DAP Mengecam Dan Menolak Filem Anti-Islam Yang Menghina Agama Dan Kepercayaan Masyarakat Islam.

Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 16.9.2012

DAP Mengecam Dan Menolak Filem Anti-Islam Yang Menghina Agama Dan Kepercayaan Masyarakat Islam.

DAP mengecam sekeras-kerasnya filem anti-Islam terbaru yang dikatakan menghina agama Islam dan juga Nabi Muhammad. Filem ini yang bukan sahaja kurang sensitif tetapi jelas bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen keagamaan dan harus ditarik balik daripada mana-mana laman web termasuk Youtube dengan serta merta.

Sungguhpun DAP menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan berkreativiti, kita juga percaya bahawa setiap karya yang dihasilkan perlulah mempunyai tanggungjawab moral ke atas budaya dan kepercayaan mana-mana agama mahupun bangsa. Kebebasan berkarya tidak wajar disalahgunakan seperti yang telah berlaku dalam filem ini.

Justeru, DAP menyeru rakyat agar menolak karya ini kerana ia jelas telah membawa penghinaan kepada agama dan kepercayaan masyarakat Islam.

Pada masa yang sama, DAP turut mengecam keganasan yang telah berlaku ke atas empat orang rakyat Amerika termasuk dutanya di Libya, Christopher Stevens yang terbunuh dalam insiden yang dipercayai berpunca daripada kemarahan masyarakat Islam Libya ke atas filem tersebut. Keganasan bukanlah jalan penyelesaian, khususnya berkaitan isu ini.

Isu seperti ini harus menjadi teladan kepada kita bahawa demokrasi dan kebebasan bukanlah lesen untuk kita menggunakan atau memperalatkan bangsa, agama, budaya atau kepercayaan untuk mencetuskan sengketa atau permusuhan.

Kita yakin bahawa masyarakat Islam di Malaysia sudah cukup matang dan bijak dalam berhadapan dengan trajedi seperti ini. Bantahan harus dikemukakan dengan cara yang paling baik demi mengelak kejadian-kejadian yang lebih buruk lagi.

LIM GUAN ENG

Leave a Comment