MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT NEGERI PULAU PINANG 2016 & PERASMIAN BANGUNAN BARU SEKOLAH RENDAH ISLAM MAAHAD AT-TARBIAH GUAR JERING, PENANTI, PERMATANG PAUH

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2016 pada petang ini. Majlis ini merupakan kali ke-8 pihak Kerajaan Negeri memberikan bantuan kewangan kepada seluruh sekolah agama di negeri ini.

Sejumlah RM1.75 juta disalurkan kepada 178 buah sekolah-sekolah agama rakyat yang meliputi :

1. Sekolah Menengah Agama Rakyat ( 7 buah )
2. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan(11 buah )
3. Sekolah Rendah Agama Rakyat (7 buah)
4. Maahad Tahfiz (27 buah)
5. Sekolah Agama Rakyat – Kafa Integrasi (106 buah)
6. Tadika Islam (14 buah)
7. Pondok (6 buah)

Di samping itu, bantuan ini juga turut dinikmati oleh 1,427 orang guru yang mengajar di sekolah-sekolah yang tersenarai.

Dengan ini, saya mengumumkan agihan peruntukkan pada tahun ini adalah seperti berikut:

1.Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) – RM389,800.00
2. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) – RM264,500.00
3. Sekolah Rendah Agama Rakyat – RM382,020.00
4. Maahad Tahfiz – RM177,200.00
5. Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi) – RM453,800.00
6. Tadika Islam – RM 22,680.00
7. Pondok – RM 60,000.00

JUMLAH RM 1,750,000.00

Pada petang ini juga, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh dan juga penduduk-penduduk Kampung Guar Jering kerana mendapat bangunan baru bagi kemudahan anak-anak kampung ini untuk mendalami dan mempelajari ilmu agama.

Sekolah setinggi 3 tingkat bagi menggantikan sekolah lama ini, telah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) yang membabitkan kos berjumlah RM1.3 juta.

Majlis pecah tanah telah dilakukan oleh bekas Ahli Parlimen Permatang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Ogos 2014 di mana projek pembinaannya telah dimulakan pada 2 Februari 2015 dan disiapkan pada 1 Februari 2016 iaitu dalam tempoh 12 bulan sahaja.

Inilah sebahagian usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan Islam di negeri ini. Sungguh pun ada pihak tertentu terus menabur tohmahan, namun Kerajaan Negeri tetap mengutamakan pendidikan anak-anak semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama.

Besarlah harapan saya dan harapan Kerajaan Negeri, agar sumbangan ini benar-benar dimanfaatkan demi masa depan anak-anak kita.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan bangunan baru Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh.

Sekian, terima kasih.