DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel menahan kapal layar yang membawa sekumpulan wanita dalam misi keamanan antarabangsa Gaza(e/c)

Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, di Kuala Lumpur pada 7.10.2016

DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel menahan kapal layar yang membawa sekumpulan wanita dalam misi keamanan antarabangsa Gaza, serta menuntut Amerika Syarikat memberi tekanan terhadap Israel untuk membebaskan mereka, termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan

DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel menahan kapal layar yang membawa sekumpulan wanita dalam misi keamanan antarabangsa Gaza, serta menuntut Amerika Syarikat memberi tekanan terhadap Israel untuk membebaskan mereka, termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Tindakan rejim Israel menawan serta menahan kapal layar Zaytouna-Olivia yang dianggotai tiga anak kapal dan 10 aktivis yang mewakili misi Women’s Boat to Gaza (WBG) pada Rabu malam yang lalu adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Kapal itu membawa bantuan makanan dan perubatan untuk rakyat Gaza yang hidup tertindas di bawah sekatan Israel.

Tujuan kapal tersebut adalah semata-mata mahu menembusi sekatan haram yang dibuat oleh rejim Israel sejak 10 tahun lalu yang telah mengurung hampir 2 juta warga Palestin di Gaza yang amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

DAP mendesak Israel membebaskan kesemua warga antarabangsa itu, termasuk Dr Fauziah, serta meminta kerajaan-kerajaan negara yang diwakili para aktivis wanita yang ditahan tersebut mengenakan tindakan tegas terhadap Israel yang telah bertindak ganas. Selain Malaysia, para aktivis diwakili dari negara Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Algeria, Australia, Ireland, Kanada, New Zealand, Norway, Rusia, Sepanyol, Sweden, Turki, Tunisia, dan Israel.

Sehubungan itu, DAP menuntut Amerika Syarikat memberi tekanan terhadap Israel untuk membebaskan kesemua aktivis, termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah, yang merupakan pakarobstetric & gynaecology (O&G) serta Ahli Lembaga MyCARE, sebuah pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang berdaftar di Malaysia.

Saya berharap Duta Amerika Syarikat ke Malaysia dapat memberi jaminan terbuka kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan negaranya akan memastikan Dr Fauziah dan rakan-rakan WBG beliau selamat, dan dibebaskan serta-merta.

Amerika Syarikat selaku sekutu Israel tidak boleh membiarkan rejim tersebut melakukan keganasan serta melanggar undang-undang antarabangsa sesuka hati jika Amerika mahu dihormati sebagai negara yang menggalakkan demokrasi, kebebasan dan keadilan.

Saya bagi pihak DAP mendoakan keselamatan Dr Fauziah serta para aktivis lain dan berharap mereka dapat bebas segera.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Israel menahan kapal layar yang membawa sekumpulan wanita dalam misi keamanan antarabangsa Gaza(e/c)”


Comments are currently closed.