UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANTIKAN AHLI MAJLIS PENGANGKUTAN NEGERI PULAU PINANG (PENANG TRANSPORT COUNCIL – PTC)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANTIKAN AHLI MAJLIS PENGANGKUTAN NEGERI PULAU PINANG
(PENANG TRANSPORT COUNCIL – PTC), 14 JUN 2016, DI DEWAN BOSCH KOMPLEKS MASYARAKAT PENYAYANG

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di atas kejayaan menganjurkan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Pengangkutan Negeri Pulau Pinang.

Majlis Pengangkutan Negeri atau Penang Transport Council PTC telah mula ditubuhkan pada tahun 2009 dengan keanggotaan seramai 15 orang ahli. Tujuan asal penubuhan PTC adalah untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di Negeri Pulau Pinang yang mana melibatkan tiga (3) cabaran utama negeri iaitu Cleanliness, Congestion and Crime ataupun Kebersihan, Kesesakan Lalulintas dan Keselamatan Awam. Masalah kebersihan dan keselamatan awam mulai diatasi dengan Pulau Pinang menjadi lebih bersih dan mencatatkan pengurangan kadar jenayah di antara yang terbesar di Malaysia.

Kesesakan trafik terus menjadi cabaran besar. Inilah sebabnya PTC ditubuhkan. PTC juga turut berperanan memberi khidmat nasihat berkaitan dasar pengurusan lalu lintas dan pengangkutan di Pulau Pinang. Pencapaian utama PTC adalah penghasilan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang – Transport Master Plan (TMP) yang mana telah dijadikan sebagai dokumen rasmi Kerajaan Negeri pada 23 Mac 2013.

Transport Master Plan bernilai RM27 bilion yang merupakan projek infrastruktur kedua besar dalam sejarah Malaysia akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi selama 50 tahun sehingga 2065 yang boleh mengubah wajah Pulau Pinang sebaik ia siap pada 2030.

Transport Master Plan juga akan membolehkan impian Pulau Pinang terjelma – dengan memberikan kita kebebasan daripada kesesakan lalulintas yang akan membuka peluang saksama, mencapai potensi masing-masing dan melindungi masa depan anak-anak kita.

Pada hari ini, kita akan memperlihatkan penubuhan pelantikan ahli PTC sebanyak 36 orang menjadikan keseluruhan Ahli PTC sebanyak 54 orang. Tempoh pelantikan ini akan tamat pada 30 September 2017. Terdapat muka-muka baru daripada pihak NGO, parti pembangkang dan ADUN yang akan dilantik pada hari ini bersesuaian dengan terma rujukan dan fungsi-fungsi PTC yang telah ditambah baik. PTC secara dasarnya berfungsi untuk memantau, meneliti dan mengkoordinasi projek-projek pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan pelaksanaan projek-projek iaitu:

1) Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan – Alternatif Transport Master Plan oleh SRS Consortium Sdn Bhd
2) Pembinaan jaringan jalan raya dan Terowong Dasar Laut – Undersea Tunnel (Third Link) oleh Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan Negeri pada sidang media 14 Ogos 2015 yang lalu telah menerima surat setuju terima daripada SRS Consortium Sdn Bhd. SRS Consortium Sdn Bhd akan melaksanakan keseluruhan TPM yang meliputi pembinaan jajaran Light Rail Transit (LRT), Bus Rapid Transit (BRT), Tram dan jaringan lebuh raya serta jalan raya di seluruh negeri Pulau Pinang. Pembinaan-pembinaan ini meliputi kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sewaktu kajian TMP oleh pakar perunding Halcrow dilaksanakan.

Pembinaan 3 jaringan jalan raya utama dan Terowong Dasar Laut atau Undersea Tunnel merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan connectivity setiap kawasan di Negeri Pulau Pinang termasuk Seberang Perai Utara (SPU) selepas Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dihubungi dengan 2 jambatan.

Perlu ditegaskan bahawa TMP dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menerusi land swap (gantian tanah) secara tambakan laut seluas 4,500 ekar tanpa sumbangan satu sen daripada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri kesal apabila janji yang dibuat sebanyak 3 kali oleh Kerajaan Persekutuan untuk membina LRT dimungkiri sama sekali. Oleh itu, Kerajaan Negeri terpaksa menjalankan TMP dengan sendiri kerana enggan dicekik mati dengan masalah kesesakan trafik. Kerajaan Negeri faham dengan keresahan pelbagai pihak berhubung kesan tambakan laut.

Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memastikan proses tambakan laut ini akan mengikut piawaian antarabangsa selain daripada mendapat kelulusan DEIA (Detailed Environmental Impact Assessment) sebelum dimulakan sepertimana yang diwajibkan oleh undang-undang. Tanpa tambakan laut, TMP tidak boleh dilaksanakan sama dengan cadangan untuk membina lebih banyak rumah atau projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga mungkin akan terjejas.

Ahli-ahli PTC bertanggungjawab memberikan pandangan atau cadangan atas dasar perancangan, konsep serta mengkoordinasi pelaksanaan TMP ini kelak. Dalam mesyuarat ini juga akan diadakan tiga pembentangan iaitu:

I. Pembentangan Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh Ir. Lim Thean Heng
II. Pembentangan Penilaian Tender RFP-PIP oleh Syarikat Perunding KPMG
III. Pembentangan berkaitan status terkini Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh SRS Consortium
Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada ahli PTC yang dilantik. Semoga tugas yang diamanahkan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Sekian, terima kasih.