Ucapan Setiausaha Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Parlimen Semasa Membahas Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan(Langkah-langkah Khas) 2012 Di Dewan Rakyat Pada 16 April 2012.
Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) Tidak Bermakna Kerana Kuasa Tahanan Luasnya Digantikan Dengan 3 RUU Kesalahan Keselamatan (Llangkah-langkah Khas) 2012, Kanun Tatacara Jenayah(Pindaan) 2012 Dan Kanun Keseksaan(Pindaan) 2012.
Dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) maka berakhirlah satu era penindasan rakyat oleh Kerajaan BN. Berakhirlah satu sejarah hitam buat negara kita, di mana sepanjang 52 tahun pelaksanaan ISA dijangka lebih 10,000 orang mangsa telah ditahan tanpa bicara di bawah akta tersebut.
Tetapi adakah kita rakyat harus rasa gembira?
Saya rasa ini bukannya masa untuk diraikan kegembiraan dengan membaca Al-Fatihah kepada ISA kerana ia masih belum benar-benar meninggalkan tanah air Malaysia. Di samping itu keengganan kerajaan BN mengambil tanggungjawab ke atas kezaliman yang diperlakukan ke atas mangsa-mangsa ISA dengan meminta maaf secara terbuka atas tahanan tanpa bicara yang melanggari segala asas perikemanusiaan serta lunas undang-undang hak asasi manusia dan due proses.


