Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Mutiara Apartment & Arked kerana menjemput saya untuk merasmikan lif baru di Blok C dan D, Mutiara Apartment , Batu Feringgi.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Mutiara Apartment yang sabar menunggu pembaikan lif di blok ini. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, ini merupakan lif pertama yang dibaiki dan disumbang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Badan Pengurusan JMB Mutiara Apartment dengan kos sebanyak RM100,000. Saya difahamkan juga sistem kad akses telah digunapakai untuk keselesaan dan keselamatan penduduk di Mutiara Apartment ini.
Penduduk di Mutiara Apartment & Arked Batu Feringgi sungguh bertuah kerana mempunyai seorang wakil rakyat yang sangat prihatin dan bekerja keras demi memastikan rakyat di bawah kawasannya dapat tinggal dengan selesa. Tahniah sekali lagi kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Zairil Khir Johari kerana menjalankan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya dan diharap menjadi contoh kepada semua wakil rakyat yang lain secara keseluruhannya.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM75,000 untuk pembaikian lif ini di mana 80% daripada keseluruhan perbelanjaan ditanggung oleh Kerajaan Negeri manakala baki sebanyak RM25,000 lagi ditanggung oleh penduduk untuk menaiktaraf kemudahan lif dan kad akses.
Tanggungan RM75,000 ini hanya dapat dihulurkan kerana Kerajaan Negeri mampu kerana mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun. Kerajaan Negeri telah ‘untung’ kerana kita menjalankan pentadbiran bersih sekaligus menangkis sama sekali fitnah jahat kononnya Kerajaan Negeri terbabit dengan rasuah.
Saya difahamkan kerja-kerja menukar lif telah diselesaikan pada 15 Januari 2018 yang lalu. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kebajikan amat prihatin dengan masalah-masalah penduduk terutamanya dari segi kemudahan lif dan kad akses.
Akhir kata, saya berharap penduduk di Mutiara Apartment & Arked akan sentiasa bersama-sama menjaga kemudahan ini dengan baik supaya boleh diguna dan dinikmati oleh semua penduduk dalam tempoh masa yang panjang.
Sekian, terima kasih.