KENYATAAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT PULAU PINANG DALAM MESYUARAT TERGEMPAR PADA 22.8.2010 DI KOMTAR, GEORGE TOWN.
Mesyuarat tergempar PR dipanggil hari ini berikutan permainan isu “Guan Eng gantikan Agung” yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan media massa. Permainan politik oleh UMNO ini adalah begitu karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama lain.
Dalam mesyuarat tersebut Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang portfolio agama Islam YB Abdul Malik Kassim telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.
10 usul telah diluluskan dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Lim Guan Eng:-
1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
4. Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.
5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.
6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.
8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam mesjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.
9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama YAB Lim Guan Eng diarahkan oleh kerajaan negeri.
10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik kerajaan negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.
Kenyataan Oleh:
YB Dato Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Pengerusi PKR Pulau Pinang