MERAFAK SEMBAH TAKZIAH ATAS KEMANGKATAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Kenyataan Media oleh Ketua Menteri Pulau Pinang di KOMTAR, George Town pada 12 September 2017

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merafak sembah takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Hajah Haminah, Sultanah Kedah Darul Aman, kerabat Diraja dan seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman di atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Negeri Kedah Darul Aman pada jam 2.30 petang, hari Isnin 11 September 2017 bersamaan 20 Zulhijjah 1439H di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Pertabalan Almarhum Baginda Sultan Kedah sebagai Ketua Negara Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1970 dan 2011 menjadikan Almarhum Baginda Sultan Kedah sangat dekat dan disayangi oleh rakyat jelata. Sesungguhnya, kehilangan Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah bukan sahaja dirasai oleh rakyat Negeri Kedah amnya tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya kerana Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah sangat dikenali sebagai seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan penyayang. Semoga roh Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Bagi menghormati kemangkatan Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah, saya meminta semua pihak supaya mengibarkan bendera Pulau Pinang separuh tiang selama dua hari berturut-turut bermula hari Selasa.

LIM GUAN ENG