PADA 25 JUN 2016
Selamat pagi dan salam sejahtera diucapkan kepada semua hadirin. Saya mengalu-alukan kedatangan semua pihak ke Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Jenazah OKU kepada waris dan majlis Pelancaran Applikasi “Apps Sejahtera”. Kerajaan Negeri begitu komited menjalankan pelbagai program kebajikan sejak tahun 2009 untuk memastikan rakyat berkongsikan kemakmuran dan kesejahteraan serta menikmati hasil penjimatan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri menerusi program bayaran “EMAS”.
Bermula dengan Program Penghargaan Warga Emas sebanyak RM100 dan Sumbangan kepada Waris Warga Emas Meninggal Dunia sebanyak RM1,000 pada 2009, keprihatinan Kerajaan Negeri diteruskan lagi dengan Program Bantuan Ibu Tunggal (2011) sebanyak RM100, Program Bantuan OKU (2011) sebanyak RM100, Program Anak Emas (2011) sebanyak RM200, Program Skim Pelajar Emas (2012) sebanyak RM100 dan Program Ibu Emas (2014) sebanyak RM100 yang telah berjaya dilaksanakan. Setiap program bantuan tersebut juga mempunyai modul khusus yang dibangunkan di dalam sistem i-Sejahtera. Kerajaan Negeri telah membangunkan sistem i-Sejahtera pada tahun 2009 bagi memudahkan urusan pengendalian, kemaskini dan pengumpulan data.
Sejak tahun 2010, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM92,603,400.00 kepada 926,034 warga emas melalui Program Penghargaan Warga Emas, RM5,487,100.00 kepada 54,871 ibu tunggal melalui Program Bantuan Ibu Tunggal, RM18,848,800.00 kepada 188,488 para pelajar melalui Program Skim Pelajar Emas, RM11,680,400.00 kepada 58,402 bayi melalui Program Anak Emas, RM9,002,300.00 kepada 90,023 suri rumah melalui Program Ibu Emas dan RM18,896,600.00 kepada 188,966 golongan OKU melalui Program Bantuan OKU. Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sebanyak RM4,857,900.00 kepada 16,193 pemandu teksi melalui Bantuan Pemandu Teksi, RM624,000.00 kepada 120 pengayuh beca melalui Bantuan Pengayuh Beca, RM2,421,679.00 kepada 3,121 nelayan melalui Bantuan Nelayan (Pukat) dan RM19,891,821.00 kepada 1,235 rakyat yang tidak berkemampuan melalui Program Agenda Ekonomi Saksama (AES)
Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut:
PROGRAM JUMLAH PENERIMA JUMLAH BAYARAN
(RM)
Program Penghargaan Warga Emas 926,034 92,603,400
Program Ibu Tunggal 54,871 5,487,100.00
Program Skim Pelajar Emas 188,488 18,848,800.00
Program Anak Emas 58,402 11,680,400.00
Program Ibu Emas 90,023 9,002,300.00
Program Bantuan OKU 188,966 18,896,600
Bantuan Pemandu Teksi 16,193 4,857,900.00
Bantuan Pengayuh Beca 120 624,000.00
Bantuan Nelayan
(Pukat) 3,121 2,421,679.00
Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) 1,235 19,891,821.00
JUMLAH KESELURUHAN 1,527,453.00 184,314,000.00
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kerajaan Negeri mampu buat bayaran sebesar RM184,314,000.00 sejak tahun 2009 hasil urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) di mana Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan lebihan belanjawan yang terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM 373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri yang lama. Rizab Kerajaan Negeri telahpun meningkat daripada RM847.45 juta pada akhir tahun 2007 kepada 1.56 billion pada akhir tahun 2015. Kesan yang signifikan juga dapat dilihat dalam pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% iaitu kepada hanya RM69juta pada akhir tahun 2015.
Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik dalam mengagihkan bantuan tanpa diskriminasi iaitu tanpa mengambil kira latar belakang agama, bangsa dan politik. Ini memastikan setiap rakyat Pulau Pinang yang kurang berkemampuan terutamanya melibatkan hal ehwal kebajikan golongan OKU, dan pada hari ini satu majlis khas telah diadakan untuk memberikan sumbangan pengurusan jenazah sebanyak RM1000.00 kepada setiap waris penerima OKU yang telah meninggal dunia. Secara keseluruhannya sebanyak RM71,000.00 diperuntukkan kepada 71 orang waris pada hari ini.
Adalah diharapkan melalui bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban kepada keluarga dan serba sedikit membantu ahli keluarga dalam membuat persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Dengan pembangunan sistem ini, para pengguna dapat mengakses sistem ini di mana-mana saja dan dibuka kepada orang awam khususnya pemohon (warga emas, pelajar sekolah rendah dan menengah, bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan keluarga bayi) untuk membuat semakan status pendaftaran mereka disamping pengguna-pengguna sistem lainnya yang bertugas di Pejabat Daerah, Pejabat Khidmat ADUN di seluruh negeri Pulau Pinang.
Para hadirin sekalian,
Bagi memperkasakan lagi kepenggunaan sistem i-Sejahtera ini, Kerajaan Negeri melalui Pusat Teknologi dan Komunikasi Negeri Pulau Pinang (PTMKN) telah membangunkan satu aplikasi terbaru ini dinamakan sebagai “AppSejahtera”. Aplikasi ini merupakan sebuah aplikasi mudah alih yang di inovasikan dari versi web (http://isejahtera.penang.gov.my) sebagai satu kemudahan saluran perkhidmatan kerajaan dalam meningkatkan sistem penyampaian kerajaan untuk rakyat khususnya pengguna negeri Pulau Pinang.
AppSejahtera ini menyediakan kemudahan untuk membuat semakan status pendaftaran mana-mana program i-Sejahtera. Selain itu, Pengguna boleh menyemak bayaran pada tahun semasa, melihat statistik penerima terkini semua program i-Sejahtera, mendapatkan maklumat info perhubungan dan komunikasi serta lokasi DUN untuk mendaftar program, kemudahan melihat jadual bayaran semua program pada setiap tahun dan tahun semasa dengan lengkap dalam bentuk kalendar.
Aplikasi ini juga menyediakan kemudahan khas mendaftar Anak Emas secara mobile yang lebih mudah dan cepat untuk mendaftar anak yang baru lahir bagi mendapatkan sumbangan bayaran RM200 one off. Selain itu, syarat-syarat permohonan dan info Program Kebajikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada dinyatakan dalam aplikasi ini bagi memudahkan rujukan dan persediaan dokumen pemohon. Pada kini, seluruh penduduk Pulau Pinang boleh memuat turun aplikasi ini di playstore bagi pengguna Android dan istore bagi pengguna IOS.
Kemudahan ini juga boleh merentasi negeri dan agensi di mana pengguna yang berada di negeri lain yang mempunyai keluarga di Pulau Pinang boleh menggunakan aplikasi ini untuk membuat semakan dan pendaftaran untuk keluarga. AppSejahtera ini juga boleh diperluaskan ke negeri-negeri lain di Malaysia yang menyediakan kemudahan penghargaan dan sumbangan pembayaran kepada rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Akhir kata, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah negeri yang berjiwa rakyat, yang sentiasa menjaga hal ehwal kebajikan rakyatnya dalam memastikan rakyatnya hidup dalam aman, sejahtera dan baik.
Sekian, terima kasih.