Teks Ucapan Ketua Menteri Sempena Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Pegawai-pegawai Penyelarasa Kadun

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI SEMPENA MAJLIS PENGAKUAN MENERIMA JAWATAN PEGAWAI-PEGAWAI PENYELARAS KADUN (PPK) SESI 2017,6 JANUARI 2017 TINGKAT 28, KOMTAR
——————————————————————-

Selamat Tengahari dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada 10 Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) dan 2 PPK Khas yang bakal menerima jawatan hari ini.

Dalam tempoh lapan tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang, kami berupaya membela secara saksama dan memberikan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, jantina atau latar belakang politik.

Ini terbukti melalui pelaksanaan program-program Emas yang telah memanfaatkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang melalui bantuan kewangan RM400 juta yang diagihkan sejak tahun 2008.

Antaranya, bayaran RM100 kepada warga emas, ibu tunggal, suri rumah, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, bayaran one-off RM1,000 sebagai khairat kematian, RM200 untuk bayi baru lahir, pukat percuma kepada nelayan, RM1,000 kepada pelajar IPT tahun pertama, bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi serta operator bas sekolah berdaftar, dan RM1,200 setahun kepada penarik beca.

Malah, bayaran cukai GST untuk perkhidmatan kerajaan tempatan juga dibayar penuh oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPSP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berserta pengecualian penuh cukai pintu bagi rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung. Terkini, potongan 6 peratus cukai pintu untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersial.

Pelaksanaan semua insentif dan program-program Emas berkaitan adalah dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua rakyat Pulau Pinang dan meliputi semua Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) termasuk di bawah ADUN-ADUN Barisan Nasional di negeri ini.

Hari ini, kita sekali lagi menyaksikan Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Pegawai-pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Sesi 2017 yang sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan tidak pernah meminggir atau menganaktirikan 10 KADUN di bawah ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN).

Lantikan 10 PPK berserta 2 PPK Khas di KADUN dan Parlimen bawah BN adalah berperanan sebagai pengantara atau wakil Kerajaan Negeri membabitkan segala urusan para penduduk di kawasan-kawasan berkaitan.

Tanpa mengira perbezaan politik, bangsa dan agama, adalah menjadi tanggungjawab seseorang PPK untuk membantu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi para penduduk.

Malah, PPK juga berfungsi sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri terutamanya dalam pelaksanaan program-program Kerajaan Negeri, penerangan berhubung polisi-polisi Kerajaan Negeri dan menangkis fitnah-fitnah jahat yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri.

Sebagai tambahan, bagi membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan yang adil untuk semua, prestasi kerja seseorang PPK berhubung pelaksanaaan tugas masing-masing turut dinilai berdasarkan KPI yang telah ditetapkan.

Justeru, bagi penduduk di Bayan Lepas, Teluk Bahang, Pulau Betong, Penaga, Teluk Air Tawar, Bertam, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Permatang Berangan, Sungai Acheh, Parlimen Kepala Batas dan Parlimen Tasek Gelugor, anda tidak perlu takut untuk berjumpa PPK bagi menyelesaikan masalah dihadapi, ataupun membuat aduan terhadap kelemahan-kelemahan PPK di kawasan masing-masing sekiranya perlu.

Perlu saya tekankan di sini bahawa PPK mempunyai tanggungjawab serta memikul amanat penting Kerajaan Negeri. Justeru, laksanakanlah tugas dengan amanah, adil dan saksama. **(Senarai nama berserta nombor telefon PPK dilantik adalah sebagaimana dilampirkan).

Pada kesempatan ini, ingin sekali lagi saya tegaskan bahawa hasil urus tadbir berteraskan prinsip Cekap, Akauntabel, Telus (CAT) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang bertindak adil terhadap semua, kepelbagaian pencapaian yang tidak pernah tercapai berjaya diukir dan berjaya mencatat sejarahnya yang tersendiri. Antaranya, statistik ekonomi membuktikan bahawa dari tahun 2007-2015:

•Pulau Pinang mencatat bajet lebihan dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015, lebih daripada jumlah lebihan di bawah BN sepanjang 50 tahun pentadbiran dari 1957-2007, iaitu RM373 juta. Dalam erti kata lain, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini mengambil masa hanya 8 tahun untuk mengatasi prestasi BN selama 50 tahun!

•Aset Pulau Pinang hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding BN selama 50 tahun.

•Jika tempoh 8 tahun 2008-2015 dibandingkan dengan 2000-2007, pelaburan pembuatan di Pulau Pinang telah meningkat 87% kepada RM54.9 bilion berbanding RM24.9 bilion, dengan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 20% kepada 128,317 berbanding 106,583. Kadar pengangguran pula hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000.

•Produktiviti penternakan ikan di laut juga meningkat secara mendadak, daripada hanya 2,714.60 tan metrik pada tahun 2007 kepada 28,964.95 tan metrik pada tahun 2015, iaitu peningkatan 10 kali ganda.

•Pekala Gini (Gini coefficient) bagi mengukur tahap kesenangan pendapatan telah berkurang daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.364 pada tahun 2014, iaitu satu penambahbaikan sebanyak 13% dalam tempoh masa 5 tahun, berbanding dengan purata kebangsaan 0.401. Sebagai bandingan, Perak mempunyai pekala Gini yang lebih rendah iaitu 0.419 pada tahun 2009, tetapi masih mencatat angka yang lebih tinggi berbanding Pulau Pinang, iaitu 0.366 pada tahun 2014.

•Hutang negeri Pulau Pinang telah menurun 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM69 juta pada akhir 2015. Hutang RM69 juta ini sangat kecil berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM16.8 bilion, dengan hutang Pahang sebanyak RM2.9 bilion, diikuti oleh Sabah RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

•Pada tahun 2007, Pulau Pinang mempunyai kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tercorot. Pada tahun 2015, selepas 8 tahun, Pulau Pinang akhirnya berjaya merubahkan keadaan dan menjadi juara kebangsaan dengan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tinggi.

Malah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan turut mementingkan perihal Hal Ehwal Agama Islam Negeri ini apabila peruntukan yang diberikan ditambah sekali ganda berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2008 dan pada tahun 2016 adalah RM56.2 juta.

Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang hebat ini boleh dilihat melalui transformasi negeri yang dahulunya diiktiraf sebagai negeri yang paling kotor di Malaysia kepada antara negeri paling bersih yang juga hijau, selamat dan sihat.

Jalan baru telah dibina di Seberang Perai dan buat kali pertama dalam 20 tahun, dalam kawasan tengah bandar Pulau Pinang iaitu Jalan Ahmad Nor serta Jalan Raja Uda di Butterworth dan Jalan Song Ban Keng di Bukit Mertajam.

Sebagai tambahan, kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini bukan sekadar statistik, tetapi adalah perkara zahir yang boleh dilihat dalam tempoh 8 tahun, seperti projek rumah terbiar yang kini dihidupkan kembali, tapak pelancongan yang kini dicergaskan kembali seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena (PISA) serta penubuhan dewan baru di Seberang Jaya (Seberang Perai Arena).

Lebih penting lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga melabur dalam pendidikan bagi membina modal insan. Selain daripada geran langsung sebanyak RM12.5 juta setahun kepada sekolah-sekolah vernakular dan agama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menumpukan kepada pembelajaran STEM, iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik. Untuk menjadi pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi, kita telah menubuhkan:

•Penang Science Cafe yang bernilai sebanyak RM20 juta untuk memberi kelas percuma kepada kanak-kanak dalam bidang sains amali dan robotik.

•Tech-Dome Pulau Pinang yang bernilai RM28 juta bagi menghidupkan kembali minat dalam sains dan teknologi.

•Skim Latihan Dwi-Vokasional Jerman sebanyak RM6 juta yang menawarkan kursus advanced diploma selama 42-bulan yang diiktiraf oleh Jerman, di mana pelajar dapat belajar sambil bekerja di kilang-kilang.

•Pusat Pembelajaran Karpal Singh yang bernilai RM6 juta bagi pengajaran STEM dan coding; dan

•Perpustakaan Digital Pulau Pinang yang bernilai RM3 juta – perpustakaan digital pertama di Malaysia.

Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi, tahniah diucapkan kepada barisan PPK dilantik dan selamat menjalankan tugas.

Sekian, terima kasih.