Perobohan Jambatan Keluli Keretapi Sungai Kerian Diluluskan Oleh Jabatan Warisan Negara

Kenyataan Akhbar Ng Paik Kheng, Pegawai Khas kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang di George Town pada 03.022010

Berhubung dengan isu jambatan keluli yang hilang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan segera dengan meminta satu penjelasan daripada Keretapi Malaysia Bhd(KTMB). KTMB telah menjalankan satu siasatan terhadap kes perobohan jambatan keluli keretapi Sungai Kerian yang berlaku.

Kerajaan Negeri telah menerima surat penjelasan yang dikirim oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada YB Lim Hock Seng yang bertarikh 22 Januari 2010. Penjelasan KTMB adalah seperti berikut:

Perobohan jambatan keluli keretapi Sungai Kerian perlu dilaksanakan kerana:

1) Jambatan keluli tersebut berada di dalam jajaran (alignment) pembinaan landasan berkembar antara Ipoh-Padang Besar. Berdasarkan kepada skop kerja, pembinaan jambatan baru konkrit bagi menggantikan jambatan besi ini perlu dilaksanakan. Oleh demikian, pembongkaran jambatan besi ini perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan baru.

2) Untuk memenuhi spesifikasi teknikal pembinaan landasan berkembar yang melibatkan aspek-aspek seperti kelajuan tren, gradient landasan, pengurangan selekoh landasan dan sebagainya.

3) Untuk mempertingkatkan keselamatan operasi tren kerana jambatan keluli tersebut telah mengalami kerosakan struktur utamanya dan tidak berupaya untuk menampung enjin lokomotif dengan beban gandar 20 tan.

Kelulusan untuk merobohkan jambatan tersebut telah diperolehi daripada Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara melalui surat no. rujukan, JWN. TpjW600/6 bertarikh 23 Oktober 2008. Bagi mengelakkan kejadian kecurian, jambatan tersebut telah dilupuskan oleh Unit Pelupusan Aset KTMB pada bulan Ogos 2009.

Menerusi kenyataan akhbar ini, Kerajaan Negeri berharap agar semua pencinta warisan dan semua rakyat Malaysia memainkan peranan dalam memelihara, memulihara dan mengekalkan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia, lebih-lebih lagi rakyat Pulau Pinang akan dapat memahami bidang kuasa dan pendirian Pesuruhjaya Warisan. Jambatan keluli Sungai Kerian telah dirobohkan atas arahan Pesuruhjaya Warisan, ia adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Malahan Keretapi Tanah Melayu Berhad juga telah mengesahkan bahawa keputusan perobohan jambatan tersebut adalah dibuat oleh Dato Profesor (EM) Zuraina Majid, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, bukannya Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri berharap agar pemelihara warisan dan Badan Bukan Kerajaan dapat memainkan peranan kawalan dan keseimbangan terhadap isu warisan. Di samping itu, dalam usaha dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara George Town sebagai Tapak Warisan Dunia, mereka juga akan memberi kerjasama dari segi bantuan modal insan dan sumbangan kewangan. Perlu diingatkan bahawa isu berkaitan dengan warisan bukanlah tertumpu kepada George Town tetapi juga di luar George Town. Adalah diharapkan perhatian wajar diberikan tentang peranan penting yang dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan dan jangan suka hanya mempersalahkan kerajaan negeri kerana mendapati agenda sesetengah NGO tertentu yang amat tidak sihat sekali.

Leave a Comment