TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM(e/c)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG BERSAMA Y.A.B. KETUA MENTERI TAHUN 2017
6 FEBRUARI 2016 (ISNIN), GRAND BALLROOM, TINGKAT 5,THE TOP

Para hadirin yang saya hormati sekalian
Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Gong Xi Fa Chai kepada semua.

Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengelola iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana berjaya menganjurkan majlis pada pagi ini.

Tahniah dan syabas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan bin Darus kerana pentadbiran awam di bawah pimpinan beliau telah mencatatkan banyak kejayaan. Jelas, beliau merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri yang paling dinamik di Malaysia yang diakui sendiri oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan pemberian pangkat kepada beliau sebagai Turus (III). Kerajaan Negeri pernah menyatakan untuk berkhidmat di Pulau Pinang bukan mudah. Sehingga ada yang menyebut bahawa sekiranya dapat bertahan di negeri ini itu merupakan pegawai yang boleh tahan lasak.

Pulau Pinang kini merupakan sebuah negeri yang menuju ke arah transformasi menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar. Kerajaan Negeri terdedah dengan perkembangan-perkembangan di peringkat antarabangsa. Sesetengah pegawai tertinggi menyatakan Pulau Pinang adalah seperti ‘Mini-Putrajaya’ kerana mempunyai kemudahan dan dewan yang sama baik dengan Putrajaya dan menguruskan perkara-perkara yang meliputi pelbagai bidang termasuk di luar bidang kuasa negeri.

Lihat sahaja dari segi pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak warisan dunia dan menjadi tapak pilihan utama untuk pelabur-pelabur dari seluruh dunia. Bukan itu sahaja, Pulau Pinang turut disenaraikan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia sehingga CNN turut menyenaraikan Pulau Pinang di tempat kedua daripada senarai 17 tempat di dunia yang paling baik untuk dilawati. Ini menunjukkan Pulau Pinang bukan sahaja sekadar jaguh kampung tetapi juga boleh menjadi jaguh dunia.

Saya rasa ia harus memberikan kita keyakinan bahawa kita semua dapat melakukannya sekiranya kita memberikan fokus yang sewajarnya. Itu yang ditekankan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dalam ucapan sebelum ini iaitu SIKAP (Skill, Interest, Knowledge, Attitude,Procedure). Sekiranya mahu berjaya, kita perlu melihat contoh-contoh yang baik dan daripada mereka yang telah berjaya. Sebagai sebuah pasukan, kita semua perlu berjaya agar kita dapat menyaksikan kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Tahun 2016 adalah tahun yang penuh cabaran. Dari segi ekonomi amat penuh dengan ekspektasi yang berbeza khususnya selepas Donald Trump dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. Kita tidak dapat menjangkakan unjuran yang akan berlaku berkaitan ekonomi global. Negeri seperti Pulau Pinang amat terdedah dengan apa yang berlaku di peringkat antarabangsa. Dalam keadaan yang penuh dengan cabaran, pihak swasta mungkin tidak dapat memainkan peranan yang besar. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri perlu mengambil peranan yang lebih besar.

Amalan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) membolehkan kita mencapai atau melihat hasil yang membanggakan. Pulau Pinang telah menjadi negeri yang paling bersih di seluruh Malaysia. Pengiktirafan yang diberikan melalui Laporan Ketua Audit Negara dan Transparency International setiap tahun telah membuktikan Pulau Pinang mencatatkan lebihan tahunan setiap tahun meskipun membentangkan anggaran defisit. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mengamalkan sistem tender terbuka yang membolehkan projek-projek dijalankan dengan harga yang baik.

Sepertimana yang disebut oleh Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang menyatakan bahawa pencapaian perbelanjaan pembangunan Pulau Pinang hanya 55.4% ataupun perbelanjaan sebenar RM952 juta daripada keseluruhan peruntukan RM1,718 juta. Ini adalah prestasi yang baik kerana Pulau Pinang mencatatkan pencapaian pelaksanaan projek sebanyak 99.7% iaitu 16,126 daripada 16,173 projek siap.

Kerajaan Negeri mampu meningkatkan lebihan Belanjawan terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding RM373 juta yang dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.

Kerajaan Negeri juga turut berjaya mengurangkan bebanan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM69 juta daripada keseluruhan RM16.8 bilion – menjadikan Pulau Pinang menjadi negeri yang paling rendah berhutang dengan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini bukan merupakan yang miskin/ mundur.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sehingga kini, 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui ‘dividen anti-rasuah’ atau bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan sejak tahun 2008 menerusi program emas Kerajaan Negeri baik untuk warga emas ataupun anak emas.

Suka saya tekankan di sini beberapa aspek yang perlu dititikberatkan dalam memastikan semua penjawat awam Negeri Pulau Pinang yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh berhemah dan berdisiplin. Semua penjawat awam perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah 3A (Available, Accessible,Affordable) agar tanggungjawab yang diberikan dapat disampaikan secara 3B (Bersih,Bijak,Berani) dalam usaha untuk mengatasi permasalahan utama negeri ini iatu 3C (Crime, Cleanliness, Congestion of Traffic). Semua ini merangkumi kerja 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) agar kita dapat menjadi Kerajaan Negeri berjiwa rakyat yang berasaskan 3E (Enable,Empower, Enrich The People) iaitu memperkasakan rakyat, memperkuasakan rakyat dan memperkayakan rakyat. Semua penjawat awam juga harus bersifat 3F (First, Fast, Faithful) agar kita dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan pantas dan sentiasa setia kepada Kerajaan Negeri dan rakyat dalam usaha untuk memastikan Negeri Pulau Pinang sentiasa 3G (Green, Gender Sensitive, Generation-rated agar menggunakan teknologi terkini).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi negeri keusahawanan dan berkebajikan. Usaha untuk menjadi negeri keusahawanan telah melihatkan kejayaan apabila jumlah pelaburan meningkat sebanyak 90% untuk tempoh 8 tahun daripada 2000-2007 sebanyak RM29 bilion kepada RM55 bilion untuk tempoh 2008-2015.

Dalam sektor perkhidmatan pula, jumlah pelancong yang telah melawat Pulu Pinang telah naik meningkat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mencecah 6.6 juta orang – melebihi kapasiti sebanyak 6.5 juta orang.

Seperti mana pada tahun-tahun sebelumnya, tanpa mengambil kira kadar bonus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan yang lazimnya adalah kurang daripada kadar pemberian Kerajaan Negeri. Pada tahun 2016 yang lalu, Kerajaan Negeri telah memberikan bonus raya sebanyak 0.75 bulan manakala bayaran bonus akhir tahun adalah bersamaan dengan 0.5 bulan atau 1/2 bayaran gaji bulanan penjawat awam atau minimum RM700.00.

Kerajaan Negeri juga turut meluluskan bayaran tambahan lagi sebanyak 0.25 bulan atau 1/4 bulan gaji kepada mereka yang tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi empat (4) hari sehingga November 2016 serta tidak diluluskan cuti sakit tambahan di bawah Peraturan 17 (a) Perintah Am Bab C sebagai insentif kehadiran kerja. Pada tahun ini, cuti sakit swasta tidak boleh melebihi 3 hari. Sungguhpun menghadapi kekangan kewangan, Kerajaan Negeri akan cuba pastikan yang kita akan beri lebih daripada apa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Selain daripada itu, saya berharap semua penjawat awam Pulau Pinang dapat membantu Kerajaan Negeri untuk menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri kepada rakyat. Sebelum ini terdapat aduan yang menyatakan terdapat penjawat awam yang mengutuk Kerajaan Negeri tetapi kes-kes seperti ini telah berkurangan selepas tindakan tatatertib telah diambil. Kesetiaan kepada Kerajaan Negeri seharusnya tidak harus dipertikaikan lebih-lebih lagi daripada kakitangan yang makan gaji daripada Kerajaan Negeri.

Potongan cukai pintu yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin dengan bebanan kewangan yang ditanggung rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi apabila cukai GST dikenakan sebanyak 6% bermula April 2015. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai pintu bermula tahun 2016 kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah. Pengecualian ini diteruskan pada tahun 2017 juga.

Kerajaan Negeri juga akan memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil. Potongan 6% ini akan memberikan penjimatan kepada pemilik di kawasan MBPP sebanyak RM11,829,732.70 dan MPSP sebanyak RM9,907,892.00 dan akan menyebabkan MBPP dan MPSP menanggung 100% bayaran GST sebanyak RM21.74 juta kepada MBPP dan MPSP. Jumlah keseluruhan pengecualian untuk rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung serta pengurangan cukai pintu secara am sebanyak 6% bagi tahun 2017 adalah berjumlah RM55.19 juta.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana berjaya meneruskan kecemerlangan dengan memperolehi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akuantabiliti Tahun 2015 yang telah diaudit pada tahun lalu oleh Jabatan Audit Negara dengan pengiktirafan lima (5) bintang dan perakuan Sijil Amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk tahun yang keenam berturut-turut.

Kerajaan Negeri juga merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana kesungguhan yang diberikan dalam mempromosikan ”Bicycle Lane” bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai ”Cycling State” pada tahun 2016. MBPP juga turut membantu menempatkan nama Pulau Pinang dalam Tourism Promotion Organization For Asia Pacific (TPO), Tourism Leader Award In Tourism Promotion For Asia Pacific Forum 2016.

Ucapan tahniah turut ditujukan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana telah berjaya merangkul Anugerah Khas Menteri KPKT dan Penghargaan Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiran Hijau Sempena Hari Karnival KPKT 2016. Lebih manis lagi, MPSP juga turut berjaya dinobatkan untuk menerima dua (2) anugerah oleh MIP Planning Excellence Awards 2016 yang mana MPSP sebagai penerima Recognition Awards, anugerah ini adalah berdasarkan pencapaian dan inisitif yang telah dilaksanakan oleh MPSP sejajar dengan Good Governance dan Sustainable Deveploment. Dalam majlis yang sama MSP juga sebagai penerima Merit Awards bagi kategori Community Based Planning.

Tahniah sekali lagi saya ucapkan.

Secara rumusan, saya ingin menyebut 3 perkara. Pertama, Kerajaan Negeri dilihat sebagai pusat kos (cost-center). Kerajaan Negeri jarang dapat menjana sumber pendapatan. Jika dilihat secara holistik, meskipun jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai pusat kos melaksanakan sesuatu projek, ia akan menjana pertumbuhan ekonomi untuk pihak swasta ataupun menjimatkan kos untuk rakyat. Sebagai contoh, sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai sistem saliran yang baik, rakyat tidak perlu menanggung kerugian sekiranya banjir berlaku.

Kedua ialah budget-based-administration (pentadbiran secara belanjawan). Seperti yang ditekankan, Kerajaan Negeri perlu melaksanakan pertadbiran berlandaskan belanjawan bagi memastikan sesuatu kos dapat dikawal dan sekaligus dapat menjana sumber kewangan demi mencegah ketirisan kewangan.

Ketiga ialah outcome-based-budgeting (belanjawan secara hasil). Setiap projek yang dilakukan diharap dapat memberi impak yang tinggi kepada rakyat. Sekiranya mahu melihat sesuatu projek dengan impak yang tinggi, ia perlu memberikan manfaat kepada rakyat dengan kesan yang besar. Oleh sebab itu, apabila Kerajaan Negeri mahu melaksanakan sesuatu projek, kita perlu melihat impak yang besar kepada rakyat dan bukan kepada diri sendiri.

Sebelum saya akhiri ucapan, saya berharap semua anggota pentadbiran negeri ini dapat menjauhi diri daripada kegiatan yang tidak sihat. Ada sesetengah anggota pentadbiran yang menghadapi kekangan kewangan telah membuat pinjaman daripada ‘ah long’. Saya ingin mencadangkan agar anggota pentadbiran yang terlibat dapat berjumpa dan meminta bantuan pegawai tertinggi. Kerajaan Negeri mahu mencantas aktiviti tersebut dan mahu membuat laporan atau mengambil tindakan supaya ‘ah long’ tidak berani meminjamkan wang kepada anggota pentadbiran Kerajaan Negeri ini. Kerajaan Negeri mahu pastikan hanya bayaran pokok sahaja dijelaskan dan bukannya faedah yang terlampau tinggi tersebut agar penyelewangan di kalangan penjawat awam dapat dikurangkan.

Saya berharap ini dapat mewujudkan suasana yang sihat agar semua anggota pentadbiran negeri ini tidak dibelenggu dengan masalah ‘ah long’. Walaupun ini adalah sesuatu yang sensitif tetapi ia wujud di kalangan masyarakat secara amnya.

Marilah kita sama-sama menyemai nilai-nilai murni dan berintegriti dalam usaha memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan lebih agresif ke arah sebuah negeri yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa. Saya juga berharap kita semua akan terus bersatu padu dan bekerja sebagai satu pasukan atau keluarga yang muhibah untuk membangunkan kecemerlangan negeri Pulau Pinang.

Selamat Bertugas.

Sekian, terima kasih.