UCAPAN YAB. TUAN LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG MAJLIS PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2018 KADUN JAWI

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB. Soon Lip Chee ADUN Jawi kerana menjemput saya dalam Majlis Perayaan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2018 dalam KADUN Jawi ini. Tak lupa juga kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian yang sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri sejak dari tahun 2008 sehinggalah ke hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Sudah agak lama juga saya tidak datang ke Nibong Tebal ini. Kali terakhir saya datang semasa Karnival Pesta Tanglung 2018 yang lalu ditempat ini juga. Saya rasa Padang Taman Berjaya ini sangat popular bagi penduduk yang tinggal khususnya dalam Dun Jawi ini kerana, kita lihat sudah ada banyak perubahan berbanding sebelum ini. Terima kasih kepada YB. Soon Lip Chee atas kesungguhannya membantu menyediakan kemudahan asas untuk penduduk Nibong Tebal ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Sejak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan Mac 2008 yang lalu, kita terus berusaha memajukan Negeri Pulau Pinang ini dengan merancang secara tersusun pembangunan disamping tidak mengabaikan penduduk-penduduk bandar dan luar bandar juga kampung-kampung tradisional yang telah lama wujud.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Sejak YB. Soon Lip Chee ADUN Jawi menjadi ADUN Jawi pada Mac 2013 yang lalu, saya dapat lihat beliau telah mencorakkan pembangunan dalam KADUN Jawi ini dengan bantuan daripada Kerajaan Negeri seperti menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti membina gelanggang berbumbung bola keranjang Taman Berjaya dengan kos Rm 200,000.00 sahaja, Membaiki padang awam Taman Berjaya Rm. 200,000.00 sahaja, membina Dewan JKKK Jawi dengan kos Rm 199,990.00 sahaja dan yang terbaru saya meluluskan peruntukan untuk menaiktaraf bumbung Pasar Awam Taman Berjaya sebanyak Rm 199,964.00 dan Jeti Nelayan Changkat sebanyak Rm 199,900.00 dan beberapa lagi dengan jumlah keseluruhannya sebanyak Rm 1,164,054.00 sejak tahun 2014. Inilah pemerintahan yang kita cuba buat sambil membangunkan negeri yang kita sayangi ini pada yang sama tidak melupakan permintaan daripada rakyat. Bukan itu sahaja beliau juga telah membantu dalam arus pembangunan dalam Bandar dengan kerja keras YB. Soon Lip Chee ADUN Jawi, saya dapat rasakan keperluan asas yang perlu disedia untuk penduduk-penduduk yang tinggal dalam KADUN Jawi ini khususnya hampir terlaksa. Tuan-tuan dan puan-puan perlu bagi sokongan kepada YB Soon Lip Chee supaya beliau dapat meneruskan agendanya membantu rakyat dalam KADUN Jawi dari segi pembangunan dan juga kemudahan asas yang difikirkan perlu untuk rakyat Nibong Tebal ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk membantu rakyat. Contohnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan peruntukan untuk Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Pulau Pinang ( RIBI ). Melalui tabung inilah kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan-persatuan yang memenuhi syarat-syarat. Dalam KADUN Jawi sahaja sehingga kini sudah ada 4 buah yang mana dua persatuan Cina dan dua kepada Kuil hindu. Saya harap kuil-kuil ataupun tokong-tokong yang mempunyai cukup syarat boleh memohon kepada RIBI melalui YB. Adun masing-masing kerana kadar maksimum peruntukan telah dinaikkan kepada Rm 50 ribu ringgit.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Saya telah diberitahu masalah penempatan semula bagi penduduk Ladang Byram, Kuil dan Sekolah SJKT Ladang Byram telah pun selesai. Pada 21 Januari 2018 ( Ahad ) majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh YB. Prof. Dr. P Ramasamy a/l Palanisamy. Saya harap bagi penduduk yang tinggal di Byram tidak perlu gusar lagi kerana Kerajaan Negeri telah menyediakan tapak yang saya rasa sangat sesuai dengan binaan rumah, Kuil dan Sekolah di atas lot 7578 Mukim 11, SPS seluas 8.75 ekar. Begitu juga, bagi penduduk yang tinggal di Ladang Victoria dan juga Ladang Kalidonia kerana Kerajaan Negeri akan menunaikan janji-janji yang kita janji. Tuan-tuan dan puan-puan kena faham banyak proses perlu dilakukan dan perlukan sedikit masa sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Dalam Negeri Pulau Pinang setiap tahun sambutan perayaan pelbagai kaum amat meriah dan boleh dirayakan tanpa rasa bimbang kerana Negeri Pulau Pinang adalah satu negeri yang aman damai dan penduduknya saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Akhir kata, saya harap tuan-tuan dan puan-puan dapat membantu memberi sokongan kepada kerajaan yang ada hari ini bagi membolehkan kita merancang pembangunan pada masa hadapan dengan lebih baik demi penduduk Negeri Pulau Pinang ini.
Sekian, terima kasih.