Letter From YAB Lim Guan Eng to Tan Sri Muhyiddin on SPM Trial Exam (BM)

PSUKPP/21/0353/20 (3766/2014)

1 Oktober, 2014

Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pendidikan Malaysia
Pejabat Menteri Pendidikan
Aras 10, Blok E8, Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA

Yang Amat Berhormat Tan Sri,

CADANGAN UNTUK MENGKAJI SEMULA DASAR LEPASAN SEKOLAH MENENGAH TIDAK MENGGUNAKAN KEPUTUSAN PERCUBAAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) SEBAGAI KELAYAKAN PERMOHONAN PROGRAM ASAS UNIVERSITI ATAU PRA UNIVERSITI

Dengan hormatnya saya ingin menarik perhatian YAB Tan Sri berhubung perkara tersebut di atas.

2. Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, pihak Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan telah memaklumkan bahawa keputusan percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh digunakan sebagai kelayakan masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Keputusan ini akan menjadi halangan kepada pelajar lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat program asas atau pra universiti IPTS, kerana mereka terpaksa menunggu tiga (3) bulan untuk keputusan SPM sebenar.

3. Kami tidak dapat lihat rasional peraturan ini yang menyekat keputusan percubaan digunakan kecuali menyusahkan pelajar-pelajar. Sehingga ini belum ada alasan yang munasabah diberikan. Sebelum ini, penggunaan keputusan percubaan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada sesiapa atau merugikan mana-mana pihak.

4. Bagi pelajar lepasan SPM yang bercadang mengambil kursus program asas atau pra universiti di IPTS, mereka akan menggunakan keputusan percubaan SPM sebagai sumber kelayakan permohonan program tersebut. Tempoh penangguhan selama tiga (3) bulan tersebut hanya akan melambatkan pelajaran mereka selama setahun kerana sesi pelajaran telahpun bermula.

5. Pihak saya berharap pihak Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula peraturan baru tersebut, demi masa depan dan kebajikan pelajar-pelajar tersebut. Segala perhatian YAB Tan Sri amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang

0 Responses to “Letter From YAB Lim Guan Eng to Tan Sri Muhyiddin on SPM Trial Exam (BM)”


Comments are currently closed.