Saya mengalu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam akan menyiasat dakwaan bahawa pembelian rumah banglo saya di Pulau Pinang(bm)

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 19.3.2016.

Saya mengalu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam akan menyiasat dakwaan bahawa pembelian rumah banglo saya di Pulau Pinang melibatkan amalan rasuah berkaitan dengan penjualan sekeping tanah di Taman Manggis oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sungguhpun respons SPRM begitu cepat sekali berbanding dengan kes-kes lain, saya akan berikan kerjasama penuh kepada SPRM. Saya ingin menggesa SPRM untuk segerakan siasatan kerana yakin bahawa tidak ada sebarang unsur amalan rasuah, dalam isu pembelian rumah saya yang cuba dikaitkan dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis.

Dakwaan ini adalah satu fitnah jahat dan serangan politik kotor oleh pihak lawan berdasarkan 5 faktor di bawah:-
1. Pembelian rumah saya sebanyak RM2.8 juta dibiayai oleh pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki wang tunai RM700,000 daripada elaun pendapatan saya sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat;
2. Penjualan tanah kerajaan negeri dijalankan dengan tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi;
3. Jawatankuasa Tender Negeri tidak dipengerusikan oleh saya dan mematuhi semua peraturan kerajaan negeri yang ditetapkan.
4. Penjual rumah kepada saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah kerajaan negeri, bukanlah pemegang saham ataupun ahli lembaga pengarah.
5. Ketua Bahagian UMNO Bagan Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah meminta maaf secara lisan kepada saya di depan Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak dua kali, dan menarik balik kenyataan fitnah di mahkamah bahawa saya terima wang rasuah daripada pembeli tanah kerajaan negeri tersebut.

Adalah menghairankan bahawa SPRM Pulau Pinang menyatakan bahawa SPRM pernah menjalankan siasatan sebelum ini berkaitan penyewaan rumah oleh saya pada 2009. Sekiranya begitu, mengapakah SPRM tidak membuat pengumuman kepada orang awam sejak 2009 bahawa ia tidak berasas? Saya tidak pernah disoalsiasat oleh SPRM berkaitan dengan penyewaan rumah saya sebanyak RM5,000 sebulan sebelum saya membelinya.

Jelas sekali, SPRM telah menjalankan siasatan sepanjang masa terhadap saya begitu sekian lama tanpa pengetahuan saya, dan hasilnya ialah tidak ada sebarang tindakan diambil(cause of action) ke atas saya. Saya menunggu siasatan baru oleh SPRM berkaitan dengan pembelian rumah saya, dengan penuh keyakinan bahawa ia akan dibuktikan sebagai sesuatu fitnah oleh musuh politik kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran bersih sehingga dipuji oleh Transparency International atas pelaksanaan sistem tender terbuka.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “Saya mengalu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam akan menyiasat dakwaan bahawa pembelian rumah banglo saya di Pulau Pinang(bm)”


Comments are currently closed.