MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KESEDARAN DENGGI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KARNIVAL KESEDARAN DENGGI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2017 PADA 30 SEPTEMBER 2017 DI AEON ALMA, BUKIT MERTAJAM

1. Tahun ini adalah kali kedua kita menganjurkan Karnival Kesedaran Denggi seperti ini. Sememangnya Kerajaan Negeri memandang serius tentang kejadian kes-kes denggi terutamanya yang melibatkan kematian.

2. Isu penyakit demam denggi ini merupakan isu kesihatan awam dan alam sekitar yang tidak mustahil untuk kita tangani sekiranya kita benar-benar memberikan komitment 100%. Kita harus pastikan tiada medium untuk membolehkan pembiakan nyamuk Aedes berlaku. Hal ini dapat dicapai melalui aktiviti pembersihan seperti gotong-royong dan penghapusan bekas-bekas yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk.

3. Tahun 2015 merupakan detik hitam wabak ini apabila mencatatkan rekod bilangan kes demam denggi yang paling tinggi bagi sejarah Negeri Pulau Pinang. Namun, hasil paduan usaha dan tenaga kerja bersama, kita telah berjaya menurunkan bilangan kes secara keseluruhan sebanyak 55.8% pada tahun 2016. Bagi tahun 2017, sehingga minggu ke 37 sebanyak 1838 kes denggi telah dilaporkan iaitu penurunan sebanyak 14% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas. Kejayaan ini semestinya tidak akan kita kecapi tanpa komitmen tinggi dari anda. Namun begitu, kita tidak harus merasa selesa memandangkan jumlah kematian pada tahun ini sehingga kini telah mencapai 13 orang berbanding 12 orang pada tahun yang lalu dan rekod yang paling tinggi kematian akibat denggi ialah sebanyak 19 kes kematian iaitu pada tahun 2015.

4. Seperti yang semua telah sedia maklum, bagi menangani isu denggi ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri bagi mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam kawalan denggi. Program COMBI iaitu ‘Communication For Behavioural Impact’ ini adalah salah satu strategi yang digerakkan oleh sukarelawan yang peka dan prihatin di kalangan masyarakat setempat untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi. Setakat ini kita telah ada sebanyak 109 pasukan COMBI di seluruh Pulau Pinang. Tahniah kepada mereka yang bergiat aktif dalam pasukan COMBI ini.

5. Bagi membanteras denggi, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan penggunaan ‘artificial intelligence’ untuk meramal kejadian wabak denggi dengan kos sebanyak RM424 000 setahun. Dengan adanya teknologi baru ini, kita mampu meramal lokaliti-lokaliti yang berpotensi tinggi mengalami wabak denggi. Dengan itu, usaha pencegahan boleh dijalankan di lokaliti-lokaliti tersebut dengan penglibatan aktif daripada masyarakat setempat.

6. Saya berharap penglibatan masyarakat dalam pencegahan denggi ini dapat lebih dipergiatkan lagi bagi membendung denggi di Pulau Pinang. Selain itu juga, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang mengalami demam harus mendapatkan rawatan awal sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.

7. Akhir kata, pencegahan adalah paling berkesan bagi memerangi denggi. Ingat, TIADA AEDES, TIADA DENGGI.

Sekian terima kasih.