UCAPAN PENGGULUNGAN (Part 3)

PENGIKTIRAFAN GEORGE TOWN SEBAGAI TAPAK WARISAN DUNIA OLEH UNESCO

Y.B. Tuan Speaker,

33. Y.B. ADUN Pengkalan Kota telah membangkitkan mengenai isu tuan tanah tidak mengetahui status tanah mereka yang dikenalpasti sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

34. Untuk makluman, Tapak Warisan Dunia George Town mempunyai keluasan 259.42 hektar, yang mana 109.38 hektar terletak dalam core zone dan 150.04 hektar lagi terletak di dalam kawasan buffer zone. Di dalam kawasan core zone sahaja terdapat sebanyak 1,715 bangunan dan 1,928 lagi terdapat di kawasan buffer zone. Angka ini tidak termasuk lot-lot kosong milik persendirian yang masih belum dimajukan. Dalam hal ini, pihak MPPP dan juga Kerajaan Negeri memang menyedari mungkin terdapat tuan-tuan tanah yang tidak mengetahui status tanah mereka yang sebenarnya telah termasuk dalam kawasan “Tapak Warisan Dunia”. Sebelum ini, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan MPPP bagi memberikan maklumat kepada masyarakat setempat mengenai status tersebut.

35. Hasil bancian, rundingan, dialog serta cadangan pengurusan Tapak Warisan Dunia ini akan didokumenkan dalam satu laporan yang dipanggil Integrated Management Plan For World Heritage Site – George Town, dan dijangka disiapkan pada penghujung tahun 2009. Kerajaan negeri menekankan komitmen mengekalkan status tapak warisan dunia oleh Unesco. Kerajaan negeri menghadapi tekanan tentang proses permohonan kerana kurang jelas apa yang berlaku. Sungguhpun tawaran dibuat dengan kerajaan lepas untuk berganding bahu membangunkan nilai warisan secara bersama, ia ditolak kerana kerajaan lama lebih berminat main politik. Kerajaan negeri harapkan kerajaan pusat boleh tunjukkan komitmen yang sama dengan membangunkan kejayaan pengiktirafan Unesco ini. Saya harap YB Menteri Kekkwa baru sedar bahawa kejayaan kerajaan negeri memelihara, mempromosi dan melindungi Georgetown adalah juga kebanggaan Malaysia dan janganlah menepuk air di dulang dengan menafikan peruntukan RM50 juta yang dijangkakan.

KESELAMATAN

36. Yang Berhormat ADUN Penaga telah mempersoalkan peranan Kerajaan Negeri dalam membantu menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat di negeri ini. Untuk makluman YB,Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri selamat yang membolehkan setiap orang bukan sahaja selamat tetapi rasa selamat. Demi menjayakan usaha ini, Kerajaan Negeri telah meminta tambahan anggota polis dan mengadakan sistem Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) bersama dengan Rakan Cop. PPS ini membabitkan masyarakat dan Kerajaan Negeri. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk melicinkan operasi PPS.

37. Kerajaan dengan kerjasama pihak Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan telah melaksanakan inisiatif pemasangan CCTV yang bertujuan untuk memudahkan pemantauan kes-kes ragut, samun dan jenayah yang lain. Kami masih menunggu pemasangan 48 CCTV yang dijanjikan tahun lepas oleh Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memasang 160 buah kamera CCTV tambahan di lokasi-lokasi yang akan dikenalpasti oleh pihak polis di seluruh Pulau. Dokumen tender telah disediakan dan tender terbuka akan diuruskan. Pada masa ini, pihak MPPP bersama-sama pihak polis sedang membuat penilaian tahap akhir tentang pemerolehan jalur frekuensi yang mencukupi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta penggunaan rangkaian fiber optik Telekom Malaysia. Kerja-kerja pemasangan dijangka bermula pada bulan Ogos 2009 dan disiapkan sebelum penghujung tahun 2009.

a. Kerajaan Negeri berhasrat untuk meluaskan lagi liputan sistem CCTV secara berperingkat mengikut kemampuan. Pada September 2008, bantuan kewangan Kerajaan Pusat telah dipohon sejumlah RM43.65 juta untuk pemasangan sebanyak 485 CCTV di premis-premis awam bagi tempoh 5 tahun.

TANAH

Yang Berhormat Tuan Speaker,

38. Berkaitan dengan isu tanah, kerajaan negeri telah berjaya meningkatkan kutipan hasil daripada cukai pintu sebanyak RM103 juta dengan RM94 juta tahun 2007. Ini menunjukkan kenaikan 9.6% dan merumuskan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri bahawa wang yang dikutip akan digunakan demi kepentingan rakyat seperti kejayaan membasmi miskin tegar.

39. Yang Berhormat ADUN Batu Uban telah membangkitkan mengenai tindakan Pejabat Tanah berhubung dengan isu tapak pondok MCA berhampiran pasar awam Batu Uban yang telah tamat tempoh pajakan di mana berdasarkan semakan yang dibuat, didapati lot terlibat (Lot 2167, Mukim 13, DTL) merupakan tanah kerajaan dan pernah dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk digunakan sebagai Pusat Perkhidmatan MCA tetapi telahpun dibatalkan TOL pada tahun 2004. Pembatalan ini dibuat bersama-sama dengan lot bersebelahan (Lot 9117) untuk tapak dewan gimnastik. Memandangkan TOL kepada MCA telah dibatalkan, notis pengosongan tapak akan dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah DTL.

40. Skandal penyelewengan yang melibatkan kes tanah Tang Hak Ju pada penggal lepas telah mengakibatkan kehilangan besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri menerima perintah mahkamah yang mengarahkan Kerajaan Negeri untuk mendepositkan wang berjumlah RM14,678,135.50 ke Mahkamah, iaitu 50% daripada kos ganti rugi pampasan yang dituntut. Inilah bukti yang kukuh yang dapat menunjukkan skandal tanah berlaku semasa pentadbiran dulu yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Walaupun kes ini masih di dalam proses Mahkamah Rayuan, namun Kerajaan Negeri juga terpaksa menurut perintah mahkamah dan memohon kepada Mahkamah supaya memberi kelonggaran untuk mendapatkan RM14.7 juta ini melalui Rang Undang-Undang Tambahan yang akan dibentangkan pada Dewan Undangan Negeri pada bulan Julai yang akan datang. Wang yang sebanyak ini adalah lebih baik diberikan kepada warga miskin daripada hilang begitu sahaja. Ini merupakan kesilapan Kerajaan terdahulu yang perlu ditanggung oleh Kerajaan sekarang.

41. Saya berharap bekas Timbalan Ketua Menteri, Dato’ Abdul Rashid Abdullah bolehlah bekerjasama dengan usaha usul perkara skandal tanah ini dan tidak cuba lari daripada menghadiri proses siasatan yang dijalankan. Pada masa yang sama saya berharap bekas KM Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ahli Exco Dato’ Dr. Teng Hock Nan boleh bekerjasama dengan jawatankuasa siasatan Exco ke atas skandal ini yang kini dipengerusikan oleh YB TKM2, YB Prof. Dr. Ramasamy.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

42. Yang Berhormat ADUN KOMTAR telah menyentuh isu berhubung urusan hakmilik Strata oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Satu fakta yang perlu diketahui bahawa negeri Pulau Pinang sentiasa di hadapan berbanding dengan negeri-negeri lain dari segi pengurusan strata. Mengikut rekod, sehingga 31 Mac 2009, bilangan permohonan hak milik strata yang diterima ialah sebanyak 1,548 skim yang melibatkan 174,952 petak. Daripada jumlah ini, sebanyak 1,382 skim telahpun diselesaikan yang terdiri daripada 144,808 petak. Terdapat sebanyak 166 skim yang masih lagi berbaki melibatkan 30,144 petak. Bagi menyelesaikan masalah pertikaian di antara pemilik petak dengan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation), Kerajaan Negeri telahpun menubuhkan Lembaga Hak Milik Strata (LHS) dan sedang dikemaskini perjalanannya bersesuaian dengan pindaan Akta Hak Milik Strata. Mengenai penubuhan Joint Management Body (JMB), saya percaya tindakan yang sama telah diambil oleh MPPP dan MPSP yang menjalankan penguatkuasaannya berlandaskan kepada Akta 663 – Akta Bangunan dan Harta Bersama.

43. Berkenaan dengan soalan daripada YB Bayan Lepas mengenai harga sebenar setiap unit pembinaan rumah kos rendah oleh PDC berdepan dengan lot-lot banglo. Projek perumahan PDC di kawasan ini mempunyai 204 unit rumah pangsa kos rendah dan 510 unit rumah pangsa kos sederhana rendah. Harga penjualan unit-unit perumahan ini adalah mengikut ketetapan kerajaan negeri iaitu RM42,000 seunit bagi rumah kos rendah dan RM72,500 seunit bagi rumah kos sederhana rendah. PDC akan memohon penetapan harga dan senarai pembeli kepada kerajaan negeri apabila penjualan hendak dilaksanakan kelak.

44. Menjawab kepada soalan YB Sungai Acheh berkenaan dengan penjualan tanah oleh PDC untuk dibuat Padang Golf di Batu Kawan, sehingga kini PDC tidak pernah menjual tanah bagi tujuan padang golf di Batu Kawan. Walau bagaimanapu, pada 28 Oktober 2008, PDC telah menandatangani MOU dengan sebuah syarikat daripada Korea iaitu DK Enc Co. Ltd (Korea) untuk memajukan projek pembangunan bercampur pelancongan antarabangsa dan padang golf di kawasan berbukit seluas 370 ekar, Batu Kawan. Projek ini masih dalam peringkat kajian fisibiliti dan masih belum sampai ke peringkat menandatangani perjanjian jualbeli.

PEMBINAAN DAN PENYELENGGARAAN

Y.B. Tuan Speaker,

45. YB Sungai Acheh ada meminta penjelasan tentang pembinaan Masjid di dalam pelan Pembangunan Batu Kawan. Sememangnya dalam perancangan PDC dalam pelan Induk Batu Kawan telah dirancang dua (2) tapak masjid dan sebuah tapak perkuburan untuk penduduk Islam. Cadangan ini telahpun dirujuk dan dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada tahun 1996 lagi. Pembinaan masjid-masjid tersebut akan dibuat oleh PDC apabila terdapat keperluan. Pada masa ini pembangunan Batu Kawan hanya berpusat di Kawasan Fasa 1 sahaja. Penduduk-penduduk di kawasan Fasa 1 telah mendapat kemudahan masjid sedia ada iaitu di kawasan Kampung Masjid, Batu Kawan yang berdekatan.

46. Merujuk kepada soalan tentang pembinaan Muzium Buddha di Batu Kawan yang diutarakan oleh YB Sungai Acheh, di dalam pelan Induk Batu Kawan, tidak terdapat cadangan pembinaan muzium Buddha di Batu Kawan.

47. Menjawab soalan daripada YB Seberang Jaya berkenaan dengan isu penyelenggaraan flat di Bandar Seberang Jaya yang lemah oleh PDC, PDC telah membina 15 projek perumahan bertingkat di kawasan Bandar Seberang Jaya. Setakat ini, sebanyak 8 projek yang mengandungi 31 Perbadanan Pengurusan (MC) telah ditubuhkan dan telah diserahkan kepada MC masing-masing untuk penyelenggaraan. Manakala sebanyak 7 projek yang mengandungi 13 MC masih belum diserah dan penyelenggaraan masih di bawah tanggungjawab PDC melalui anak syarikat PDC iaitu PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU).

48. Pihak PDC dan PDCSU selaku pengurus bangunan, sentiasa mengambil berat akan masalah yang timbul dan berusaha untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki kerosakan yang diadukan. Namun begitu, bagi sesetengah permasalahan pembaikan, tindakan penyelesaian mengambil sedikit masa.

49. Pihak PDC dan PDCSU dari semasa ke semasa, berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan penyelenggaraan bagi projek-projek di kawasan Seberang Jaya yang masih di bawah tanggungjawab PDC.

WANITA

50. Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap isu pembangunan wanita. Walaupun setakat ini belum ada publisiti yang banyak tentang usaha kami dalam isu wanita tetapi ini tidak bermaksud kami tidak berbuat apa-apa. Pada 5 Januari 2009, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Penjagaan Kanak-kanak di Padang Tembak untuk memberi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berumur 7-12 tahun. Pusat ini hanya mengenakan bayaran RM50.00 sebulan untuk penjagaan seorang kanak-kanak khususnya untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah supaya ibu bapa mereka dapat bekerja untuk mencari rezeki harian. Setakat 22 April 2009, sejumlah 20 orang pelajar telah berdaftar dengan pusat ini.

51. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mendirikan Pusat Perkhidmatan Wanita Seberang Perai pada 19 Januari 2009 yang berfungsi untuk memberi perkhidmatan kaunseling dan bantuan kepada golongan yang menghadapi masalah keganasan kelurga. Dari 19 Januari hingga hujung Mac tahun ini, pusat perkhidmatan ini telah menerima 114 panggilan telefon dan 24 kes kaunseling secara bersemuka untuk mendapatkan bantuan serta peerkhidmatan kaunseling. Satu Pusat Kesedaran Wanita di Bukit Mertajam yang didirikan atas usaha sama kerajaan dengan pihak swasta juga memulakan perkhidmatan sejak 11 April 2009. Lagipun seperti yang dinyatakan oleh YB Ong Kok Fooi, peruntukan untuk hal ehwal wanita pun telah ditambah sebanyak 2 kali ganda daripada RM200,000 kepada RM600,000.

Alam Sekitar
52. Kerajaan Negeri telah mengadakan pelbagai program yang memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan kebersihan alam sekitar. Kami juga menyokong kempen gotong-royong, contohnya pada bulan Febuari yang lalu, RM10,000 telah diberikan untuk penduduk-penduduk clan jetty untuk kempen gotong-royong.

53. Bagi program penanaman pokok, pada tahun yang lepas (2008), kami telah berjaya menanam 54,126 batang pokok, ini telah melebihi sasaran kami pada tahun 2008, iaitu 49,920 batang pokok. Tahun ini, kami berhasrat untuk menanam 75,000 batang pokok. Sehingga bulan Mac ini kami telah menanam 25,927 batang pokok. Pada masa yang sama, Kami juga yakin bahawa Pulau Pinang dapat mencapai sasaran penanaman pokok dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9) dengan jumlah sasaran 249,600. Setakat tahun 2008, Kami telah mencapai sasaran 163,575 dan tempoh RMK9 adalah sehingga tahun 2010. Dalam RMK7 dan RMK8 kami belum sempat mencapai sasaran yang ditetapkan.

54. Bagi rawatan kualiti air sungai dalam Negeri, kerajaan tempatan juga melancarkan program membuat EM mud balls. Kajian air sungai akan diadakan untuk menentukan tahap kebersihan kualiti air tersebut.

55. Kerajaan Negeri telah mengadakan satu “Dialog Hari Bumi” mengenai pengurangan kegunaan beg plastik pada 19 April antara pembuat plastik, NGOs dan orang ramai. Dialog ini telah mendapat sambutan yang baik. Buat julung kalinya kerajaan Negeri menganjurkan dialog dan mendapat konsultasi sebelum kerajaan menentukan sesuatu polisi yang melibatkan hampir semua orang di negeri ini. Kita juga ingin meningkatkan kesedaran orang ramai tentang impak penggunaan beg plastik yang terlampau. Pereputan beg plastik mengambil masa yang panjang. Pembuangan beg-beg plastik yang tidak bertanggungjawab telah menwujudkan banyak masalah alam sekitar. Di samping itu, kadar kitar semula beg plastik adalah rendah disebabkan oleh kekurangan kecekapan atau kesulitan dalam sistem kitar semula masa kini atau tidak dipandang berat oleh pengguna secara amnya.

Leave a Comment