TEKS UCAPAN YAB LIM GUAN ENG KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PENGASINGAN SISA DIPUNCA
DI TAMAN SRI IDAMAN, KADUN AIR PUTIH PADA 14 OGOS 2016
Bersyukur kita kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari yang mulia ini untuk meraikan Majlis Pelaksanaan Pengasingan Sisa Di Punca di kawasan Air Puteh. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada JKKK Taman Reservior dan RT Taman Sri Idaman kerana menganjurkan majlis ini dan Bahagian Kerajaan Tempatan bersama MBPP yang telah memberi sokongan bagi menjayakan majlis ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.1 kg sampah dan oleh itu sejumlah 1,700 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di tapak Pelupusan Pulau Burung. Pihak Berkuasa Tempatan kita iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukan RM95.64 juta dan RM98.99 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Pihak Kerajaan Negeri serius dalam langkah pro-aktif hijau dan mempelapori dasar “No plastic Bag” di negara yang kini dijadikan sebagai kayu pengukur dan contoh bagi negeri-negeri lain. Disamping itu, kempen haramkan beg polistirena, kempen makan sampai habis diperkenalkan untuk mengurangkan bukan sahaja pembaziran tetapi juga jumlah sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan tunggal di Pulau Burung. Kejayaan dasar ini telah membawa impak yang nyata sekali kerana sisa organik atau sisa dapur terdiri daripada 40% sampah yang di lupus di Pulau Burung. Tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah penjanaan sisa dalam pembangunan pesat negeri menjurus kepada sasaran zero waste yang kini diamalkan di banyak negara maju.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Kadar kitar semula negeri Pulau Pinang yang kini pada 32% adalah tertinggi di Malaysia dan adalah 3 kali ganda kadar kitarsemula kebangsaan pada 10.5% dan yang hanya disasarkan mencapai 20% menjelang tahun 2020. Saya yakin dengan pelaksanaan dasar ini, kadar kitar semula negeri akan meningkat lagi dan akan setanding dengan kadar kitar semula negara maju yang melebihi 40%.
Pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca dalam negeri akan mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan di Pulau Burung. Langkah ini membolehkan Kerajaan Tempatan MBPP dan MPSP untuk menjimatkan wang dalam pengurusan sisa pepejal dari segi kos kutipan sampah, kos pengangkutan sampah dari stesen pemindahan sampah ke tapak pelupusan sampah serta kos tipping fi yang dikenakan bagi sampah yang dilupuskan di Pulau Burong.
Kos pengangkutan sampah dari Stesen Pemindahan Sampah Ampang jajar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong menelan belanja sebanyak RM1.2 juta sebulan, manakala kos tipping fi adalah RM20.20 setan. Di samping itu, perlu juga dikira kos tanah seluas 157 ekar yang disediakan khas sebagai tapak pelupusan. Sekiranya dasar dapat melencongkan 4% jumlah sampah daripada memasuki tapak pelupusan, dianggarkan RM2.5 juta dijimatkan setiap tahun.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Pihak media juga turut memainkan peranan yang penting bagi membantu mendidik masyarakat untuk mengasingkan sisa di punca seterusnya menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat barulah boleh indah dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.