Projek “THE HABITAT PENANG HILL”

UCAPAN SIDANG MEDIA YAB KETUA MENTERI TUAN LIM GUAN ENG BAGI PROJEK ‘THE HABITAT PENANG HILL’, PULAU PINANG

Pembangunan Projek ‘The Habitat Penang Hill’ sedang dilaksanakan di atas Bukit Bendera, Pulau Pinang iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Kerajaan dengan keluasan 10.04 ekar dan di bawah pemantauan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Pembangunan projek ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk melindungi hutan simpan di samping membantu menjadi sumber pendidikan kepada penduduk tempatan dan antarabangsa. Ianya juga dibangunkan di bawah konsep ‘Public Private Partnership’ (PPP) di mana Kerajaan Negeri menyediakan lokasi projek dan khidmat nasihat manakala pembangunan projek dibiayai oleh pihak swasta.

Kerajaan Negeri telah membuka Request For Proposal (RFP) for the Establishment of an Eco Tourism Venture (ETV) Comprising of an Educational Nature Trail and Canopy Walk on Bukit Bendera pada 30 September 2010 dan telah ditutup pada 30 November 2010. Semasa tarikh tutup, hanya satu syarikat telah mengemukakan Kertas Cadangan iaitu Syarikat Creative Quest Sdn. Bhd. (CQSB). Selepas penilaian dan penelitian terperinci, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melantik Syarikat CQSB bagi pembangunan projek tersebut. Kerajaan Negeri telah menandatangani Perjanjian Konsesi dengan Syarikat CQSB pada 22 Februari 2013 untuk tempoh konsesi selama 30 tahun.

Pembangunan ‘The Habitat Penang Hill’ ini dibahagikan kepada dua fasa bagi memastikan ianya bertaraf antarabangsa dan dapat memperkenalkan Pulau Pinang di mata dunia serta menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Bendera. Komponen projek bagi Fasa Pertama adalah terdiri daripada:
i. Educational Nature Trail sepanjang 1.6 km di sepanjang laluan sistem saliran sedia ada sehingga ke Summit Road;
ii. Titian Silara sepanjang 200 m dalam bentuk garis lurus dengan konsep ‘East Meets West’ yang melintangi dua lembah. Struktur jambatan diperkukuh dengan binaan konkrit tetulang, tanpa bergantung kepada pokok- pokok untuk sokongan utama;
iii. Penyediaan The Old Experimental Garden dan Tree Top Walk di kawasan Helipad Plateau;
iv. Pengubahsuaian Kuarters JKR sediada kepada Pejabat Pentadbiran dan Pusat Pelawat;
v. Penyediaan Educational Signage;
vi. Pembinaan tiga (3) Giant Swings;
vii. Pembinaan kawasan rehat di Heli-Pad Plateau;
viii. Pembinaan tiga (3) kawasan rehat lain;
ix. Pembinaan Viewing Platforms;
x. Pembinaan Refreshment Kiosks;
xi. Pembinaan tandas; dan
xii. Pembangunan berasaskan Green Technologies.
Manakala Fasa 2 projek adalah terdiri daripada:
i. ‘Tree Climb’;
ii. ‘On-Site Aerial Trail’ dan
iii. ‘Off-Site Aerial Trail’.

Anggaran kos asal bagi pembangunan ‘The Habitat Penang Hill’ pada asalnya berjumlah RM3 juta dan telah meningkat ke RM32 juta memandangkan ianya melibatkan khidmat kepakaran daripada Syarikat Greenheart At The Habitat, Canada.
Fasa Pertama Projek ‘The Habitat Penang Hill’ ini telah 70% siap dan dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2016. Manakala Fasa 2 sedang dalam peringkat pelaksanaan (anggaran 50% siap) dengan kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri.
Kerajaan Negeri juga prihatin dengan UNESCO Biosphere Reserve Program dan menggalakkan Kajian Biodiversiti ini dibuat di kawasan Projek ‘The Habitat Penag Hill’ memandangkan ianya terletak di dalam Hutan Simpan dan mempunyai banyak spesis burung yang menarik serta menjadi tumpuan pelancong antarabangsa terutama daripada Eropah. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera (PHC) telah diminta untuk menguruskan Kajian ini dan Syarikat CQSB telah diminta untuk memberi kerjasama kepada PHC memandangkan Syarikat CQSB mempunyai kepakaran luas dan mempunyai pakar yang bertaraf dunia seperti Prof. Dr. Margaret D. Lowman dan dikenali sebagai ‘Real Life Lorax’ oleh National Geographic dan ‘Einstein of the Tree Tops’ oleh Wall Street Journal. Beliau juga merupakan perintis bagi sains ‘Canopy Ecology’ serta pakar lain.

Bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran Program Biodiversiti ini Kerajaan Negeri juga sedang dalam perancangan bagi pembinaan ‘Penang Hill Rainforest Research Centre’ di atas Bukit Bendera. Kerajaan Negeri akan membuka RFP bagi mempelawa tawaran daripada syarikat yang berminat dan berkelayakan. Kerajaan Negeri juga juga akan menggunakan banglo-banglo di atas Bukit Bendera milik Kerajaan Negeri bagi tujuan ilmiah.

Selaras dengan saranan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri telah melantik pihak USM bagi tujuan Kajian Biosphere tersebut. Sehubungan dengan itu, bajet yang terlibat adalah dianggarkan adalah berjumlah RM206,000.00 tetapi ianya masih dalam peringkat perundingan. Satu Memorandum of Understanding (MOU) akan ditandatangani di antara PHC, pihak pengurusan ‘The Habitat Penang Hill’ dan pihak USM.

Pihak pengurusan ‘The Habitat Penang Hill’ akan membantu dan memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi menjadikan Bukit Bendera sebagai salah satu destinasi kajian lapangan ‘Center of Excellence for Rainforest, Conservation and Academia’.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri berasa amat kesal pihak USM tidak dapat hadir untuk sidang media pada hari ini.

LIM GUAN ENG
7 OKTOBER 2016

0 Responses to “Projek “THE HABITAT PENANG HILL””


Comments are currently closed.