UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG DI MAJLIS SIDANG MEDIA PELANCARAN PORTAL PENANG ALERT

Terlebih dahulu saya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Sidang Media Pelancaran Portal Penang Alert. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan bin Darus atas usaha menjayakan inisiatif ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam memastikan penyampaian info awal bencana dan kejadian kecemasan yang memberi kesan langsung kepada rakyat diurus tadbir dengan cekap, teratur dan berkesan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkatkan sistem eBencana sedia ada yang telah dibangunkan pada tahun 2011 dengan jumlah kos sebanyak RM87,700 dan ianya dipertingkatkan serta dijenamakan semula sebagai sistem Penang Alert mulai tahun 2016.

Fungsi utama Penang Alert adalah bagi hebahan berhubung insiden, kejadian dan apa jua informasi yang melibatkan situasi yang boleh menjejaskan atau mengganggu perancangan serta membantu memudahkan persediaan orang awam di Negeri Pulau Pinang. Pendek kata, Penang Alert membantu orang awam untuk lebih bersedia dalam menghadapi situasi bencana ataupun meminima/mengelak impak bencana/situasi kecemasan/ halangan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kini, Portal Penang Alert ini mengandungi informasi-informasi terkini mengenai paras air sungai, taburan air hujan, banjir, banjir kilat, tsunami, kebakaran besar, penutupan jalan-jalan utama, tanah runtuh, ribut dan lain-lain makluman yang perlu diwar-warkan kepada orang awam. Portal ini turut menyediakan maklumat rujukan berkaitan pusat pemindahan, agensi bantuan, pembekal dan pegawai bertugas.

Portal ini boleh dilayari melalui alamat url http://alert.penang.gov.my/ atau dicapai di laman utama Portal Rasmi Kerajaan Negeri di alamat www.penang.gov.my.

Informasi yang disalurkan di Portal Penang Alert melibatkan kolaborasi dengan jabatan/agensi utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat-Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MBPP dan MPSP. Semua informasi yang dimuatnaik adalah maklumat sahih dan betul yang telah mendapat pengesahan dari jabatan/agensi berwajib sebelum dibuat pemberitahuannya kepada umum.

Maklumat yang disalurkan di portal ini adalah daripada sumber sahih jabatan-jabatan utama tersebut. Soalan Lazim atau Frequently Asked Question (FAQ) juga turut dimuatnaik untuk memudahkan para pengguna melayari portal ini.

Untuk makluman semua, Penang Alert yang akan dilancarkan pada hari ini merupakan fasa pertama kepada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyaluran infomasi awal berkaitan bencana mahupun perkara-perkara yang akan mengganggu urusan/perjalanan harian rakyat seperti penutupan jalan-jalan utama, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya.

Untuk fasa kedua Penang Alert pada tahun ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan fungsi Penang Alert dengan penambahan saluran melalui aplikasi mudah alih (mobile apps) dan memperluaskan kolaborasi perkongsian data dengan jabatan/agensi kerajaan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Jabatan Meteorologi supaya maklumat seperti air pasang surut dan keadaan cuaca serta info penutupan jalan daripada kedua MBPP dan MPSP serta JKR dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tepat kepada rakyat.

Tentunya keberkesanan dan keberdaya-gantungan Penang Alert bergantung kepada kesahihan maklumat yang diberikan serta sama ada ia boleh diberikan dengan pantas. Kerajaan Negeri masih tidak berpuas hati berhubung kegagalan Jabatan Meteorologi untuk memberikan amaran dengan lebih awal apabila bencana angin ribut yang terburuk telah berlaku dalam sejarah Pulau Pinang pada 4 dan 5 November 2017 yang lalu. Tidak boleh dinafikan bahawa amaran ‘merah’ hanya diberikan pada jam 9.30 malam apabila bencana angin ribut telah bermula sehingga feri Pulau Pinang boleh diangkat naik dan ditolak ke atas darat.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan kewangan one-off sebanyak RM700 kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana angin ribut. Sehingga kini, Kerajaan Negeri masih menunggu dengan penuh harapan pengumuman daripada Kerajaan Persekutuan berhubung bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada setiap mangsa banjir di negeri ini sama seperti yang diterima oleh mangsa banjir di negeri lain.

Menurut rekod, di antara tahun 2013-2017, sebanyak RM235 juta bantuan kewangan telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di seluruh Malaysia tetapi Pulau Pinang hanya menerima RM35,500 atau 0.015% sahaja. Mengapa rakyat Pulau Pinang didiskriminasikan seperti ini? Sebaliknya mengapa rakyat Pulau Pinang tidak pula didiskriminasikan apabila membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM7 bilion setiap tahun? Adalah tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang apabila menerima layanan seperti ini daripada Kerajaan Persekutuan. Diharap Kerajaan Persekutuan boleh mengenepikan kepentingan politik demi rakyat negeri ini.

Akhir kata, saya berharap Portal Penang Alert akan menjadi sumber rujukan rasmi yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat dalam mendapatkan informasi yang tepat berkaitan sebarang info awal kejadian bencana, penutupan jalan-jalan utama, dan data terkini mengenai taburan hujan, paras air sungai serta air pasang surut di Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.