Ucapan Parlimen Lim Guan Eng untuk Sidang Parlimen Khas pada 23 Julai 2014, berkenaan tragedi MH17

Ucapan Parlimen Lim Guan Eng untuk Sidang Parlimen Khas pada 23 Julai 2014, berkenaan tragedi MH17

Tuan Speaker, pertamanya izinkan saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kesemua 298 mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh secara tragis dari langit Ukraine. Ini adalah suatu tragedi berskala antarabangsa melibatkan mangsa tidak berdosa dari 10 negara termasuk 198 warga Belanda, 27 Australia, 12 Indonesia, 10 British, 4 Jerman, 4 Belgium, 3 Filipina, seorang warga Kanada, seorang lagi warga New Zealand dan yang paling utama 43 warganegara Malaysia.

Salam hormat dan takziah kita buat ingatan mangsa-mangsa termasuk Kapten Wan Amran bin Wan Husin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong; Tambi Jiee, isterinya Ariza Ghazalle dan empat anak mereka Mohd Afif, Mohd Afzal, Marsha Azmeena dan Mohd Afruz; Siti Amriah, nenda tiri Datuk Seri Perdana Menteri; Angeline Premila, anak kapal termuda MH17; Pramugara Sanjid Singh, yang isterinya terselamat daripada nahas MH370; Dr.Joep Lange, penyelidik HIV terkemuka dan mantan presiden Persatuan AIDS Antarabangsa; (Pronounced as YOOP) Glenn Raymond Thomas, jurucakap World Health Organization;Tessa van der Sande, pegawai Amnesty International;

Kami mengecam keras pembunuhan tidak berperikemanusiaan kesemua 298 mangsa tidak berdosa termasuk tiga orang bayi. Menembak jatuh MH17 adalah tindakan yang kejam dan tidak berhati perut. Mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah ini mesti dikenalpasti dan dibawa ke muka pengadilan. Memang benar mereka ini tidak lain tidak bukan adalah haiwan bertopengkan manusia. Masyarakat antarabangsa mesti bekerjasama dalam usaha siasatan dan tekanan mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak mahu bekerjasama dan memberikan bantuan dalam usaha ini.

Kami memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan kabinetnya dalam usaha untuk menemukan kebenaran bagi pihak mangsa MH17. Kami memahami cabaran hebat dalam operasi untuk mendapatkan kembali jenazah mangsa, barang kepunyaan mereka serta bangkai pesawat MH17. Usaha ini melibatkan banyak negara dan juga agensi serta berlangsung dalam sebuah lanskap politik yang tidak stabil dengan ancaman keganasan dan peperangan yang begitu hampir.

DAP mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa suatu persefahaman telah dicapai dengan kumpulan pemisah pro-Rusia di Ukraine untuk mengembalikan jenazah mangsa-mangsa nahas pesawat MH17 serta kota hitamnya kembali ke Malaysia. Najib memberitahu bahawa perjanjian telah dibuat dengan Alexander Borodai, yang mengakui dirinya sebagai Perdana Menteri mengetuai puak pemisah Timur Ukraine yang mengawal daerah Donestk di mana MH17 terhempas.

Borodai juga memberi jaminan bahawa pasukan penyiasat antarabangsa akan diberi kebenaran masuk ke tapak nahas. DAP bersetuju dengan Najib bahawa di kawasan konflik dengan pihak berkuasa bertelagah, menggunakan saluran diplomatik secara senyap adalah cara yang baik demi mencapai keputusan yang dikehendaki.

DAP bersedia untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan menyokong usaha mereka untuk membawa pulang jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing supaya majlis pengkebumian yang sempurna boleh dijalankan, serta memastikan siasatan rapi dilakukan demi menjamin keadilan ditegakkan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kehilangan nyawa yang berlaku.

Kita bersyukur dengan usaha diplomatik komuniti antarabangsa dan kerajaan Malaysia telah berhasil memulangkan dua kotak hitam dari pesawat MH17 dari kumpulan pemberontak berpengkalan di Donetsk. Kami berharap kerjasama yang berterusan dengan komuniti antarabangsa dan pakar-pakar berkaitan akan terus memberi kebaikan, bermula daripada analisa ke atas kotak hitam.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para diplomat Malaysia, pegawai tentera dan penjawat awam yang telah bertungkus lumus di tanah air dan di kedutaan seluruh negara dalam bertindak balas terhadap tragedi MH17.

Ini juga pastinya waktu-waktu mencabar buat para pekerja dan pihak pengurusan MAS yang belum pun reda daripada menangani tragedi kehilangan MH370. Ramai daripada mereka yang kehilangan orang tersayang dan sahabat handai dalam waktu yang sangat singkat dan dalam keadaan yang sungguh tragis. Kita hargai ketabahan dan tekad mereka dalam meneruskan khidmat kepada para pelanggan MAS sepanjang tempoh yang mencabar ini. Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada MAS dan warga kerja bukanlah sekadar ucapan sahaja, maka kami ingin menunjukkan keyakinan dengan terus menggunakan MAS, kalau masa penerbangan mengizinkan.

Kami memahami bahawa tragedi MH17 berlaku di kawasan penuh konflik di Ukraine. Kami juga memahami bahawa Malaysia terjerat antara perebutan kuasa yang lebih besar di antara Ukraine dan sekutu Amerika dan Eropahnya dengan pihak Rusia dan sekutunya. Kita tidak mahu menjadi mangsa politik yang terperangkap dalam kemelut kedua-dua pihak. Kita mesti jelas menyatakan objektif untuk mencari kebenaran bagi pihak para mangsa. Dan demi menemukan kebenaran ini, kita mesti menyedari semua fakta yang berkaitan.

Kita mesti mulakan dengan fakta mengenai Donetsk dan situasi di sana yang membawa kepada tragedi menembak jatuh MH17. Kita tahu bahawa sebaik sahaja bekas presiden Viktor Yanukovych digulingkan, pemisah pro-Rusia menawan bangunan kerajaan Donetsk dan mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat Donestk pada bulan April 2014. Kita juga tahu bahawa sebuah referendum penuh kontroversi dilakukan pada 11 Mei di mana 90 peratus pengundi menyokong kemerdekaan politik daripada Kiev. Dan pada 25 Mei, apabila pemilihan presiden diadakan, hanya 16 peratus daripda 3.3 juta penduduk Donetsk yang mendapat akses mengundi. Kegagalan kerajaan Ukraine untuk menyertakan partisipasi penduduk Donetsk secara berkesan dalam pemilihan presiden adalah petunjuak kuat bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa yang efektif di daerah ini.

Kita juga mengiktiraf bahawa terdapat bukti kukuh penglibatan Rusia dalam menyokong puak pemisah di timur Ukraine termasuk mereka yang berpengkalan di Donetsk dengan membekalkan senjata, anggota tentera dan bantuan kewangan. Bukti-bukti ini jelas kelihatan meskipun sebelum berlakunya tragedi MH17. Dan kemudian pada 14 Julai, sebuah pesawat kargo tentera Ukraine telah ditembak jatuh di sebuah perkampungan Ukraine bernama Davydo Myileske di daerah Luhansk berhampiran sempadan Rusia, kemungkinan akibat tembakan peluru berpandu darat ke udara (SAM). Adalah hampir pasti bahawa peluru berpandu SAM dilancar ke arah MH17 memandangkan peluru berpandu yang dilancarkan dari bahu (MANPADS) tidak memiliki kemampuan mencapai jarak penerbangan MH17 pada altitud 33,000 meter.

Terdapat beberapa laporan yang menunjukkan bahawa SAM yang digunakan untuk menembak jatuh MH17 telah dilancarkan dari pelancar peluru berpandu BUK. Pada masa yang sama, panggilan telefon yang dipintas oleh perisik Ukraine mendedahkan perbualan antara kumpulan pemisah dan agen Rusia berbincang mengenai kewujudan dan kedudukan pelancar BUK di daerah Donetsk.2 Sementara kita mesti beringat bahawa wujudnya perang propaganda yang hebat antara pihak berkuasa Rusia dan Ukraine, satu soalan mesti dipertanyakan – Kenapa pihak Ukraine menembak jatuh sebuah pesawat walhal ia tahu bahawa pihak pemisah tidak mempunyai pesawat udara untuk digunakan?3 Apa yang tinggal adalah senario di mana kumpulan pemisah itu sendiri lah yang telah menembak jatuh MH17. Soalan yang mesti kita tanyakan sekarang ialah pertama, bagaimana kita mengenalpasti dan memberkas pemisah yang bertanggungjawab di atas jenayah ini, dan kedua, bagaimana boleh kita pastikan sama ada mereka mendapat bantuan daripada pihak tentera Rusia. Kita mesti mendesak soalan-soalan ini kepada kedua-dua pihak – Ukraine dan Rusia – dan kita tidak boleh takut untuk menanyakan soalan-soalan ini.

Pastikan bukan sahaja golongan penembak pesawat MH17 dihukum sebagai pembunuh beramai-ramai tetapi juga pihak yang membekalkan senjatapi yang jahanam ini!

Sementara kerajaan Ukraine tidak mampu menjamin laluan selamat ke tapak nahas berikutan masalah keselamatan, mereka nampaknya memberi perhatian kepada keperluan kontingen Malaysia di Kiev. Kita harus menilai jika kerajaan Rusia turut bertindak serupa dalam memberikan kerjasama kepada Malaysia dan juga komuniti antarabangsa. Kita mesti bertanya jika Rusia sedang melakukan apa yang ia mampu untuk menggunakan pengaruhnya ke atas puak pemisah di timur Ukraine demi mempercepatkan proses untuk mendapatkan keadilan bagi mangsa-mangsa MH17.

Sementara kita menyedari keperluan untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara, di waktu-waktu luarbiasa seperti ini, kita mesti mengambil langkah yang luarbiasa. Contohnya, kedau-dua Brazil dan Jerman tidak gentar memanggil duta Amerika apabila didedahkan bahawa kerajaan Amerika mengintip pemimpin mereka termasuk melakukan intipan telefon terhadap Presiden Brazil Dilma Roussef dan Canselor Jerman Angela Merkel. Kita tidak harus gentar untuk memanggil duta Ukraine dan Rusia ke Wisma Putra bagi mendapatkan penjelasan mereka mengenai identiti pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17. Kita mesti mencari jalan terbaik untuk mengesahkan dakwaan bahawa Rusia telah membekalkan senjata berat dan artileri kepada puak pemisah timur Ukraine. Kita mesti mengesahkan sama ada Rusia telah menghantar tenteranya atau agennya untuk membantu atau mengetuai puak pemisah tersebut. Kita juga harus mengesahkan jika Rusia turut bertanggungjawab membantu mereka yang telah melancarkan roket yang telah menewaskan MH17.

Saya ingin minta Kerajaan panggil Duta kedua negara kalau perlu. Pada masa yang sama kerajaan boleh panggil Duta Amerika Syarikat untuk melahirkan perasaan marah rakyat Malaysia terhadap kezaliman di Gaza dengan meminta Amerika Syarikat menjelaskan mengapa mereka terus sokong rejim ganas Israel terus membunuh rakyat Gasa. “How can US claims that Israel has a right to defend itself by murdering innocent Gazans?.”

Kita tidak boleh takut-takut untuk menggunakan apa sahaja pengaruh yang ada untuk meletakkan tekanan yang perlu demi mendapatkan kebenaran. Sementara kuasa ekonomi kita tidak begitu signifikan berbanding Amerika Syarikat atau negara-negara Kesatuan Eropah, kita masih mempunyai hubungan ekonomi dengan Rusia. Malaysia telah membeli 18 pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM bernilai US$ 900 juta pada bulan Ogos 2003. Pesawat ke 18 dan yang terakhir, baru sahaja dihantar pada bulan Ogos 2011. Jika Malaysia belum lagi menyelesaikan pembayaran untuk pesawat-pesawat ini, kita harus bersedia untuk menangguhkan bayaran, jika perlu.

Malaysia juga mesti bersedia untuk membatalkan, jika perlu, projek Angkasawan kedua yang menjadi sebahagian daripada pembelian Sukhoi jika kita merasakan bahawa pihak berkuasa Rusia tidak memberikan kerjasama penuh kepada komuniti antarabangsa dan kepada Malaysia. Dan jika perlu, kita mungkin boleh mempertimbangkan untuk menyertai sekatan yang dicadangkan komuniti antarabangsa terhadap Rusia.

Di peringkat antarabangsa, kita berharap Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara yang terkesan untuk menggunakan Majlis Keselamatan PBB sebagai salah satu cara untuk memastikan kerjasama antarabangsa dalam usaha penyiasatan MH17. Pilihan untuk meminta sebuah suruhanjaya siasatan bebas melalui Majlis Keselematan mestilah sentiasa tersedia walaupun kewujudan kuasa veto Rusia mungkin menjadi halangan yang sukar untuk ditangani. Malaysia juga mesti mengkaji kemungkinan membawa kes ini kemada Mahkamah Antarabangsa (ICJ) berikutan tauladan penghakiman dalam kes Iran Air Flight 655 yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu Tentera Laut Amerika yang dilancarkan dari kapal USS Vincennes pada 3 Julai 1988.

Di tengah-tengah cabaran diplomatik dan pilihan-pilihan yang ada untuk Malaysia, kita tidak boleh melupakan warganegara yang sedang menuntut dan bekerja di Rusia. Menurut Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila Vorobyeva, terdapat seramai 6,000 mahasiswa Malaysia di Rusia.2 Ramai daripada penuntut ini sedang mempelajari bidang perubatan dan ramai darinya pula mendapat biasiswa kerajaan. Saya memohon supaya kedutaan Malaysia di Moscow supaya memastikan keselamatan kebajikan mahasiswa Malaysia di saat-saat kritikal ini.

Dan di saat kita sibuk dengan tragedi MH17, janganlah kita lupa bahawa hari ini genap 137 hari sejak MH370 hilang. Kita tidak boleh mengabaikan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam pesawat MH370 dan terus mengharapkan jawapan tentang lokasi terakhir pesawat tersebut. Kita mahu ahli keluarga mangsa MH370 bahawa mereka tidak akan dilupakan.

Pembunuh-pembunuh mereka mestilah dihukum barulah mangsa-mangsa dan ahli keluarga mereka boleh mendapat ketenteraman jiwa.

Semakin kita mendekati perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai 2014, kita pasti menyambutnya dengan hati yang berat menyedari bahawa ada dari kalangan kita yang akan menyambutnya tanpa orang tersayang di musim yang sepatutnya penuh kegembiraan ini. Kita harus mengenang mereka yang telah kehilangan orang tersayang dalam kedua-dua tragedi MH370 dan MH17, dan pada masa yang sama menghargai dan menilai setiap saat kita bersama mereka yang kita kasihi. Kita juga pasti mengenang petugas-petugas MAS, anggota kabinet dan para penajwat awam yang akan bekerja sepanjang Hari Raya kerana MH17. Kita menghargai usaha mereka dan kita mahu mereka tahu bahawa bahawa mereka tidak dilupakan di saat-saat sukar ini. Malaysia berterima kasih atas khidmat bakti anda. Terima kasih Tuan Speaker, saya menyokong usul ini.

LIM GUAN ENG

1 http://www.csmonitor.com/World/Europe/2014/0717/From-the-Monitor-Archives-The-shooting-down-of-Iran-Air-Flight-655

2 http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/07/21/MH17-russian-ambassador-to-malaysia-speaks/