DAP kecam serangan di Lahore, Pakistan

Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pada 31 Mac 2016:

DAP melahirkan rasa kesal dan simpati di atas tragedi yang tercetus di Lahore, Pakistan Ahad lalu; yang memakan korban lebih 70 jiwa yang tidak berdosa.

Dilaporkan bahawa salah satu fraksi Taliban telah melancarkan serangan tersebut dengan tujuan menyasarkan warga Kristian yang menyambut Easter, namun tindakan membuta tuli mereka telah mengorbankan sejumlah besar warga beragama Islam, termasuk 29 orang kanak-kanak.

Kita kesal kerana agama seringkali dijadikan punca dan alasan untuk saling berbunuhan, ketimbang menjadi faktor pengikat silaturahim dan kasih sayang sesama insan. Penyudahnya tafsiran salah terhadap agama akhirnya mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

DAP dengan tegas mengutuk pihak-pihak yang dengan mudah menggunakan kekerasan dengan mengheret nama Tuhan demi agenda politik mereka.

Merebaknya keganasan akibat salah faham terhadap agama serta menghalalkan keganasan atas nama Tuhan, adalah penyakit sosial yang harus ditangani bersama, tanpa merebakkan pula fobia terhadap agama dan jutaan penganutnya yang beramal secara sederhana.

Kita percaya bahawa siri keganasan yang berterusan dari Paris, Jakarta, Ankara, Istanbul, Brussels dan kini Lahore, tidak akan melemahkan semangat warga dunia, malah akan menyatukan kita semua menentang keganasan oleh pihak-pihak yang sudah ketandusan hujah dan idea untuk berbincang secara ilmiah.

Solidariti daripada kami di DAP untuk warga seluruh dunia yang tidak tergugat dengan kempen kebencian dan keganasan, dan terus komited dengan nilai-nilai manusiawi untuk terus hidup dalam persekitaran yang tenteram tanpa permusuhan dan keganasan.

Lim Guan Eng