Teh Yee Cheu Menarik Balik Usul Peribadi Beliau Di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Untuk Menubuhkan Jawatankuasa Transgender Dengan Peruntukan RM200,000 Untuk Membantu Golongan Transgender.

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 9.5.2014

ADUN DAP Tanjung Bungah Teh Yee Cheu telahpun menarik balik usul peribadi beliau di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menubuhkan Jawatankuasa Transgender dengan peruntukan RM 200,000 untuk membantu golongan transgender ini. Keputusan Teh dibuat atas permintaan ADUN-ADUN dan ahli Parlimen DAP Pulau Pinang dalam satu mesyuarat pada 2 petang di Komtar hari ini.

Teh juga sedar untuk usul ini dibahaskan, beliau perlukan seorang penyokong. Akan tetapi tidak ada seorang ADUN PR Pulau Pinang yang bersedia menyokong usul beliau. Isu ini telah hangat diperalatkan oleh media massa yang dikuasai BN, untuk mengkritik pendirian parti DAP, sungguhpun ini bukan pendirian parti DAP tetapi hanya adalah pandangan peribadi seorang ADUN DAP.

Malangnya kenyataan saya bahawa usul ini bukanlah usul kerajaan negeri PR Pulau Pinang ataupun usul parti DAP tetapi semata-mata usul peribadi Teh sebagai seorang ADUN, tidak disiarkan langsung dalam media massa BN. Saya telah menyatakan bahawa saya akan berusaha untuk meminta Teh “kembali ke pangkal jalan’ secara berpasukan DAP dengan menarik balik usul peribadi beliau.

Dengan penarikan balik usul oleh Teh, maka isu ini dianggap selesai dan Teh akur kepada keputusan sebulat suara pucuk pimpinan dan wakil rakyat DAP Pulau Pinang.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “Teh Yee Cheu Menarik Balik Usul Peribadi Beliau Di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Untuk Menubuhkan Jawatankuasa Transgender Dengan Peruntukan RM200,000 Untuk Membantu Golongan Transgender.”


Comments are currently closed.