DAP mengutuk sekeras-kerasnya salahguna kuasa oleh pihak polis dalam soal penahanan Nurul Izzah Anwar; serta menggesa supaya beliau dilepaskan.

Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 16 Mac 2015.

DAP mengutuk sekeras-kerasnya salahguna kuasa oleh pihak polis dalam soal penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; serta menggesa supaya beliau dilepaskan dengan serta merta.

Ketika Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu disoal siasat oleh pihak polis, tidak pula menteri Umno itu ditahan reman semalaman oleh pihak polis. Malah pihak polis pula menyatakan bahawa Ismail seorang yang ‘sibuk’ dan tidak mempunyai masa untuk disiasat.

Tetapi kini ketika Dewan Rakyat sedang bersidang, pihak polis bertindak menangkap Nurul Izzah, seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, untuk disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran apa yang diucapkannya di dalam Dewan?

Tidak ada sebab untuk menahan Nurul Izzah, beliau bukannya seorang perompak atau penjenayah yang telah membunuh sesiapa. Beliau tidak akan melarikan diri. Apa sebab pihak polis perlu menahan Nurul Izzah semalaman?

DAP akan tetap setia bersolidariti dan menyokong beliau, walau apa pun yang terjadi dan menggesa kerajaan pusat berhenti menjadikan pihak polis budak suruhan mereka untuk menahan, mengganggu dan memangsakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “DAP mengutuk sekeras-kerasnya salahguna kuasa oleh pihak polis dalam soal penahanan Nurul Izzah Anwar; serta menggesa supaya beliau dilepaskan.”


Comments are currently closed.