatkan kontraknya melalui surat bertarikh 17 Februari 2010. Selaras dengan itu, kontrak beliau ditamatkan pada 31 Mac 2010. Saya masih ingat bila beliau dilantik saya dituduh melantik kawan saya tetapi sekarang bila beliau letak jawatan saya pula dipersalahkan membuktikan apa yang kerajaan PR buat pun salah di kacamata YB Ketua Pembangkang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

45. Berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Pulau Betong mengenai kebebasan akhbar, freedom of information dan dakwaan halangan ke atas akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia untuk membuat liputan akhbar berkaitan program atau majlis Kerajaan Negeri.

46. Perkara ini diulangi berkali-kali dan dijawab berkali-kali tetapi YB masih berdegil tidak mahu faham. Saya telah menyatakan bahawa kita hanya mahukan Utusan dan NST memjaminkan akan memberikan kerajaan negeri hak untuk menjawab laporan yang salah. Malangnya, kedua-dua akhbar yang dimiliki oleh UMNO itu tidak mempraktikkan “hak untuk menjawab” terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Pada masa yang sama, pihak-pihak berkenaan kerap mengeluarkan berita yang memutar-belitkan fakta yang diberi oleh Kerajaan Negeri. Oleh kerana kerajaan negeri tidak berdaya untuk bertarung dengan suratkhabar besar milikan UMNO maka kami pilih untuk undur diri dengan menafikan sendiri peluang berita kerajaan negeri disiarkan dalam Utusan dan NST. Yang dituntut hanya kebenaran dan tidak lain lagi ialah kebenaran.

47. Saya ingin mencadangkan tiga perkara harus dilaksanakan sekiranya negara ingin mengecapi kebebasan media iaitu:-

1) Memansuhkan semua akta yang mencabuli hak asasi manusia seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

2) Menggubalkan Akta Kebebasan Maklumat

3) Melarang penglibatan dan milikan parti politik dalam media massa dan media cetak.

Malah YAB Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa ketelusan dan akauntabiliti adalah teras kejayaan Dasar Ekonomi Model khususnya ke arah ekonomi bermaklumat dan berpengetahuan.

48. Kerajaan negeri berhasrat menggubal suatu Enakmen Kebebasan Maklumat yang tidak dapat diteruskan kerana tidak direstui oleh YB Dato PUN atas sebab ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukanlah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. Akan tetapi sekiranya negeri Selangor berjaya meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat maka ia akan dicontohi oleh kerajaan negeri.

49. Yang Berhormat ADUN Kebun Bunga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri membuat perancangan penebusan tanah demi untuk menambah bank tanah (land bank) dan menambah pendapatan Kerajaan Negeri. Sekiranya Kerajaan Negeri melaksanakan dasar penebusan tanah ini secara sistematik, telus dan teratur, maka ia secara langsung akan membantu dalam pembangunan Negeri Pulau Pinang.

50. Kerajaan Negeri akan menimbang cadangan penebusan tanah laut berdasarkan kepada lokasi-lokasi yang telah di kenal pasti dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020. Luas kawasan tambak laut yang dibenarkan berdasarkan kepada RSNPP adalah berjumlah 1839.123 hektar atau 4,546 ekar merangkumi Tanjung Pinang Fasa 1, 2 dan 3, Jelutong Expressway, Middle Bank, Bayan Bay, Permatang Damar Laut (Pembesaran Lapangan Terbang), Pantai Jerejak, Prai dan Butterworth. Kawasan yang hendak ditebus guna perlu dihadkan kerana beberapa bahagian pulau dan tanah besar mempunyai kawasan pantai yang cantik dan bersih yang harus dikekalkan sebagai kawasan tarikan pelancongan terutamanya di sekitar Batu Feringghi hingga ke Teluk Bahang.

51. Berhubung perkara yang dibangkitkan oleh Y.B. ADUN DATO’ KERAMAT berkaitan proses pengambilan anggota polis, sukacita saya memaklumkan bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sudah pun mempunyai kaedah pengambilan seperti mana yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis. Pemohon yang berminat hendaklah mendapatkan borang permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan hendaklah mengisi borang tersebut dan dihantar ke Unit Pengambilan, Bukit aman untuk tujuan pemprosesan. Pemohon yang memenuhi syarat dan kriteria akan disenarai pendek untuk hadir ujian penilaian. Bagi mereka yang lulus ujian penilaian akan dipanggil menghadiri temuduga. Calon yang dapat menjawab soalan dan menunjukkan kebolehan yang memuaskan akan diperakukan sesuai dan diaturkan menjalani pemeriksaan kesihatan, tapisan rekod jenayah dan keselamatan. Setelah diperaku sesuai serta didapati sihat, tiada sebarang rekod jenayah dan keselamatan, calon akan ditawarkan pelantikan jawatan. Mana-mana calon yang menerima pelantikan jawatan Kontabel Polis akan menjalani latihan asas di Pusat Latihan Polis selama 3 bulan, manakala bagi jawatan Inspektor selama 6 bulan. Setelah tamat latihan, mereka akan ditempatkan bertugas di mana-mana jabatan / Cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

52. Selain itu, berhubung perkara lain yang dibangkitkan oleh Y.B. ADUN DATO’ KERAMAT berkaitan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ke atas isu kebanjiran warga asing dan peniaga haram di kawasan penjaja Lorong Kulit, saya ingin memaklumkan bahawa operasi ’Ops Rantau’ secara berkala telah dilakukan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui IPD Timur Laut bagi membendung masalah ini. Pemantauan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa. Selain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia turut mengadakan operasi di Lorong Kulit dan hasil operasi yang dijalankan pada 5 Oktober 2009, beberapa tangkapan telah dibuat melibatkan seorang lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Nigeria, dan seorang perempuan warga Indonesia.

53. Kesemua tangkapan telah disabitkan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengambil berat isu kebanjiran warga asing dan peniaga haram di kawasan penjaja Lorong Kulit dan seluruh negeri Pulau Pinang dengan pemantauan yang sentiasa dilakukan.

54. Beberapa YB telah membangkitikan isu kuari termasuk yang beroperasi di sekitar Empangan Mengkuang. Adakah operasi kuari ini memberi kesan kepada kualiti air di dalam empangan dan memberi kesan terhadap tahap keselamatan empangan?

55. Untuk makluman Yang Berhormat, Empangan Mengkuang adalah merupakan empangan simpanan strategik sumber air bagi negeri Pulau Pinang. Empangan ini membekalkan sumber air sebanyak 80 peratus. Justeru, Kerajaan Negeri mengambil berat untuk mengawal selia empangan tersebut. Dari segi kawalan, empangan ini telah diperuntukkan Zon Penampan 200 meter daripada sebarang kegiatan pembangunan. Setelah diteliti, syarikat kuari yang beroperasi berhampiran empangan tersebut ialah Syarikat Weng Lee Granite Quarry Sdn Bhd. yang menjalankan operasi di atas 17 Lot tanah di Mukim 17, Daerah SPT. Daripada 17 lot tersebut, sebanyak 8 lot telah diambil bagi tujuan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang. Jarak kuari ini dengan Empangan Mengkuang ialah sejauh 400 meter.

56. Bagi pengoperasian kuari ke atas 9 Lot milik Syarikat Weng Lee ianya telah mendapat kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar pada 5 Mac 2010. JAS menetap syarat-syarat yang melibatkan keselamatan empangan berhampiran di antaranya, had kawasan yang dibenarkan bagi aktiviti letupan hendaklah sekurang-kurangnya 200 meter daripada sempadan tapak cadangan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang dan mendapat kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains. Manakala kualiti pelepasan effluent dari tapak kuari ke mana-mana alur air hendaklah mematuhi Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Effluen Perindustrian) 2009. Pada ketika ini, kuari tersebut tidak beroperasi disebabkan permit syarikat berkenaan telahpun tamat.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

57. Y.B. ADUN Seberang Jaya ingin mengetahui jumlah hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2007, 2008 dan sehingga 31 Disember 2009.

58. Untuk makluman Y.B. ADUN Seberang Jaya hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember 2009 ialah berjumlah sebanyak RM688,750,354.92 melibatkan Pinjaman Perumahan Awam Kos Rendah (P.A.K.R), Projek Bekalan Air dan Pembiayaan Projek MPPP – Pembentungan Najis Pantai Utara Fasa I.

59. Kerajaan Negeri sememangnya membayar balik pinjaman untuk projek PAKR mengikut jumlah annuiti dan jadual yang ditetapkan. Untuk pinjaman MPPP, kelulusan telah diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan bayaran balik, akan tetapi permohonan Kerajaan Negeri untuk hapuskira jumlah tersebut masih belum diperolehi. Bagi projek bekalan air pula, bermula dari tahun 2004 Kerajaan negeri telahpun memutuskan menghenti bayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan berasaskan kepada cadangan penstrukturan semula aset-aset air yang dipegang oleh Kerajaan Negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

60. Bagi bajet 2008 dan 2009, Kerajaan Negeri hanya menyediakan peruntukan token RM10.00 dalam bajet mengurus untuk tujuan Projek Bekalan Air.

61. Baki sebenar pinjaman berakhir tahun 2007, 2008 dan 2009 melibatkan 3 projek diatas adalah;-
Rujukan Baki Pinjaman Projek
31.12.2007 31.12.2008 31.12.2009
Perumahan Awam Kos Rendah (P.A.K.R) 38,131,062.04 33,442,942.15 31,407,205.32
Projek Bekalan Air 457,056,806.79 590,672,232.79 651,015,968.64
Pembiayaan Projek MPPP – Pembentungan Najis Pantai Utara Fasa I 1,327,180.96 1,327,180.96 1,327,180.96

Jumlah
496,515,049.90
625,442,355.90
683,750,354.92

62. Y.B. ADUN Permatang Pasir telah bertanya mengenai lebihan Kerajaan Negeri dalam tahun 2009 yang dikatakan disebabkan oleh penjimatan akibat tidak membayar hutang.

63. Lebihan kewangan Kerajaan Negeri dalam tahun 2009 sejumlah RM77.34 juta adalah berpunca daripada kutipan hasil Negeri yang meningkat serta perbelanjaan yang berhemah berlandaskan kepada kawalan dalaman perbelanjaan dan dasar “value for money”. Kutipan sebenar hasil Negeri pada tahun 2009 berjumlah RM84.77 juta atau 129.06 % daripada anggaran hasil ( RM ) yang dijangkakan. Dari segi perbelanjaan mengurus, pencapaian perbelanjaan sebenar ialah RM299.17 juta berbanding dengan anggaran RM331.20 juta iaitu bersamaan 90.33 % atau penjimatan RM32.03 juta. Perincian perbelanjaan yang menyumbang kepada pencapaian 90.33% mencakupi semua maksud perbelanjaan jabatan-jabatan negeri seperti mana dirancang dengan penjimatan.

64. Tentang dasar tukar syarat tanah. Untuk makluman Y.B. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan satu dasar yang berkaitan dengan status pegangan tanah iaitu membenarkan tanah-tanah milik yang berstatus pajakan dipanjangkan tempoh pegangan seperti berikut:

i) Tanah-tanah industri – kepada 99 tahun

ii) Tanah-tanah komersial – kepada 99 tahun

iii) Tanah-tanah kediaman – kepada pegangan kekal

65. Ini bermakna, tanah-tanah kediaman milik persendirian dibenarkan ditukar menjadi pegangan kekal. Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada tanah-tanah berstatus pajakan telah diluluskan secara pegangan kekal. Ini disebabkan pihak Kerajaan Negeri masih perlu membincangkan perkara ini di Majlis Tanah Negara.

66. Y.B. Adun Dato’ Keramat telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Kuari Daerah. Sehingga kini telah diadakan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Batu Maung bagi menguruskan perkara berkaitan bahan batuan dan tanah merah. Antara perkara yang dilihat adalah mengenai alam sekitar dan syarat-syarat kelulusan permohonan. Satu lagi jawatankuasa adalah dipengerusikan oleh YB Bukit Tambun untuk menguruskan permohonan kuari dan bayaran royalti.

67. Di samping itu, Pihak Berkuasa Negeri sedang merangka satu jawatankuasa tetap mengenai pengurusan dan penguatkuasaan kesemua kuari secara komprehensif termasuklah kuari-kuari di atas tanah First Grade.

68. Y.B. ADUN Seberang Jaya ingin mengetahui berkenaan kedudukan liputan WiFi percuma kepada semua masyarakat di negeri ini. Untuk makluman kedua-dua Yang Berhormat, penyediaan kemudahan WiFi percuma tidak terhad kepada kawasan bandar ataupun luar bandar. Sungguhpun demikian, lokasi pemasangannya oleh penyedia perkhidmatan Internet WiFi percuma di Pulau Pinang iaitu Syarikat RedTone Telecomunications Sdn. Bhd. bergantung kepada faktor-faktor utama seperti berikut:

(a) lokasi tumpuan ramai yang sesuai atau mempunyai persekitaran yang dapat menyokong kepada penggunaan Internet oleh orang ramai.

(b) Kesediaan dan kebenaran pemilik premis atau bangunan untuk pemasangan peralatan yang membolehkan premis/zon terlibat berfungsi sebagai hotspot WiFi.

69. Sehubungan ini, kebanyakan lokasi WiFi percuma tertumpu di pusat-pusat membeli-belah utama serta restoran-restoran di bahagian pulau mahupun di Seberang Perai.

70. Sehingga sekarang, hampir 500 lokasi hotspots internet WiFi percuma telah dipasang dan beroperasi di Pulau Pinang. Berdasarkan sasaran penyedia perkhidmatan internet WiFi percuma di Pulau Pinang iaitu Syarikat RedTone Telecommunications Sdn Bhd, sejumlah 750 hotspots internet WiFi percuma akan beroperasi dan boleh dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang menjelang Disember 2010. Sehingga kini, lokasi-lokasi di George Town yang merupakan kawasan warisan dunia seperti Jalan Chulia dan kawasan Little India telah disediakan perkhidmatan WiFi percuma dengan pemasangan 123 hotspots. Selain kawasan warisan dunia, Syarikat Red Tone telah memasang hotspots di pusat membeli belah utama di negeri Pulau Pinang antaranya ialah di Queensbay Mall, Kompleks Bukit Jambul, Mega Mall, Prangin Mall, Midlands One Stop dan BM Plaza.

ISU: BUKIT JAMBUL COUNTRY CLUB

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

71. Yang Berhormat Balik Pulau telah meminta agar dikemukakan minit mesyuarat yang memutuskan untuk memilih Syarikat Taiyo Resort (KL) Bhd bagi menguruskan Bukit Jambul Country Club (BJCC) dan Yang Berhormat Penaga pula telah bertanya mengapakah Kerajaan Negeri memutuskan untuk memberi tender pengurusan BJCC kepada syarikat baru iaitu Syarikat Taiyo Resort (KL) Bhd, (Taiyo).

72. Untuk makluman Yang Berhormat, tender pertama yang dikeluarkan oleh PDC pada 3 Disember 2008 memperlihatkan hanya sebuah syarikat iaitu L&L Golf Management Sdn. Bhd. menyertai tender. Walaupun Lembaga IGP memutuskan untuk menawarkan kerja-kerja outsourcing kepada syarikat ini, namun Lembaga PDC memutuskan agar tender terbuka dilaksanakan untuk kerja ini. Ini adalah kerana Syarikat L&L baru ditubuhkan pada 28 September 2008 dengan modal berbayar RM 2.00. Tambahan pula, tender terbuka akan membolehkan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa menyertainya.

73. Tender dibuka pada 3 Mei 2009 dan ditutup pada 1 Ogos 2009. Tiga (3) penender telah disenarai pendek iaitu Taiyo, Asia Turfquip Supplies (M) Sdn Bhd dan Saujana Scape & Greens Sdn Bhd. berdasarkan pematuhan kriteria-kriteria asas yang digariskan seperti berikut:

i. Modal berbayar syarikat hendaklah sekurang-kurangnya RM500,000.

ii. Berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam pengurusan operasi padang golf.

iii. Komitmen kewangan:-

Jaminan hasil sewa.

Lain-lain komitmen untuk menaiktaraf padang golf dan kemudahan-kemudahannya.

iv. Pengurusan sumber manusia – keupayaan syarikat untuk mengekalkan pekerja dan memberi latihan yang berterusan.

v. Keupayaan untuk menaiktaraf padang golf ke tahap mutu antarabangsa.

74. Ketiga-tiga penender tersebut telah dijemput untuk memberi taklimat mengenai cadangan pemajuan mereka dalam bulan November 2009. Lanjutan dari taklimat tersebut, ketiga-tiga penender telah mengemukakan semula pindaan/tambahan kepada cadangan asal mereka kepada Lembaga IGP dan Lembaga PDC pada 17 Disember 2009 dan 21 Disember 2009 masing-masing. Seterusnya, Lembaga PDC telah menetapkan dua (2) kriteria tambahan bagi ketiga-tiga penender iaitu:

i. Penjualan keahlian-keahlian baru tidak dibenarkan.

ii. Penggunaan ‘sinking fund’ tidak dibenarkan untuk kerja-kerja menaiktaraf padang golf dan kemudahan-kemudahannya.

75. Berdasarkan keperluan baru tersebut, ketiga-tiga penender telah memberi suatu taklimat kepada Lembaga IGP pada 11 Januari 2010. Lembaga IGP dengan sebulat suara telah mencadangkan Saujana Scape & Greens Sdn Bhd dipilih untuk pengurusan operasi BJCC. Lembaga PDC dalam mesyuaratnya pada 9 Februari 2010 telah memutuskan supaya kontrak pengurusan dan operasi BJCC secara ‘outsourcing’ diberi kepada Taiyo berdasarkan sebab-sebab berikut:-

i. Taiyo merupakan syarikat antarabangsa yang berupaya untuk menarik masuk pelancong dari Korea dan Jepun ke Pulau Pinang memandangkan Bukit Jambul Country Club merupakan salah satu tarikan pelancongan Pulau Pinang.

ii. Modal berbayar Taiyo ialah sebanyak RM5.0 juta berbanding modal berbayar Saujana sebanyak RM950,000.00.

iii. Cadangan sewaan jaminan Taiyo sebanyak RM12.0 juta ialah lebih tinggi daripada cadangan sewaan jaminan Saujana yang hanya berjumlah RM10.925 juta.

iv. Taiyo memperuntukkan sejumlah RM18.0 juta untuk tempoh 3 tahun pertama bagi tujuan penaiktarafan padang dan rumah kelab golf serta buggy. Manakala Saujana hanya memperuntukkan RM13.5 juta untuk tujuan yang sama.

76. Usaha memberikan penghargaan warga emas RM 100 setiap tahun adalah satu petanda bahawa inilah faedah kalau ada kerajaan bersih, berintegriti dan anti-rasuah. Sebelum ini warga emas tidak pernah mendapat wang RM 100 kerana pentadbiran lama memegang prinsip yang sebaliknya.

77. Adalah penting kekayaan negara dimiliki dan dikongsi bersama dengan rakyat. Di mana perginya sumbangan Petronas kepada kerajaan Persekutuan yang hampir mencecah RM 500 bilion? Adakah ia lesap sahaja? Jelas rakyat tidak dapat menikmati satu sen ganjaran daripada kerajaan BN dan kena tunggu digantikan oleh PR barulah wang diterima dalam tangan.

78. Adalah perlu kerajaan Malaysia belajar daripada Tabung Pencen Kerajaan Norway adalah tabung di mana lebihan kekayaan ekoran hasil petroliam Norway didepositkan. Setakat 31 Disember 2009 nilai keseluruhannya adalah USD 457 bilion untuk 5 juta rakyatnya. Ia memiliki 1% daripada pasaran ekuiti dunia dan dengan milikan 1.8% saham Eropah ia adalah pemilik saham terbesar di Eropah.

79. Sekiranya Tabung sedemikian dilakukan di sini, ia akan menguntungkan rakyat dan tidak timbul masalah penyelewengan, kemungkaran dan salah-laku yang kerap berlaku.

80. Inilah niat baik kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memenuhi impian ramai warga Pulau Pinang yang telah hilang harapan untuk menerima sebahagian daripada hasil ekonomi. Ada seorang yang berumur 40 tahun menyatakan bahawa selama 40 tahun dia hidup, beliau tidak terima satu sen pun hasil minyak Petronas bukan seperti di Norway. Beliau percaya selagi BN memerintah, beliau pun tidak akan terima satu sen pun hasil minyak untuk 40 tahun lagi yang akan datang.

81. Program penghargaan warga emas sebanyak RM 100 setahun membuktikan kepada rakyat bahawa sekiranya PR memerintah, impian berkongsikan hasil minyak negara kita akan diijab kabulkan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Leave a Comment