Kenyataan Media Oleh Setiausaha Agung DAP Merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur Pada 31 Mac 2018
DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menembak mati 16 orang awam Palestin dalam satu demonstrasi aman yang berlaku semalam di sempadan Israel-Palestin. Penggunaan senjata api terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah satu perbuatan jenayah yang harus dikecam.
Menurut laporan berita, tindakan kejam tersebut turut mencederakan 1,416 orang lain apabila tentera Israel juga menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang awam yang sedang menunjuk perasaan. Mereka yang tercedera ini juga ada sebahagianya dalam keadaan tenat yang mungkin akan meningkatkan angka korban.
Pengorbanan nyawa yang berlaku ini adalah amat dikesali dan mendukacitakan. Saya berkongsi pendirian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres dalam menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka. Pada masa yang sama, saya menggesa agar komuniti antarabangsa, khususnya PBB bukan sekadar mengecam tetapi menggerakkan siasatan antarabangsa yang bebas terhadap insiden ini.
Badan antarabangsa hak asasi manusia dan bantuan kemanusian seperti Amnesty International and International Committee of the Red Cross harus diberi akses untuk menyiasat kejadian ini.
Sebarang pelanggaran hak asasi manusia atas alasan apa pun adalah tidak wajar dan mesti diambil tindakan tegas. DAP bersolidariti dengan semua keluarga mangsa yang terkorban dalam menuntut agar keadilan dapat ditegakkan.
Lim Guan Eng