Salam Bersih dan Salam Harapan. Saya berbesar hati kerana dapat bersama-sama hadir bagi Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) Projek Perumahan Mampu Milik Suria 1, Hijau E-Komuniti, Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Suria 1, Bandar Cassia adalah salah satu daripada Skim Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri yang telah berjaya dibina dan diusahakan untuk rakyat Pulau Pinang. Suria 1 Bandar Cassia adalah fasa pertama yang dibina di atas kawasan seluas 6.4 ekar, dari kawasan pembangunan seluas 200 ekar yang akan dibangunkan secara berperingkat lagi. Jumlah unit yang akan dibina untuk lebihan 200 ekar ialah 11,800 unit. Unit-unit perumahan awam dan mampu milik ini dibiayai oleh dana Perumahan Mampu Milik sebanyak RM500 juta yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan dana perumahan sedemikian ini adalah terbesar yang ditubuhkan Kerajaan Negeri di negara ini.
Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadi Negeri yang pertama untuk Persekitaran Bersih, Hijau dan Lebih Selamat di Pulau Pinang, 40 ekar telah ditetapkan untuk kawasan hijau untuk keseluruhan projek. Pelbagai fasiliti disediakan di kawasan terbuka seluas 9.06 ekar di kawasan pembangunan Fasa 1 ini seperti padang bola sepak, gelanggang bola keranjang, trek jogging & trek basikal, surau dan medan selera (food court). Kemudahan-kemudahan yang disediakan ini akan memberikan persekitaran komuniti selesa dan kejiranan bersepadu untuk semua.
Suria 1, projek perumahan mampu milik Bandar Cassia telah direkabentuk oleh Surbana International Consultants, salah satu perunding utama yang melaksanakan projek-projek perumahan di HDB Singapura yang terkemuka dunia, untuk menyediakan rumah yang baik di Batu Kawan terutamanya dari segi kualiti, reka bentuk dan konsep.
Suria 1 dengan jumlah 520 unit merangkumi komponen seperti berikut:
– 149 unit kos sederhana rendah (low medium cost) (800 sf) @ RM72,500
– 98 unit kos sederhana (medium cost) – Jenis B (900 sf) @ RM168,000
– 273 unit kos sederhana (medium cost)- Jenis A (1000 sf) @ RM220,000
– Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk Suria 1, Bandar Cassia 1 adalah
RM88 juta.
Ini adalah komitmen dan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina projek perumahan mampu milik yang berkualiti di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, semua usaha ini akan terjejas oleh garis panduan yang ketat oleh Bank Negara. Dengan kadar penolakan yang tinggi untuk pinjaman telah menyebabkan proses pembelian rumah kos rendah tidak dapat dimiliki oleh pembeli. Sehubungan ini, kami juga ingin menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu penolakan pinjaman perumahan ini oleh institusi kewangan. Bank Negara perlu melonggarkan garis panduan yang tidak munasabah dan ketat ini, jika tidak, ramai rakyat tidak boleh membeli rumah mampu milik tanpa bantuan kewangan.
Untuk makluman para hadirin sekalian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membina 24,000 unit kos rendah (low-cost) dan kos sederhana rendah (low-medium cost) sejak mengambil alih Kerajaan pada tahun 2008.
Ini telah menunjuk dan membuktikan perbezaan yang besar dengan hanya 5,100 unit rumah mampu milik yang telah dibina oleh pentadbiran terdahulu mulai tahun 1999 hingga 2007. Pulau Pinang telah mengatasi kerajaan sebelum ini dengan membina lima (5) kali ganda daripada mereka. Pulau Pinang merupakan negeri terbaik dalam menyediakan perumahan mampu milik di Negara ini, berbanding dengan negeri lain.
Suria 1, Bandar Cassia terletak di Batu Kawan, kawasan pembangunan yang cepat membangun yang dirancang untuk menjadikan tempat ini lebih strategik dan kondusif. Saya yakin bahawa projek Suria 1, Bandar Cassia akan melengkapkan perkembangan komersil dan retail di Batu Kawan termasuk dari segi perumahan, komersial, rekreasi, perubatan & pendidikan, golf resort dan taman tema.
Batu Kawan dijangka menjadi hab baru di kawasan utara, membangunkan semula cara menjalankan perniagaan, membeli-belah, hidup dan bermain. Pelan induk Bandar Cassia Batu Kawan telah direka untuk memberi respon kepada persekitaran ekonomi dan juga permintaan.
Tuan-tuan & Puan-puan, dengan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang diperolehi untuk projek bangunan tinggi (high rise) rumah mampu milik ini, PDC dijangka akan memperolehi hak milik strata dari JUPEM dan PTG pada beberapa bulan akan datang bagi mematuhi Housing Development (Control and Licensing) Act 1966 (Act 118) & Regulations.
Usaha ini berkemungkinan akan menjadikan Pulau Pinang negeri yang pertama di mana pembeli akan menerima kunci mereka bersama-sama dengan hak milik strata semasa penerimaan pemilikan kosong (vacant possession).
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai keutamaan dalam penyediaan perumahan awam dan mampu milik untuk pembeli rumah kali pertama di Pulau Pinang. Dalam hal ini, bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memulakan beberapa projek perumahan yang mampu milik. Antara projek-projek ini ialah di SP Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil, Sandilands (di pulau) dan Kampung Jawa, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, Juru, Mak Mandin dan Ujung Batu (di Seberang Perai).
Seperti yang kita dapat saksikan hari ini, projek Suria 1, Bandar Cassia telah berjaya direalisasikan dan akan diikuti dengan projek rumah mampu milik di Teluk Kumbar dan Kampung Jawa.
Sekali lagi, tahniah saya kepada PDC sempena penyerahan CCC yang akan memberikan kebanggaan kepada pemilik yang bakal mendiami rumah baru dan berkualiti ini tidak lama lagi.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) Projek Perumahan Mampu Milik Suria 1, Hijau E-Komuniti, Bandar Cassia, Batu Kawan.
Sekian, terima kasih.