TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF JALAN DI LALUAN (P191)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROJEK MENAIKTARAF JALAN DI LALUAN (P191) BUTTERWORTH, SEBERANG PERAI UTARA, PULAU PINANG PADA 30 SEPTEMBER 2017(9.30am)

Salam Hormat dan Selamat Sejahtera.
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Jabatan Kerajaan yang telah terlibat di dalam penganjuran majlis yang amat bermakna pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada para jemputan serta pihak media yang sudi hadir bagi memeriahkan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Di Laluan (P191) Butterworth, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang atau Jalan Raja Uda.

Dalam menunaikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memantapkan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur di Negeri Pulau Pinang dalam tahun 2017, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM12.3 juta bagi meneruskan dengan pelaksanaan projek menaiktaraf Jalan-Jalan Negeri di seluruh Pulau Pinang. Terdapat tiga (3) projek yang sedang dibina dan enam (6) projek pada peringkat rekabentuk.

Tiga (3) projek yang sedang dibina adalah:

1.Menaiktaraf Jalan Susur Bulatan Seberang Jaya, SPT yang bernilai RM 2,555,250.00

2.Menaiktaraf Persimpangan Jalan Perindustrian Bukit Minyak Dan Jalan Perusahaan Bukit Minyak 1, SPT yang bernilai RM 1,743,675.94

3.Cadangan Pelebaran Jalan Sedia Ada Bagi Menghubungkan Jalan Nangka Dan Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang bernilai RM 887,644.00
Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM5,186,569.94.

Lima (5) Projek dalam Peringkat Rekabentuk pula adalah seperti berikut:

1.Cadangan Pelebaran Jalan Dari 2 Lorong Kepada 4 Lorong Bermula Dari Persimpangan Jalan Tok Kangar, Kebun Baru Ke Jalan Juru Estet, SPT yang bernilai RM 15 juta

2.Cadangan Pelebaran Jalan Kulim, SPT Hingga Sempadan Kedah Kepada 2 Lorong Sehala yang bernilai RM31 juta

3.Cadangan Pelebaran Kampung Besar, SPT yang bernilai RM8 Juta

4.Cadangan Pelebaran Jalan Dari 2 Lorong Kepada 4 Lorong Di Jalan Juru (P176) Ke Persimpangan Jalan Tok Kangar, SPT yang bernilai RM37 juta

5.Pembinaan Jambatan Baru Menggantikan Jambatan Bailey di Jalan Kampung Rawai, Teluk Bahang yang bernilai RM3.4 juta

Jumlah keseluruhan untuk projek ini adalah sebanyak RM94.4 juta.

Para hadirin yang saya dihormati,

Projek JKR ini tidak mengambil kira kos projek jalan dan infrastruktur oleh PDC. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak 3,077,152,950.39 untuk projek infrastruktur di mana 70% daripada projek tersebut adalah di kawasan Seberang Perai.

Projek-projek Menaiktaraf Jalan Di Laluan (P191) Butterworth, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang telahpun dimulakan pelaksanaannya pada 21 Februari 2017 dan telah disiapkan pada 30 Jun 2017. Projek ini mengambil masa selama 9 minggu 3 hari untuk disiapkan (61 hari) oleh Kontraktor Edunexus Sdn.Bhd. Setinggi-tinggi penghargaaan diucapkan kepada Jabatan Kerja Raya terutamanya JKR Daerah Seberang Perai Utara sebagai agensi pelaksana. Tidak dilupakan juga kepada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai yang telah bersama-sama menjayakan projek ini.

Para hadirin yang saya dihormati,

Projek ini melibatkan skop kerja penaiktarafan jalan sepanjang 1.7 kilometer dari persimpangan Jalan Lingkaran Luar Buttterworth atau Butterworth Outer Ring Road (BORR) – Jalan Sungai Puyu hingga ke Persimpangan Jalan Bunga Tanjung 7– Jalan Raja Uda. Projek ini melibatkan kerja-kerja membaru muka jalan, bahu jalan serta saliran. Projek ini juga melibatkan pengalihan utiliti sediada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Kos keseluruhan yang dibelanjakan untuk projek ini adalah berjumlah RM2,942,439.31 berbanding kos asal iaitu RM3,223,131.40. Walaupun kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek adalah tinggi, namun Kerajaan Negeri sanggup melaksanakan projek menaiktaraf jalan ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Para hadirin yang saya dihormati sekalian,

Projek ini juga merupakan sebuah projek yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur rakyat di Negeri Pulau Pinang amnya dan penduduk di kawasan Parlimen Bagan. Sejak 2008, RM16,255,498.51 telah dibelanjakan untuk membina jalan. Akhir kata, saya dengan sukacita dan berbesar hati merasmikan Projek Menaiktaraf Jalan Di Laluan (P191) Butterworth, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang telah siap dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.